Posted on 21st Oct 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah hendaknya kamu menjadikan kubur-kubur itu sebagai tempat menyembah, saya melarang daripada perbuatan itu." (Sahih Muslim)
***
PENGHUJUNG tahun 2009, ibu saya jatuh sakit yang agak berat. Mula-mula beliau dimasukkan ke hospital umum tetapi nampaknya selepas beberapa hari keadaannya tidak berubah lantas kami adik beradik sepakat membawanya ke sebuah hospital swasta.
Ketika ibu sakit saya dapat saksikan betapa hebatnya kasih sayang ayah-ibu. Suatu hari di katil hospital saya saksikan ayah dan ibu saling bermaaf-maafan dengan cucuran air mata. Mungkin dalam usia lewat senja, mereka dapat merasakan ketentuan Ilahi, tetapi hakikatnya Allah SWT saja penentunya.
Ketika membawa bapa pulang dengan kereta saya, bapa mencurahkan perasaan termasuk menyatakan betapa rindu dan kasih kedua-duanya kepada Nabi s.a.w., lantas mahu kembali menziarahi Madinah Al-Munawwarah terutama masjid dan makam Rasul, seterusya menunaikan umrah buat kesekian kalinya.
Ayah memberitahu saya bahawa ibu dan dia mahu ke Tanah Suci tetapi disebabkan mereka sudah tua, pemergian ke sana sebaik-baiknya ditemani oleh anak. Ayah bercakap kepada saya, mengertilah saya dia dan ibu mengharapkan saya dapat menemani mereka. Disebabkan saya pun terlalu rindu ke sana, maka pada Jun 2010, berangkatlah kedua-dua ibu bapa, saya dan isteri dan seorang perempuan berusia lapan tahun ke Tanah Suci.
Anak saya yang bernama Fatima Az-Zahra itu mempunyai kisah tersendiri bagaimana dapat ke Tanah Suci semuda itu. Ketika saya berangkat pergi menunaikan haji kali pertama dulu (2002) anak ini baru beberapa hari dilahirkan.
Saya namakannya sempena Fatimah, puteri Rasulullah s.a.w. yang berkahwin dengan Sayidina Ali bin Abi Talib. Ketika di Tanah Suci saya sering teringatkan bayi itu lantas mendoakan agar dia menjadi anak salihah mencontohi Sayidatina Fatimah, seterusnya dapat segera datang ke bumi barakah itu. Alhamdulillah lapan tahun kemudian, ternyata sudah tersurat rezekinya untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Bagi mengunjungi Masjid Nabawi serta kawasan bersejarahnya dan kota Madinah seluruhnya, sebaik-baiknya seseorang itu telah membaca atau mengikuti dan menghayati kisah-kisah silam pada zaman Rasul dan sahabat.
Tentunya seseorang itu teruja untuk memasuki seterusnya beribadat dalam Raudhah yang disifatkan sebagai taman syurga, seterusnya melalui dan memberi salam di makam Rasulullah s.a.w., kemudian sahabat baginda Abu Bakar As-Sidiq dan Umar al-Khattab.
Ketika umrah, agak senang memasuki Raudhah, malah saya berpeluang solat waktu dalamnya termasuk di sisi makam Rasulullah s.a.w. Namun pada musim haji, usahkan untuk solat waktu di dalamnya, untuk melintasi di depannya bagi menziarahi makam Rasulullah s.a.w pun agak payah.
Selesai menziarahi makam Rasulullah s.a.w., seseorang yang keluar dari Masjid Nabawi akan berhadapan dengan Perkuburan Baqi, yang terletak kira-kira 300 meter dari pintu itu. Di sinilah kebanyakan kaum keluarga dan sahabat Rasulullah s.a.w dimakamkan, termasuklah anakanda kesayangannya, Fatimah az-Zahra.
Di luar masjid, sama ada di depan, sisi dan belakang terhampar dataran masjid. Dari sini jelas kelihatan kubah hijau yang mana di bawahnya terletak makam Rasul dan dua orang sahabatnya. Kelihatan ramai orang bertakfakur tatkala memandang kubah hijau itu, barangkali mereka mengenang perjuangan gigih Rasul, kaum keluarga, sahabat serta generasi berikutnya sehinggalah Islam sampai di rantau mereka yang jauh seperti Indonesia dan Malaysia, Afrika Selatan bahkan Amerika Selatan.
Apa yang menarik di dataran masjid sekarang ini adalah kewujudan berpuluh-puluh payung gergasi berbentuk bunga tulip. Keunikannya, apabila cahaya matahari menyimbah bumi, payung ini akan berkembang secara automatik. Payung ini akan berada dalam keadaan begitu sehingga keadaan bertukar gelap.
Payung tulip ini secara praktiknya adalah payung terbalik yang terbuka ke atas berlawanan dengan payung tradisonal yang melendur ke bawah bagi mengalirkan air hujan. Lama dulu (pada 1990-an) dua payung gergasi jenis ini sudah di tempatkan di sebuah dataran dalam Masjid Nabawi. Pergerakan payung ini (kembang dan kuncup) begitu menarik perhatian jemaah.
Reka bentuk payung bunga tulip ini membolehkan air hujan (jika ada) ditampung di bahagian dasar (bawah) payung seterusnya dialirkan melalui sebuah tiub lutsinar pada bahagian kaki payung. Rangka payung berbentuk empat segi dan juga bulat, sungguh indah, mengkagumkan jemaah. Sungguh mengasyikan apabila payung ini mengembang dan mengucup. Pada waktu tengah hari dan petang yang terik payung-payung ini dapat memberi teduhan kepada puluhan ribu jemaah.
Sekalipun pelbagai kemudahan moden serba canggih disediakan di sekitar Masjid Nabawi, hakikatnya semua itu tidak dapat menandingi kehebatan dan kesyahduaan ketika berada di sisi atau berdekatan makam Rasulullah s.a.w. Di sini sebenarnya kasih seorang Muslim itu tertumpah. Apabila memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. akan bergenanglah air mata malah ramai yang menangis teresak-esak.
No comments:
Post a Comment