***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Ahlul Quran adalah kekasih Allah, dan orang yang diistimewakan-Nya." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Dalam hadis lain Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Barangsiapa yang telah Allah berikan al-Quran kepadanya, lalu dia mengira bahawa seseorang lain itu lebih sempurna daripada al-Quran, maka dia sudah menghina ayat-ayat Allah (al-Quran) itu." (HR, Bukhari)
***
Masa berlalu pantas, Majlis Tilawah al-Quran peringat antarabangsa kali ke-52 berakhir 3 Ogos lalu. Mungkin ramai tidak menyedari majlis ini dengan media massa kurang minat menghebahkannya. Demikian juga dengan Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang sudah 53 kali diadakan, semakin lama semakin lesu.
Umum menyedari majlis seperti ini semakin lama semakin jauh daripada hati ummah, jadi sudah sampailah masa kepada orang yang cintakan Allah, Rasul dan Kitab-Nya termasuk cendekiawan membuat kajian secara jujur mengapa fenomena ini menimpa masyarakat.
Kita gembira dan bersyukur berlaku kecenderungan untuk meningkatkan mutu bacaan al-Quran tetapi amat dibimbangi kemerduan suara qari dan qariah telah menenggelamkan sama sekali maksud al-Quran diturunkan agar menjadi panduan umat manusia. Sewajarnya selepas lebih 50 kali diadakan majlis tilawah, semua ayat-ayat yang telah dibacakan dapat dijadikan panduan kehidupan daripada sebijak-bijak atau setinggi-tinggi kedudukan individu dan kumpulan masyarakat sehinggalah ke tahap paling rendah.
Sebagai umat Islam kita perlu insaf bahawa hidup adalah sia-sia dan rosak melainkan kita mengikuti sepenuhnya telunjuk al-Quran iaitu mesej Allah SWT kepada kita. Mengikuti sebahagian daripadanya dan mengetepikan sebahagian yang lain adalah berlawanan daripada pengakuan kita dalam Rukun Iman (Percaya kepada Kitab) yang boleh menyebabkan tergelincir akidah lantas menjadi kafir.
Tetapi amat malang, ayat-ayat yang dibacakan dengan begitu mendayu-dayu seolah-olah tidak dapat menyerap ke dalam hati kita, melahirkan rasa gementar kerana takutkan Allah seterusnya menggerakkan seluruh tenaga dan fikiran kita untuk melaksanakan apa yang diperintah-Nya, sebaliknya menjauhkan larangan-Nya.
Sebagai contoh apa reaksi kita apabila qari membaca ayat 91-92 Surah Al-Maidah, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dan perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
Tilawah dirasmikan pemimpin nombor satu negara, jadi tidak tersentuhkah hati apabila dibacakan ayat-ayat ini kerana masih mahu mengeluarkan lesen judi manakala isteri pemimpin tidak tersentuhkah hati apabila dibacakan ayat 31 Surah An Nur yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…”
Adakah mesej Allah SWT untuk didendangkan, bukan sebagai panduan dalam kehidupan? Atau kita mengambil mesej Allah secara terpilih-pilih, misalnya pada ayat 183 Al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan kita berpuasa, maka kita pun berpuasa, tetapi apabila Allah SWT memerintahkan kita berhukum dengan qishash melalui ayat sebelum belum itu (178), kita berdolak-dalik? Kita pun pandai berlakon, ke majlis tilawah, masjid atau ke Makkah bersopan santun termasuk menutup aurat sepenuhnya tetapi di luar persekitaran itu, mempamerkan belang kita?
Apabila ini dilakukan, roh tilawah tidak ada, ayat-ayat (mesej) Allah tidak meresap ke dalam jiwa, buktinya walau sudah 50 kali dilangsungkan, perintah Allah terabai manakala larangan-Nya dilanggar penuh nafsu sehingga negara dan masyarakat dihinggapi bencana dan fitnah berpanjangan. Jadi, insaflah!
No comments:
Post a Comment