Tuesday, August 3, 2010

Kikis PhD, SMOS sebelum cakap soal perpaduan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Kami pernah pergi bersama-sama Nabi s.a.w., tidak pernah orang berpuasa mencela orang berbuka dan tidak pula orang berbuka mencela orang yang berpuasa." (Sahih Bukhari)

***
KINI Umno dan media massa tunggangannya berbuih mulut bercakap dan membicarakan perpaduan orang Melayu melalui kerjasama Umno-PAS. Berdasarkan senario semasa, hakikatnya Umno cemas kerana tidak yakin komponen Barisan Nasional (BN) mampu menduduki singahsana Putrajaya apabila diadakan pilihan raya umum ke-13.

Pendek cerita Umno dan sekutunya kini di ambang tergelincir daripada kuasa. Perit hilang kuasa di Selangor, Perak (dirampas kembali secara tidak bermoral), Kedah dan Pulau Pinang masih terasa, jika hilang kuasa Putrajaya tentu mereka akan merana bagaikan orang gila (talak).

Kapal Umno hampir karam, bagi menyelamatkan diri ia mahu memaut bahu PAS. Hajat Umno, kalau dia tenggelam biarlah dia mati bersama PAS. Biarlah mati bersama-sama, barulah puas Umno. Ini namanya PhD – perasaan hasad dengki, tidak senang tengok orang lain senang.

Umno lihat sekarang ini PAS sudah senang dengan rakan Pakatannya - KEADILAN dan DAP. Ini yang tidak disenanginya. Dia juga ada penyakit SMOS (Susah Melihat Orang Senang). Dia yang hampir karam mahu PAS sama-sama karam. Ini penyakit SMOS juga, Senang Melihat Orang Susah. Itulah sekarang ini dia (Umno) senang melihat kerajaan Selangor susah dalam menghadapi isu pasir rekaannya.

Jadi sebelum bercakap pasal perpaduan atau kerjasama Umno-PAS, hilangkan dulu penyakit PHD dan SMOS ini. Banyak kisah lampau dan sekarang ini pun membuktikan Umno amalkan PHD dan SMOS ini ke atas PAS dan rakannya dalam Pakatan.

Untuk mengetahui betapa PHD dan SMOS-nya Umno ke atas PAS tanyalah orang veteran PAS seperti Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sudah 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Dalam isu terbaru, royalti minyak Kelantan sudah jelas akan PhD dan SMOS-nya Umno. Jadi kalau mahu bercakap pasal perpaduan, cucilah diri dulu daripada penyakit batin PhD dan SMOS ini.

Jika Umno tidak mahu berubah dalam hal membabitkan PhD dan SMOS ini kononnya penyakit ini sudah membarah dalam hati, amat-amatilah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 170, yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,' mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.' "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"

Selagi Melayu Umno tidak meninggalkan slogan '...dulu, kini dan selamanya', jangan harap lahir Melayu berpadu yang hidup bertunjangkan al-Quran dan hadis. Inilah formula penyatuan (perpaduan) Melayu, lain tidak. Jika Umno bertunjangkan al-Quran dan hadis, insya-Allah PhD dan SMOS akan lenyap, kedaulatan Islam akan membawa kemakmuran negara, insya-Allah dunia dan akhirat.

Sejarah mencatat betapa teruknya PhD dan SMOS Umno sesama Melayu. Institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (SAR) mereka mahu hancurkan. Pada ketika institusi ini berkembang dan semakin berpengaruh untuk melahirkan bibit-bibit yang dapat menyambung perjuangan menegakkan Islam, mereka dicantas dan dilumpuhkan, sebahagiannya oleh pemimpin Melayu Umno berkelulusan PhD dan SMOS.

Mengapa pemimpin Melayu Umno begitu berkobar-kobar untuk meruntuhkan institusi yang memberi begitu banyak manfaat kepada orang Islam/Melayu sedangkan mereka 'berkokok' kononnya memperjuang nasib orang Melayu pada setiap kali perhimpunan agung parti Melayu terbesar di dunia.

Bukankah Pasti ini salah satu institusi orang Islam/Melayu? Jika mahu runtuh dan hancurkan 'harta orang Melayu' sendiri, ia menunjukkan betapa besar PhD sesetengah pemimpin Melayu Umno.

PHD dan SMOS pemimpin Melayu Umno ketara kerana peniaga kecil Melayu di tepi-tepi jalan sering diusir, rumah setinggan Melayu kerap diroboh, tanah orang Melayu sering kali diambil dengan alasan ia untuk dimajukan dan anak-anak orang Melayu yang tidak menyokong 'parti Melayu terbesar di dunia' dinafikan hak untuk mendapat bantuan pengajian dan juga peluang pekerjaan serta tender.

Pemimpin Melayu Umno jugalah yang menghancurkan masa depan bahasa orang Melayu seperti memperkenalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan pada masa yang sama mereka mendakwa sebagai pendaulat bahasa.

Demikian betapa besarnya PhD dan SMOS sesetengah orang Melayu Umno ini. Jika direnungi lipatan sejarah, dengan PhD inilah kerajaan Melayu Melaka lingkup, kerajaan Melayu Singapura (ingatkah kisah Sang Rajuna Tapa) hancur, negeri-negeri Melayu dijajah Inggeris dan mutakhir ini pelbagai kes yang memalukan Melayu sampai ke pengetahuan antarabangsa.

Betapa PhD sesetengah Melayu Umno, menyebabkan mereka 'bergelumang' dalam kes seperti AP (Approved Permit) rasuah politik, pulau-memulau, rampas dan runtuh masjid, seks bebas serta aneka maksiat lain.

Selagi Melayu tidak membuang ijazah PhD dan SMOS ini jauh-jauh dan kembali kepada Islam yang syumul, dari sehari ke sehari, 'pakaian' (harga diri) mereka akan tertanggal satu demi satu! Oleh itu jika mahu bercakap pasal perpaduan, buangkan dulu ijazah PhD dan SMOS ini!

Kikislah PhD dan SMOS terhadap kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Perpaduan tidak akan wujud jika hati dan perangai masih dibeliti PhD dan SMOS terhadap negeri-negeri ini apatah lagi jika selepas hilang kuasa di Putrajaya!

No comments: