Thursday, August 19, 2010

Jangan jadi hamba Ramadan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
BAHAYA KEMEWAHAN

Erti sebuah hadis, daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

"Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Makkah).

"Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?"

"Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada pada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki."

"Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu." [H.R. Termizi]

Keterangan

Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad s.a.w. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad s.a.w. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ia sudah mencukupi tetapi, apabila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan.

Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.: "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)."

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.

Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.
****

Bersyukur ke hadrat Ilahi kita dipanjangkan usia untuk berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, seterusnya memuzakarah isu semasa yang menjadi kepentingan ummah.

Kehadiran Ramadan menyibukkan sesetengah orang melakukan sedikit perubahan seperti orang perempuan yang biasanya membiarkan rambut terdedah, menyerkup kepala mereka dengan tudung sekalipun jambulnya masih tersembul, manakala orang lelaki tertatih-tatih ke masjid untuk solat secara berjemaah.

Ini perkembangan yang baik tetapi alangkah besar manfaatnya jika amalan ini berterusan sepanjang waktu. Jika perubahan ini dilakukan semata-mata bagi menghormati Ramadan atau mendapatkan kelebihan beribadat pada bulan penuh barakah ini, dikhuatiri seseorang itu menjadi hamba Ramadan dan bukan hamba Allah SWT yang menunjukkan ketaatannya sepanjang usianya.

Berhubung perkara ini, kita tertanya-tanya mengapa sesetengah pihak hanya begitu ghairah mendesak penutupan pusat hiburan dan maksiat pada bulan Ramadan sedangkan diam seribu bahasa pada bulan-bulan lain. Apakah ini bermaksud pada Ramadan saja kita berbuat baik sebaliknya pada bulan-bulan lain bebas berbuat sesuka hati kita? Apakah ini bermaksud Tuhan hanya ada pada Ramadan, sedangkan pada bulan-bulan lain, Tuhan seolah-olah tidak wujud?

Pemikiran dan tindakan mengasing-asingkan corak kehidupan berdasarkan masa dan tempat ini sebenarnya amalan sekular. Berdasarkan ini, tidak hairanlah orang berusaha mematuhi suruhan agama seperti memakai tudung pada bulan Ramadan tetapi pada bulan-bulan lain tidak menghiraukannya sedangkan perintah Allah SWT berhubung penutupan aurat adalah pada sepanjang masa.

Demikian juga ketika menunaikan haji di Tanah Suci, seorang Muslimah sentiasa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya, tidak kelihatan seorang pun wanita yang memperlihatkan rambutnya. Adakah ini bermaksud Allah SWT itu hanya ada di Makkah, manakala di luar musim haji dan di luar Tanah Haram, Allah SWT tidak wujud kerana perintah-Nya dilanggar sewenang-wenangnya.

Pemikiran sekular ini sudah lama meresap dalam masyarakat kita; sebahagian daripada kita melakukan perintah Allah SWT berdasarkan apa yang disenangi sebaliknya menolak apa yang difikirkan mendatangkan kerugian. Misalnya, pada ayat 178 Surah al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan manusia berhukum dengan hukum qisas, kebanyakan manusia tidak mempedulikannya tetapi apabila diperintahkan berpuasa pada ayat 183 surah yang sama, mereka menerimanya.

Kecenderungan melakukan perintah secara terpilih ini, menyebabkan umat Islam berkelakukan baik pada suasana yang memerlukan mereka bertindak sedemikian, sebaliknya pada luar lingkaran itu bertindak di luar batasan agama. Jika mereka di masjid, mereka menunjukkan ketaatan tetapi di luar pintu masjid, seolah-olah perintah Allah tidak laku. Itulah sebabnya mengapa sebahagian umat Islam melakukan aneka maksiat seperti rasuah, perompakan dan penyelewengan kerana agama bagi mereka adalah dalam lingkungan masjid dan pada bulan dan musim tertentu saja.

Pada bulan Ramadan ini, ramai bertukar baik, tetapi sebaik saja masuk bulan Syawal kelakuan mereka kembali buruk. Aneka maksiat kembali dilakukan, penyelewengan dan penganiyaan menjadi-jadi termasuklah dalam bidang politik.

Penindasan diteruskan, segala tazkirah dan pengajaran Ramadan tidak sangkut di hati. Manusia kembali liar, malah mungkin lebih buruk lagi sebelum Ramadan.

Jika ini berlaku, seseorang itu dikhuatiri menjadi hamba Ramadan, gagal menjadi hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah dan hukum-Nya sepanjang masa.

Mungkin dalam hidup seseorang dia sudah menyambut 50 kali Ramadan sesudah balighnya, tetapi amalannya tetap sama saban tahun.

Pada bulan Ramadan dia bertukar baik, tetapi pada bulan-bulan lain merapu dalam tindak-tanduknya kerana hidup tidak berpandukan Syariat. Semoga kita tidak tertipu buat sekian kalinya Ramadan ini, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh menjadi hamba-Nya yang mendapat keredaan-Nya dunia dan akhirat.

Beribadat dan berbaktilah sepanjang hayat kita, usah pada bulan Ramadan saja.

No comments: