Friday, August 27, 2010

Usaha perbanyak pakar sakit puan Muslim

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Uqbah ibnu Amir r.a. berkata, aku dengan Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tuhanmu kagum terhadap pengembala kambing di hujung bukit di kala dilaungkan azan dia mendirikan solat. Lalu Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman: Lihatlah hamba-Ku ini, dilaungkan azan kemudian dia solat kerana takut terhadap-Ku. Aku telah mengampuni hamba-Ku dan memasukkannya ke syurga."
***

"MANA sakit?"

"Sini."

"Bukak baju!" kata doktor lelaki itu.

Pesakit wanita Islam itu tergamam kerana yang sakit perutnya, tetapi mengapa pula dia disuruh menanggalkan baju.

Adegan ini dikatakan kerap berlaku di sebuah klinik swasta di bandar kediaman penulis pada tahun 70-an dulu tetapi dialognya masih segar sampai hari ini.

Apabila disebut saja nama doktor itu, mereka yang tahu kisahnya akan ketawa.
Penulis membawakan kisah bagi bagi membincangkan satu topik yang begitu menyentuh perasaan ummah iaitu bagaimana ada wanita Islam terpaksa dirawat doktor lelaki bukan Islam ketika bersalin di hospital.

Baru-baru ini penulis menerima e-mail daripada seorang wanita Islam yang menasihatkan wanita supaya berhati-hati memilih tempat bersalin agar 'kehormatan' mereka sentiasa terjaga.

Seorang wanita pula memberitahu semasa bersalin di sebuah hospital, dia disambut 'bidan perempuan' tetapi kerja-kerja menjahit peranakannya dilakukan seorang doktor lelaki bukan Islam.

"Tangan doktor yang besar dan berbulu itu sudah cukup untuk menggerunkan saya," katanya.

Terpegun penulis mendengar kata-katanya. Lebih mengerikan apabila dia berkata, selepas beberapa hari bersalin, seorang doktor lelaki bukan Islam menyeluk kemaluannya semasa melakukan pemeriksaan.

Ada juga wanita mengadu, mereka menjadi bahan ujian doktor pelatih sejurus sebelum dan selepas mereka bersalin. Sekejap-sekejap ada saja 'doktor pelatih' lelaki yang meminta mereka membuka 'benda tu'.

Penulis seram sejuk mendengar kisah ini. Penulis tidak sangka perkara ini berlaku hari ini. Penulis ingatkan hal seperti ini berlaku pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu iaitu semasa negara kita baru merdeka.

Hakikatnya perkara ini berlaku selepas dunia melangkah ke kurun dan alaf baru dan negara ini sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam.

Ertinya dalam kita sibuk-sibuk memperkatakan mengenai jihad ekonomi dan seumpamanya, masih lagi banyak perkara yang kita tertinggal. Dalam kes wanita Islam berbidankan kakitangan perubatan lelaki dan bukan Islam pula, membayangkan banyak perkara belum dibereskan.

Urusan perbidanan ini adalah fardu kifayah. Bagi kebanyakan orang, pengertian fardu kifayah bermaksud, jika ada sesuatu kumpulan yang melaksanakannya, 'orang lain tak payah'.

Memang benar kebanyakan daripada urusan perbidanan dilaksanakan oleh bidan dan jururawat perempuan tetapi satu hal yang perlu diakui, doktor pakar yang melakukan pemeriksaan dan rawatan, kebanyakannya adalah lelaki dan bukan Islam pula.

Berhubung perkara adalah perlu untuk umat Islam menginsafi bahawa jumlah doktor pakar perbidanan adalah amat sedikit sekali. Umat Islam bukan saja lemah dalam bidang ini tetapi juga dalam bidang profesional lain.

Adalah bermanfaat untuk kita mengetahui kedudukan golongan profesional bumiputera di Malaysia berbanding bangsa lain.

Bumiputera Bukan Bumiputera
Akauntan 11 peratus 89 peratus
Peguam 22 peratus 78 peratus
Arkitek 22 peratus 78 peratus
Doktor Gigi 25 peratus 75 peratus
Doktor 27 peratus 73 peratus

Sekalipun data ini diambil beberapa tahun lalu, dijangkakan jumlah profesional bumiputera (Islam) adalah terlalu sedikit berbanding bukan bumiputera.

Jika peratusan doktor bumiputera adalah 27 peratus saja, bagaimana agaknya kedudukan bumiputera yang menjadi pakar perubatan termasuk pakar sakit puan dan perbidanan.
Berdasarkan hakikat ini, tahulah kita mengapa ibu-ibu yang bersalin di hospital diperiksa oleh pakar perubatan lelaki dan bukan Islam pula.

Berdasarkan maklumat yang diterima, doktor-doktor pakar ini bukan saja memeriksa, merawat dan menguji kaji peranakan ibu-ibu tetapi juga mengesyorkan kepada sesetengahnya supaya menjalani proses pemandulan (mengikat saluran peranakan).

Demikian betapa bernasib malangnya umat Islam hari ini yang 'terpaksa menyerahkan wanita-wanita' mereka untuk diperiksa oleh pakar-pakar perubatan lelaki bukan Islam.

Wahai saudara seagamaku, adakah anda tidak berasa apa-apa dengan keadaan ini? Tidak terguriskah hati anda apabila kehormatan isteri, adik, kakak, dan saudara-saudara perempuan kita yang lain diperiksa oleh lelaki asing, bukan Islam pula?

Tidak rasa sayukah hati kita dengan nasib malang yang menimpa ummah ini? Sebagai seorang Islam, apakah yang sudah kita buat untuk mengatasi perkara ini?

Sebagai penulis, saya mendedahkan perkara ini untuk pengetahuan umum supaya diambil tindakan oleh setiap Muslim yang cintakan agamanya.

Saya merayu agar anak-anak Islam sekalian terutama yang perempuan dapat belajar bersungguh-sungguh dan bercita-cita menjadi pakar perbidanan dan sakit puan supaya hal yang memalukan ummah ini dapat dipadamkan.

Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak anda dengan sesungguh hati dan berdoa agar ada yang menjadi pakar dalam pelbagai bidang termasuk ilmu kedoktoran.

Kepada kakitangan perubatan Islam yang sedia ada, saya merayu agar anda sekalian meneruskan profesion anda dengan penuh istiqamah, sekali gus menepati ibadah fardu kifayah ini.

Rayuan ini dibuat kerana saya difahamkan ada doktor perbidanan wanita Islam yang beralih kerjaya menyertai syarikat jualan langsung kerana gaji sebagai kakitangan kerajaan tidak memuaskankan.

Kepada pemimpin negara, saya juga merayu agar perkara ini dapat diatasi segera. Usahlah terlalu taksub berpolitik sehingga sanggup mengetepikan doktor-doktor dan profesional Melayu lain seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin sebuah negeri.

Semua pihak perlulah insaf bahawa negara kita sudah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad lalu tetapi masih gagal menangani permasalahan ummah yang amat meruncing seperti ini.

Usahlah mendabik dada menyatakan kita sudah mencapai kemajuan dalam bidang itu dan ini tetapi hakikat ini kita masih tidak ke mana.

Seorang pemimpin juga pernah berkata, jika ditarik harta, pemilikan dan tenaga kerja orang bukan Islam daripada negara ini, maka negara kita tidak ada apa-apa.

Jika dakwaan itu benar, bagaimana pula kita boleh mendabik dada menyatakan negara ini sebagai negara Islam tersohor di dunia. Mungkinkah benar negara kita tersohor tetapi umat Islamnya masih ketinggalan dalam segala segi?

1 comment:

sizukabita said...

sgt setuju artikel ini...jgn kata bersalin, sakit biasa pun saya takut dipegang/cek kalo doktor lelaki

yg berkemampuan disertakan bayaran bole memilih doktor wanita...tapi yg kuarng berkemampuan menyerah diri shj di hosp government. entah nanti apa nasib saya.