Monday, August 16, 2010

Apa disemai di sekolah mengandung, itulah dituai nanti

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan
"(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikan aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-Mu'minum: 99-100)
***

APA yang berlaku dalam masyarakat hari ini begitu membingungkan. Jenayah semakin menjadi-jadi manakala akhlak rakyat berada pada paras kritikal. Akibat akhlak buruk inilah ada pemimpin seperti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan penubuhan sekolah mengandung dan penurunan had umur perkahwinan.

Sekolah mengandung hampir pasti membabitkan kelahiran bayi-bayi tidak dikehendaki. Wujudnya sekolah ini menggalakkan penularan perkara kurang sihat dalam masyarakat, dibimbangi apa disemai (produk dikeluarkan) daripada sekolah mengandung itu akan melahirkan generasi baru yang kacau-bilau.

Berhubung perkara ini, penulis tertarik dengan lontaran idea bahawa apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah berdasarkan apa yang disemai oleh kita tidak lama dulu. Kalau ada sekolah mengandung, kita menzahirkan anak-anak ini (dilahir dan mungkin dibesarkan di sini) tentunya ia akan memberi kesan negatif kepada si anak dan ibu.

Jika kita semai benih padi, insya-Allah padilah yang akan kita kutip. Jika kita semai biji mangga, buah manggalah yang akan kita petik. Jika kita galakkan kelahiran anak yang tidak tentu status ibu bapanya di sekolah mengandung, jadi kita menyemai benih apa sebenarnya?

Sebenarnya benih sihat dan berkualiti pun perlu penjagaan rapi, seterusnya ketika ia membesar dan membuahkan hasil. Namun apa hasilnya jika benih bermula daripada tempat kurang disenangi seperti sekolah mengandung itu?

Tidak ada orang waras akan menyemai benih lalang ketika dia menyemai benih padi. Tetapi lalang (ataupun menerung) kadang-kadang akan hidup beriringan dengan pohon padi tadi.

Dalam usaha memastikan anak padi tadi hidup subur, ia hendaklah dibelai, dibajai dan sebagainya manakala anak-anak menerung tadi dicabut dan dihumbankan ke batas.

Demikianlah manusia. Dalam usaha membesarkan seseorang agar benar-benar menjadi 'manusia', segala keperluan ke arah itu perlu diperlengkapkan manakala 'lalang' yang turut bersamanya perlu dihapuskan termasuk meracunnya.

Malangnya dalam masa seseorang insan itu membesar, terlalu banyak 'lalang' yang menyuburi hidupnya. Yang pertama mungkin ibu bapanya sendiri. Misalnya ibu bapa yang tidak menunaikan suruhan agama (contoh solat), secara automatik akan menanam 'lalang' ke dalam diri si anak. Ibu bapa sah pun culas dalam penjagaan anak, apa diharapkan penjaga anak daripada sekolah mengandung.

Kebanyakan anak-anak hari ini membesar dengan 'TV dan komputer berada di sisi mereka'. Untuk melekakan si anak bagi membolehkan ibu bapa membuat kerja lain, anak-anak dibiarkan di depan TV dan komputer dengan pelbagai 'game'.

TV adalah 'lalang' terbesar dalam mempengaruhi jiwa anak-anak. Banyak perkara mereka pelajari daripada TV dan media massa lain. Ada yang baik dan ada yang buruk.

Apabila remaja, anak-anak lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah. Mereka ke sekolah dan kemudian ke institusi pengajian tinggi.

Pada peringkat umur inilah mereka dapati 'lalang' terlalu banyak, malah amat subur. Ada banyak 'pusat lalang' seperti pusat beli belah untuk melepak, kafe siber, premis empat nombor ekor, pub, karoke, bar, rumah urut dan pusat perjudian termasuk nun di puncak gunung (kompleks judi terbesar di Asia Tenggara).

Pada peringkat umur inilah jika tidak diawasi anak-anak akan hanyut. Amat menghairankan pusat-pusat hiburan ini tumbuh bagaikan cendawan (lalang?) selepas hujan.

Budaya hiburan semakin disuburkan. Anak-anak di bangku sekolah pun dilatih menjadi pelakon, penghibur dan 'penuntut' (kononnya) dalam rancangan-rancangan hiburan seperti Akademi Fantasia dan Malaysian Idol.

Ibu bapa pula macam 'lalang' - seronok tengok anak-anak berkinja-kinja dalam Akademi Fantasia atau 'tumpang semangkok' membawa anak-anak menyertai puluhan ribu rakyat (hampir semuanya Melayu/Islam) menonton konsert 'Jomheboh'.

Budaya ini siapa yang suburkan? Siapa yang benarkan? Kita tidak hendak menuduh sesiapa tetapi mahu tidak mahu terpaksa kata kerajaanlah sebab pihak inilah yang paling berkuasa. Budaya buruk ini kerap menyebabkan kehamilan luar nikah, dan kini sebagai jalan keluar mahu diwujudkan sekolah mengandung.

Jika kita memperkatakan tentang kerajaan, selalunya yang diuar-uarkan ialah konsep seperti 'hendaklah kamu taat kepada pemimpin (pemerintah)', tetapi tidak pernah pula diperkatakan mengenai kewajipan pemerintah.

Tugas pemerintah amat berat tetapi diremehkan saja. Di sini sukacitalah kita petik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengenai kewajipan pemerintah.

Terjemahan hadis - Sabda Rasulullah s.a.w. Sesiapa daripada pemerintah yang memerintah rakyat Muslimin, tiba-tiba ia mati dalam keadaan menipu mereka itu (pembalasannya) Allah mengharamkannya daripada memasuki syurga.

Antara huraian hadis ini - Sebagaimana rakyat wajib taat kepada pemerintah, maka demikian pula pemerintah atau ketua mestilah menjalankan pemerintahannya dengan adil dan dengan penuh kejujuran.

Kerap kali ketua-ketua itu terpesong dalam tugasnya. Amanah yang diberikan kepadanya telah digunakan untuk tujuan-tujuan yang salah dan menekan rakyat di bawahnya. Perbuatan itu dikatakan menipu rakyat jelata.

Hadis yang tersebut mengingatkan bahawa perbuatan menipu rakyat itu adalah kesalahan besar dan dikutuk oleh Tuhan dan masyarakat, seterusnya di akhirat dia diharamkan daripada memasuki syurga Allah.

Erti pemerintah itu termasuk juga para menteri, pembesar-pembesar dan pegawai-pegawai tinggi. Mereka itu mestilah menjalankan tugas masing-masing dengan ikhlas dan jujur, jauh dari segala penipuan, semoga rakyat dapat hidup dengan aman dan seterusnya terlepas daripada kemungkaran Allah.

Dalam isu berkaitan 'lalang' ini, kita ingin bertanya adakah pemimpin kita sudah menjalankan tugas mereka dalam erti kata sebenar-benarnya. Apakah mereka bersih daripada 'unsur menipu dan menekan rakyat'? Benarkah pilihan raya lalu bebas daripada 'unsur-unsur' penipuan? Benarkah kenaikan harga barang-barang asas tidak menekan rakyat?

Kita bimbang kerana berdasarkan ungkapan 'apa yang disemai itulah yang dituai' gambaran hari ini seperti berleluasanya maksiat, jenayah dan segala hal negatif lain menunjukkan kita leka membiarkan 'lalang' membiak dalam masyarakat. Atau kita sendiri sudah tersilap menyemai 'lalang' dan hasilnya 'lalang'lah yang kita kutip hari ini.

Natijah 'menyemai lalang' termasuk di sekolah mengandung itu adalah berleluasanya kes rogol, zina, bunuh, samun, ragut, mabuk, bersekedudukan, rasuah, tipu dan sebagainya. Kita bimbang sekolah mengandung yang kita bina itu ada kesinambungannya seperti ‘kolej dan universiti buat anak’.

Apabila ini berlaku makin rosaklah masyarakat. Oleh itu jangan disemai lalang di sekolah mengandung sebaliknya lahirkan baka baik-baik yang akan menyelamatkan anak bangsa dunia dan akhirat.

No comments: