Monday, August 2, 2010

Kewartawanan songsang semakin berleluasa?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Apabila seseorang mati, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang soleh yang mendoakan untuknya." _ Sahih Muslim
***

AKHIR-AKHIR ini keyakinan penulis kepada media massa merosot teruk sehingga ada ketikanya tidak membeli akhbar sehingga berhari-hari lamanya. Tetapi disebabkan perasaan ingin tahu yang tinggi, rajuk itu sebentar cuma, penulis kembali mencari akhbar.

Namun laporan yang dibaca kerap menyakitkan hati. Terbaru, sebuah akhbar menghidangkan laporan muka depan berhubung apa didakwa krisis kronik bekalan air di Lembah Klang. Cara berita itu dipersembahkan seolah-olah orang Lembah Klang begitu kemarukkan air, hakikatnya tidak begitu.

Apa yang berlaku adalah pertelingkahan antara kerajaan Negeri Selangor (ditadbir Pakatan Rakyat) dan agensi kerajaan Persekutuan berhubung bekalan air. Rakyat ditakut-takutkan kononnya krisis kronik air dijangkakan pada tahun-tahun akan datang, mungkin 2015 atau 2020, tetapi mengapa media rakus memainkan isu ini seolah-olah rakyat begitu terseksa mendapatkan bekalan air sekarang ini?

Tidak cukup dengan berita, gambar-gambar hiasan orang ramai sedang menadah air dalam besen-besen besar juga ditunjukkan. Sebagai pembaca, saya rasa tertipu kerana gambar berkenaan tidak ada kena mengena dengan laporan; ia sengaja diletakkan bagi menambahkan keyakinan orang ramai terhadap dakwaan mereka. Jadi adakah salah jika saya memboikot akhbar ini, saya tidak rela diri saya diperbodoh-bodohan, lebih-lebih lagi saya perlu membayarnya!

Dalam isu pasir pula, sebuah stesen televisyen menyiarkan laporan apa yang didakwa pelombongan haram berulang-ulang kali pada slot beritanya. Apabila diulang-ulang terlalu banyak kali sehingga berhari-hari, apa yang ditunjukkan itu bukan berita lagi tetapi adalah propaganda murahan yang mempunyai motif tertentu. Sebagai penonton, saya rasa muak dan benar-benar marah.

Kemuncak kemarahan saya terjadi apabila siaran beritanya menyiarkan wajah TPM Muhhyiddin Yassin dengan angkuhnya antara lain membuat komen berhubung isu berkenaan; “itulah dalam isu air dan pasir pun tidak dapat selesaikan, macam mana mahu memerintah…”.

Namun dalam hati saya tegelak, tertawa bagaimana ‘bijaknya’ stesen TV ini kerana pada masa ia memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, dalam satu rancangan lainnya (Aduan Rakyat) disiarkan betapa merananya penduduk sebuah tanah rancangan di Bera, Pahang yang terpaksa menggunakan air parit dalam kehidupan seharian mereka.

Penduduk digambarkan amat terseksa, begitu kemaruk air bersih sehingga ada menyebut, sepatutnya semakin lama merdeka, mereka semakin senang tetapi sebaliknya yang berlaku. Ada penduduk pula menangis ketika mengangkut tong-tong air bersisi air parit, merintih akan kesusahan mendapatkan bekalan asas itu.

Berdasarkan laporan derita rakyat di Bera itu, kenapa TPM Muhyiddin Yassin tidak berkata betapa pandainya kerajaan Umno-BN pimpinannya memerintah? Itulah jangan kuman di seberang lautan nampak, bangkai gajah di depan mata dibuat tidak tahu saja! Dan lagi, jangan jadi paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Berdasarkan perkembangan sekarang ini, media massa sudah menjadi alat propaganda yang dahsyat, mereka mempunyai agenda masing-masing. Apabila ini berlaku kepercayaan awam kepada wartawan semakin terhakis, seolah-olah kewartawanan ‘songsang’ sudah merajai media massa, masing-masing pihak mahu menegakkan benang basah, mereka tidak peduli fakta, pembohongan atau propaganda.

Berdasarkan perkembangan kurang sihat ini, mereka yang terbabit dalam dunia kewartawanan dan orang ramai (pembaca) perlu mengamati firman Allah SWT dalam al-Quran (Ayat 6, Surah Al-Hujurat), yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam menerima perkhabaran berita manakala pihak media hendaklah berwaspada dalam menyampaikan berita, sehingga jangan sampai mereka digolongan sebagai orang fasik. Adalah penting untuk orang media kembali semula kepada asas ajaran Islam termasuk mengetahui halal/haram dan dosa/pahala dalam setiap perbuatan termasuk pelaporan berita.

Perkembangan semasa yang semakin menghanyutkan kebenaran sebaliknya menonjolkan kemaksiatan dan kebendaan sebagai idola, memerlukan wartawan terutama yang beragama Islam kembali ke pangkal jalan. Apabila soal dosa/pahala dan halal/haram sentiasa menghambat seseorang petugas media daripada serendah-rendah pangkat sehingga menteri penerangan, insya-Allah mereka tidak berwenang-wenang melakukan penyelewengan laporan atau ‘spinning’ yang semakin buruk sekarang ini.

Penyediaan melahirkan wartawan yang taat kepada hukum-hakam Islam dapat dijayakan dengan mewujudkan sebuah akademi pengajian yang menekankan keseimbangan keperluan dunia dan akhirat. Kumpulan orang Islam yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan atau keilmuan boleh mengusahakan akademi kewartawanan Islam ini ataupun sekurang-kurang menghasil sejumlah karya-karya bermutu mengenai kewartawanan Islam.

Ini setidak-tidak akan menjadi cabaran kepada perkumpulan orang Islam, sama ada yang berkaitan dengan politik atau tidak, untuk membuktikan bahawa Islam mencakupi semua aspek kehidupan, hatta dalam pemberitaan dan pelaporan (kewartawanan) pun perlu tunduk kepada kehendak Islam kerana media sudah menjadi dominan dalam masyarakat moden.

Sekolah-sekolah kewartawanan dan komunikasi di pusat pengajian tinggi sarat dengan segala ilmu dan teori oleh tokoh-tokoh Barat (dari Amerika dan Eropah) tetapi tidak mengetengahkan langsung seorang pun sarjana Islam dalam bidang berkaitan. Tidak juga dikutip sebarang ayat-ayat al-Quran atau hadis berhubung bidang komunikasi dan kewartawanan.

Pendek kata, hari ini kita dapat saksikan betapa jauh dan terpisahnya bidang kewartawanan dan keagamaan menyebabkan ada pengamal media yang mengaku beragama Islam tidak dapat membezakan antara perkara yang dibenar dan tidak dibenarkan (halal/haram, ganjaran dosa/pahala) dalam mereka menjalankan tugas masing-masing.

Ilmu kewartawanan yang dicelup bulat-bulat dari Barat itulah yang telah melahirkan sebahagian besar daripada wartawan hari ini - daripada pengarang, penerbit sehinggalah kepada wartawan, hatta kepada pemberita daerah atau sambilan nun jauh di ceruk pedalaman. Sesetengahnya tidak menjadikan agama sebagai pokok (dasar) dalam menjayakan profesion tetapi menuruti cendekiawan besar Barat dalam bidang ini. Mereka lebih mengenali dan berbangga dengan 5W mereka daripada memahami 6 Rukun Iman.

Jika mereka 'ada 6 Rukun Iman', salah satu daripadanya percaya kepada Hari Pembalasan, tentulah mereka takut untuk menyiarkan berita bohong atau gambar lucah kerana sedar dan takut semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Tetapi disebabkan terlalu berkiblat kepada 'tok-tok guru' komunikasi dan kewartawanan Barat, maka jadilah mereka sebagai penyambung lidah perosak manusia seperti keghairahan memaparkan berita propaganda, bohong dan juga penyiaran gambar lucah dan separuh lucah dalam dunia kewartawanan songsang. Itulah kebanyakan wartawan hari ini selalu memikirkan laba dunia, tidak teringat balasan akhirat.

No comments: