Tuesday, August 31, 2010

Merdekakan diri, keluarga, negara daripada neraka

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Allah yang menciptakan kamu dalam keadaan lemah, kemudian dijadikan-Nya kamu kuat sesudah lemah, kemudian dijadikan kamu lemah dan tua bangka sesudah kuat. Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya, sedang Dia Maha Mengetahui lagi Berkuasa." (Ar-Rum:54)
***

Bersyukur ke hadrat Illahi, kita masih diberi peluang oleh-Nya menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 dan juga memasuki fasa terakhir bulan Ramadan yang mulia.

Pada Ramadan, Allah menjanjikan rahmat pada permulaannya, pengampunan dosa pada pertengahan dan pengakhirannya bebas atau merdeka daripada api neraka. Maka sayogialah kita berebut-rebut peluang ini, meningkatkan amalan untuk akhirnya melayakkan diri kita menjadi insan bertakwa kerana inilah produk (hasil) yang diharapkan melalui universiti Ramadan.

Namun sebahagian umat Islam terlepas pandang atau masih diseliputi kejahilan, terlupa akan hakikat pada Islam itu merangkumi segala bidang kehidupan, tidak terikat kepada amalan khusus saja seperti solat, puasa, zakat dan haji. Apabila ini berlaku, akan lahirlah insan yang tidak seimbang amalannya, dia berpuasa tetapi tidak bersolat, dia bersolat tetapi di luar solat mendedahkan sebahagian besar auratnya, dan dia berhaji tetapi menyanjung kehidupan sekular.

Pemisahan politik daripada agama adalah antara penyelewengan itu. Apabila politik tidak terikat dengan agama, penyelewengan begitu berleluasa kerana matlamat menghalalkan cara. Matlamat utama adalah untuk terus berkuasa, jadi akan diusahakan perkara itu sekalipun tindak tanduk adalah berlawanan dengan ajaran agama. Berdasarkan slogan untuk berkuasa dulu, kini dan selamanya, tindakan halal dan batil bercampur-aduk, sedangkan kehidupan seseorang Muslim itu hendaklah berdasarkan hukum-hakam halal haram yang termaktub dalam ajaran agama.

Sekarang ini, pada bulan kemerdekaan dan puasa yang penuh kebarakahan ini, sesetengah pihak menyemarakkan politik perkauman dalam usaha mengekalkan kuasa. Perkembangan ini begitu membimbangkan kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat termasuk diri kita sendiri. Amat bahaya jika setiap pemimpin bangsa mengapi-apikan kepentingan dan sentimen kaum masing-masing sedangkan perkara ini ditentang keras oleh Islam dan Rasulullah s.a.w. yang kedatangannya adalah untuk membawa rahmat kepada sekian alam, sekali gus mematikan semangat asabiyah jahiliah.

Selain itu pemimpin jahil menyemarakkan amalan jahilah ketika sambutan hari kemerdekaan. Adakah patut hari kemerdekaan yang begitu bermakna itu disemarakkan dengan majlis hiburan termasuk konsert yang membabitkan percampuran bebas lelaki-wanita. Sewajarnya kesyukuran dipamerkan kerana bebas daripada cengkaman penjajah, bukan terikut-ikut dengan cara hidup Barat yang bukan bertunjangkan agama dan budaya kita.

Amat-amatilah apabila pemimpin hidup bermaksiat termasuk berleluasanya amalan rasuah dan penindasan (jauh daripada landasan agama), maka Allah Taala menurunkan bala yang turut menimpa rakyat. Sekarang ini kehidupan rakyat tidak aman; jenayah seperti pembunuhan, perompakan, perzinaan dan buang bayi menjadi-jadi, menggambarkan institusi keluarga dan masyarakat serta negara sedang menuju kehancuran. Inilah neraka dunia, petanda kehidupan buruk akhirat nanti.

Syukurlah ulang tahun kemerdekaan tahun ini disambut ketika umat Islam berpuasa, maka kuranglah majlis-majlis liar yang menyebabkan anak muda kita tersasar termasuk dalam upacara dianjurkan pemimpin. Ramadan kali ini memberi kesempatan semua pihak terutama pemimpin membuang jauh-jauh majlis batil, sebaliknya menggantikannya dengan amalan mulia sejajar dengan kehendak agama.

Apa kata sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini, pemimpin disertai anak muda mengimarahkan masjid, bertarawih dan beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan, merendahkan diri merayu kurnia-Nya termasuklah pembebasan (kemerdekaan) daripada api neraka.

Imam (pemimpin) adalah contoh ikutan, jadi bersempena sambutan kemerdekaan bertepatan dengan hari-hari terakhir Ramadan, marilah kita mengorak langkah permulaan bagi menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara kita daripada neraka dunia, juga api neraka Allah SWT dengan tidak membiarkan diri kita terus bergelumang dalam kemaksiatan.

No comments: