Monday, October 18, 2010

Dilema pengguna pengangkutan awam

Posted on 18th October 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barangsiapa bermimpi, seolah-olah kepalanya dipukul dengan batu, ertinya orang itu mempelajari al-Quran tetapi tidak diamalkan dan solat wajib ditinggalkan." (Sahih Bukhari)
***

APABILA berlaku sesuatu kemalangan ngeri seperti nahas bas ekspres Delima dan beberapa kenderaan lain di lebuh raya Utara-Selatan (Plus) berhampiran persimpangan bertingkat Simpang Ampat, Melaka yang meragut 13 nyawa, terpancullah pelbagai reaksi termasuk usaha membaiki perkhidmatan pengangkutan awam.

Daripada banyak maklum balas itu, saya tertarik kenyataan seorang pakar ekonomi, Dr Saleh Majid yang bercakap dalam sebuah rancangan televisyen tempatan.

Katanya, kemudahan pengangkutan awam amat teruk, beliau menamakan Stesen Bas Sementara Bukit Jalil sebagai contoh. Mungkin Saleh berpengalaman ke stesen itu, jadi dapatlah beliau memberi gambaran yang saya anggap tepat, sama seperti yang dialami oleh penulis sebagai seorang pengguna pengangkutan awam.

Saleh sempat menyindir dengan berkata, maklumlah pengguna pengangkutan awam seperti bas adalah golongan rakyat marhain, jadi kemudahan disediakan adalah ala kadar tidak seperti hab pengangkutan awam yang kerap digunakan orang kaya, berpangkat dan berkuasa seperti KLIA dan yang setaraf dengannya.

“Malah kini sedang dibina terminal penerbangan murah di Sepang dengan kos berjuta-juta ringgit,” katanya. “Tetapi Hentian Puduraya yang dalam proses menaik taraf awal tahun ini sehingga kini belum siap lagi.”

Saleh berkata pengguna Stesen Bas Sementara Bukit Jalil terpaksa berpanas dan berhujan, pendeknya “keadaan di sana amat buruk sekali.” Demikianlah komen tokoh seperti Dr Saleh yang mungkin menggunakan perkhidmatan awam sekali sekala tetapi bagaimana kisah orang yang menggunakannya setiap hari seperti penulis sendiri?

Berhubung kemalangan ngeri dekat Simpang Ampat pada 10.10.10 (10 Oktober 2010), ada menteri tanpa usul periksa menyalahkan pemandu bas. Seorang menteri dengan angkuh berkata kemalangan tidak akan berlaku jika bas tidak dipandu laju.

Inilah tuduhan stereotaip setiap kali berlaku kemalangan ngeri dengan orang besar dan berkuasa gagal menyelami derita rakyat, termasuk pengguna dan pemandu bas. Apakah wajar untuk membuat kenyataan sedemikian sedangkan menteri biasanya dipandu laju dalam kereta mewah bercermin gelap? Adakah kereta menteri bergerak 90 kilometer sejam atau 180 sejam di lebuh raya? Adakah menteri ada menyelami perit rakyat rakyat seperti yang akan dipaparkan ini?

Awal tahun ini semasa Hentian Puduraya ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf, pihak berkuasa memberi jaminan bahawa ia dapat disiapkan sebelum Aidilfitri tahun ini (September 2010). Tetapi sehingga kini belum pun siap-siap. Jadi terpaksalah golongan marhain bersesak-sesak di Hentian Sementara Bukit Jalil. Jika seseorang pengguna turun di Stesen LRT Bukit Jalil, dia terpaksa berpanas dan berhujan ke stesen ini yang terletak kira-kira 500 meter jauhnya.

Di stesen ini, kemudahan khemah disediakan. Kaunter-kaunter tiket, gerai, surau, pondok polis dan kemudahan lain semuanya di bawah khemah. Ada bas menunggu di bawah khemah manakala sebahagian besar berada di kawasan lapang. Adalah lucu apabila apa dinamakan platform bas sebenarnya lot-lot parkir kenderaan yang beratapkan langit.

Di sinilah rakyat marhain meneruskan kesinambungan hidup masing-masing. Penumpang ke sana sini bagi mendapatkan tiket dan bas, pekedai dengan bisnes masing-masing, kerani kaunter sibuk melayan karenah pelanggan, abang polis serius di pondoknya manakala ulat-ulat lelaki dan perempuan berkeliaran mencari pelanggan. Bayangkanlah kebanyakan urusan dilakukan di bawah khemah atau di tempat terbuka dalam panas atau hujan.

Janji pihak berkuasa berhubung projek ‘kesulitan ini amat dikesali demi kesenangan anda pada masa depan’ akan berlangsung dua tiga bulan tetapi kini sudah hampir hujung tahun, pengguna pengangkutan awam daripada golongan marhain terus derita, mungkinkah untuk dulu, kini dan selamanya?

Kini pengguna pengangkutan awam, terutama di ibu kota digembirakan dengan sebuah perkhabaran bahawa Terminal Bersepadu Pengangkutan Awam Selatan di Bandar Tasik Selatan yang menelan kos pembinaan RM570 juta di tanah seluas 19.8 hektar akan mula beroperasi akhir tahun ini. Dilaporkan semua bas ekspres hala selatan akan ditempatkan di sini manakala stesen itu sendiri akan persinggahan tiga perkhidmatan pengangkutan awam iaitu Express Rail Link (ELR), Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan RapidKL.

Demikian kita mengharapkan yang terbaik kepada pengguna pengangkutan awam, tetapi benarkah janji-janji muluk pihak berkuasa akan terlaksana? Kerap benar berlaku rungutan rakyat tetapi layanan pihak berkuasa ibarat air laut yang ada pasang surutnya. Misalnya apabila berlaku sesuatu kemalangan dahsyat muncul pelbagai cadangan dan ingatan, namun selepas itu lenyap saja. Demikian juga apabila dekat pilihan raya rakyat disogokkan pelbagai janji manis, tetapi akan terasa hambar apabila hari berganti hari.

Sebagai negara dicanangkan mencapai status maju (malah ada negeri seperti Selangor dan Melaka bertindak lebih awal) adalah wajar dilihat satu daripada piawaiannya iaitu status pengangkutan awamnya. Adalah tidak munasabah untuk mendakwa status maju sedangkan pengangkutan awamnya buruk. Di kebanyakan negara maju, rakyat lebih selesa menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

Hal ini berlaku kerana pengangkutan awamnya begitu efisyen. Seseorang pengguna dapat bergerak dengan pantas tetapi hal sebaliknya berlaku di negara kita. Selain sistem kereta api tansit ringan, perkhidmatan pengangkutan awam lain seperti bas amat mendukacitakan.

Berbanding pengangkutan awam di bandar-bandar besar, pengangkutan awam di luar bandar dan pedalaman lebih buruk lagi. Perkhidmatan bas tidak tentu hala, ada penumpang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya di tepi jalan kerana bas ditunggu tidak tiba-tiba.

Pengangkutan awam seperti bas semakin kurang mendapat sambutan kerana semakin ramai orang berkenderaan sendiri (terutama motosikal) menyebabkan sejumlah syarikat bas terpaksa gulung tikar. Jika semakin banyak syarikat ditutup semakin terseksalah pengguna pengangkutan awam!

1 comment:

PakNgahMcr said...

salam,

betul lah kata penulis
'dilema ini spt pasang surut air' moga2 suatu ketika nanti pihak2 yg bertanggungjawab serius gembleng usaha menanganinya.. demi rakyat malaysia..

permintaan: (alangkah baik jikalau tiap2 posting dikepil info-bergambar)