Friday, August 13, 2010

Kenapa pelacur asing banyak di negara kita?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Sa'id al-Khudri berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika jenazah telah diletakkan dan siap dibawa oleh para lelaki, maka jika jenazah itu orang baik, ia berkata: "Cepatkan aku." Sedangkan apabila dia orang jahat, ia berkata kepada keluarganya: "Aduhai celakanya aku! Ke mana mereka akan membawa diriku?" Suara jenazah tersebut didengar oleh segala sesuatu kecuali manusia, sebab jika manusia dapat mendengarnya, pasti ia akan pengsan." (HR Bukhari dan An-Nasa'i)
***

KES 18 tahanan Afghanistan memboloskan diri daripada Depot Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tempoh hari mendedahkan bahawa ada tidak kena dengan soal keselamatan negara. Kes berat ini bukan terasing, kejadian tahanan (Pati) berjaya melarikan kerap dilaporkan.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein perlu bertanggungjawab sepenuhnya, ada pihak mendesak beliau meletakkan jawatan. Namun apa yang berlaku pegawai tertinggi Kementerian Dalam Negeri dan Imigresen diberi amaran. Mereka akur dan bersedia menghadapi sebarang tindakan yang akan dikenakan.

Soal keselamatan bukan boleh dibuat main, sekarang ini seolah-olah ada lompang (kelemahan) paling serius sehingga negara kita dihuni jutaan warga asing. Jika mereka masuk secara sah dan bekerja secara jujur, ia memberi keuntungan kepada negara tetapi bagaimana sebahagiannya yang masuk secara haram dan mencetuskan onar dalam negara itu terbabit dalam pembunuhan, samun dan sebagainya.

Misalnya sekarang ini kerap dilaporkan warga Iran buat hal dalam negara. Ada yang memproses dadah, tidak kurang terbabit dalam perkara jahat lain. Tidak kurang warga gelap dari benua Afrika, kehadiran mereka semakin ketara, ada kawasan sudah dikuasi mereka.

Kejayaan tahanan melarikan diri adalah satu hal, tetapi satu lagi perkara yang begitu merisaukan mengapa sekarang ini berlaku tangkapan terlalu ramai pelacur asing di negara kita? Kerap dilaporkan dalam serbuan-serbuan dilakukan pihak berkuasa pelacur dan teman social dari negara China, Uzbekistan, Indonesia, Filipina, India dan Thailand diheret ke dalam lori penguat kuasa.

Kebanjiran pelacur asing ini begitu mencemaskan sehingga pihak agamawan pun membuat teguran keras. Mereka tidak ingin negara ini menjadi sarang maksiat sehingga mendatangkan kemurkaan Allah SWT yang pada bila-bila masa boleh menghukum rakyat dan negara Malaysia ini dengan bencana paling dahsyat. Nauzubillah, minta dijauhkan perkara ini dan sebagai warga prihatin, mereka menyuarakan rasa hati yang kurang senang dengan perkembangan ini.

Mengenai kebanjiran pelacur asing ini, Pak Syeikh menulis dalam majalah Hidayah (Julai 2010): “Boleh dikatakan saban hari pihak penguat kuasa menyerbu sarang-sarang maksiat di sekitar ibu kota dan juga kawasan Selangor. Serbu yang ini, yang lain pula diwujudkan. Nampaknya tidak ada garis penamat untuk membasmi maksiat ini. Seolah-olah negara kita macam negara yang penuh dengan kerja-kerja maksiat.

“Kerajaan kita tak ada jalan keluarkah untuk mengesan kemasukan mereka ini? Kenapa dalam negara jiran, kita tidak dengar orang-orang asing masuk negaranya untuk buat maksiat? Kalau lima hari mereka masuk, selepas itu mereka mesti keluar dan pulang ke negara masing-masing. Tidak ada macam negara kita, mereka boleh sembunyi jadi itu dan ini, cari duit, cari makan, kumpul duit ratus-ratus ribu ringgit.

“Adakah dalang-dalang yang tertentu di belakang mereka ini? Barangkali pihak berkuasa tahu hal ini dan kenal pastilah siapa dalang-dalang ini sebenarnya. Kenapa simpan-simpan lagi? Kenapa tak tangkap? Bukankah mereka sebagai dalang memburukkan imej negara kita yang agama Islam sebagai agama rasmi negara?”

Dalang-dalang inilah sebenarnya pengkhianat negara. Tidak kira apa status mereka, daripada menteri sehinggalah orang awam, sesiapa yang menjadi pengkhianat dalam menjual keselamatan negara perlu dibawa ke muka pengadilan dan dihukum.

Berdasarkan apa yang berlaku (seperti tahanan dapat meloloskan diri bukan sendiri-sendiri tetapi beramai-ramai) tentunya berlaku penyelewengan kuasa secara besar-besaran. Jadi pihak yang terbabit perlu ditangkap secara manakala menteri jangan menuding jari sebaliknya menyalahkan diri sendiri.

Selalunya, apa yang berlaku, warga asing dijanjikan pekerjaan yang baik-baik oleh agensi dalam negara ini, tetapi apabila sampai ke sini mereka dijerumuskan dalam pekerjaan maksiat. Ada yang berterusan menganggur, terpaksa hidup bagaikan hamba, memohon simpati kepada pihak yang membawa mereka ke sini.

Dalang (orang besar) yang menerajui agensi inilah perlu dibawa ke muka pengadilan kerana mereka hidup dan menjadi kaya raya hasil daripada penderitaan orang asing termasuk dipaksa menjadi pelacur. Kenapa tangkap pelacur, tidak menangkap kepala sindiket (orang besar) yang membawa mereka masuk ke sini?

Malangnya sesetengah orang besar ini tidak dapat diapa-apakan kerana mereka amat berkuasa, boleh jadi sebagai barisan kepimpinan negara yang pandai bermanis muka tetapi sebenarnya adalah penjarah terkutuk!

Mereka pandai berlakon, bersandiwa, menjerit ‘pencuri-pencuri’ ketika berlaku kecurian sedangkan mereka adalah pencuri (penjenayah) sebenarnya. Mereka penjenayah dan pengkhianat negara dengan menggelapkan duit negara bukan ribuan ringgit tetapi jutaan dan ratus jutaan (berbilion) seperti dalam kes PKFZ.

No comments: