***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah Azzawajalla itu membuka tangan selebar-lebarnya untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malam sehingga siangnya, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siang sehingga malamnya. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat."
***
SUATU hari menjelang raya, Nabi Muhammad s.a.w. terlihat seorang kanak-kanak duduk sendirian, tidak menyertai budak-budak lain yang begitu bergembira hendak beraya.
Nabi s.a.w. pun menghampiri kanak-kanak itu, bertanya kenapa dia menyisihkan diri.
Terharu dan sedih Rasulullah s.a.w. apabila budak itu memberitahu ibu bapanya sudah meninggal dunia, dia sebatang kara, jadi apa erti raya padanya.
Apabila tiada ibu bapa, tiadalah belaian kasih sayang, pakaian baru dan aneka kegembiraan lain yang dapat mengheret kanak-kanak itu untuk leka bermain-main dengan budak-budak lain.
Nabi pun bertanya kepada kanak-kanak itu, mahukah dia bersaudara dan berkawan dengan Hassan dan Hussein, berbapakan Ali serta beribukan Fatimah. Kanak-kanak pantas menyebutkan 'ya', dan kemudian mengikut Rasulullah s.a.w. pulang untuk menyertai keluarga baginda sebagai anak angkat.
Demikian, kisah ini diceritakan kembali oleh Ustaz Sidik Nor dalam ceramahnya selepas solat tarawikh yang sempat penulis ikuti beberapa tahun lalu.
Sekalipun hadirian pada ceramah itu boleh dibilang dengan jari tangan dan kaki sementara hujan renyai-renyai, suasana itu tidak mematahkan semangat Ustaz Sidik untuk bercakap penuh tenaga dan bersemangat sekali.
Ustaz Sidik yang ke hulu ke hilir berceramah (satu malam di Johor, malam esoknya di Pulau Pinang, kemudian Selangor, Melaka dan seterusnya ke tempat lain bersama-sama 'barang-barang dagangan' di bahagian belakang vannya), begitu berapi-api dalam memperkatakan nasib keluarga terutama anak-anak tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Ramadan dan Hari Raya ini.
Pagi raya ini sekali lagi akan menyaksikan air mata anak-anak ini, merembes membasahi tilam atau tikar mengkuang tempat tidur mereka. Tangisan, esakan dan teriakan si anak tidak mampu ditahan oleh si ibu dan anggota keluarga yang lain. Malah si ibu turut mengalirkan air mata, mengenangkan nasib orang tersayang, bukan nun jauh di perantauan, tetapi dalam kurungan.
Sabarlah nak, sabarlah sayang. Tidak lama lagi, ayah kamu akan pulang! Demikian agaknya pujuk si ibu. Rasa-rasanya perkataan ini pun sudah tidak mampu hendak diucapkan oleh si ibu. Ini kerana sudah ribuan kali ia diulang menyebabkan anak-anak sudah lali. Drama ini berulang, tahun demi tahun, entah sudah berapa kali Aidilfitri disambut dalam suasana begini.
Ustaz Sidik yang pernah ditahan empat tahun di bawah akta itu, dengan lantang bersuara: "Kalau mereka betul-betul dianggap bersalah, hadapkan mereka ke mahkmah. Buktikan kesalahan mereka, jika tidak, bebaskan mereka!" Beliau merujuk kepada sejumlah tahanan yang dilanjutkan tempoh kurungan kepada dua tahun lagi selepas mereka ditahan empat tahun.
Pada bulan Ramadan ini umat Islam amat digalakkan untuk membaca dan merenung-renungkan maksud ayat-ayat al-Quran. Amat malang jika pengajarannya tidak diambil kerana al-Quran itu adalah panduan hidup. Antara kisah membabitkan tuduhan dan perbicaraan terkandung dalam surah Yusuf.
Nabi Yusuf a.s. dituduh cuba membuat sumbang ke atas Zulaika. Bagaimanapun, suami Zulaika yang juga seorang pembesar Mesir tidak terburu-buru bertindak ke atas Nabi Yusuf a.s. semata-mata berdasarkan aduan isteri tersayang, sebaliknya meminta pandangan pihak lain termasuk saudara-maranya.
Dalam 'perbicaraan' itu, seorang saudara memberitahu, jika pakaian Yusuf terkoyak di bahagian depan, ia menunjukkan Yusuf bersalah tetapi jika ia terkoyak di belakang, ia menunjukkan Yusuf tidak bersalah.
Demikian Yusuf yang menjadi 'budak' di rumah seorang pembesar Mesir pun diadili sedangkan mereka yang dituduh di bawah ISA tidak langsung mempunyai peluang membela diri, tetapi ditahan terus untuk tempoh dua tahun, empat tahun, enam tahun tanpa ada jaminan ia akan dihentikan.
Ustaz Sidik juga mengkritik sesetengah umat Islam yang lebih mementingkan amalan zahir dalam beribadat seperti mengeraskan suara dalam puji-pujian kepada sahabat Nabi s.a.w.dalam solat sunat tarawih tetapi mengabaikan maksudnya yang tersirat.
Beliau berkata, apakah maknanya jika sesetengah bilal dan jemaah bersuara lantang dalam puji-pujian kepada Khalifah Al-Rasyidin - Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali - ketika solat tarawih, sedangkan mereka mengenepikan apa yang dibuat oleh khalifah.
"Ada yang menjadi penentang Islam, merekalah yang merobohkan masjid, merekalah yang melumpuhkan Sekolah Agama Rakyat, merekalah yang mahu melihat Pasti tersembam ke bumi," katanya.
Beliau berkata ketika berdoa, antara yang diminta ialah apabila di akhirat nanti untuk duduk di bawah bendera (panji-panji) Nabi, tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat adalah sebaliknya.
Katanya, orang Melayu Islam semakin tertekan, termasuklah dalam soal pendidikan. "Di Perak, semua Sekolah Agama Rakyat terpaksa ditutup, bagaimana mahu duduk bawah bendera Nabi jika tindakan mereka ini menghancurkan Islam," katanya.
Sekalipun ditekan, kata Ustaz Sidik, pejuangan untuk menegakkan Islam wajib diteruskan. Dalam hal ini, beliau merujuk kepada kegigihan orang China dalam mengusahakan buah kana untuk pasaran eksport.
Katanya, seorang rakannya memberitahu pokok kana akan mengeluarkan hasil selepas berusia 200 tahun. Orang yang tanam pokok kana itu sedia maklum bahawa dia tidak akan dapat merasai buah kana daripada pokok yang ditanamnya.
Tetapi dia menanamnya juga dengan keyakinan suatu hari nanti cucu cicit (keturunannya) akan dapat juga makan buah kana itu atau hasil jualannya. Demikian, perbandingan dengan menegakkan Islam, kalau hasilnya tidak dapat dilihat oleh pejuang hari ini, insya-Allah, suatu hari nanti hukum-hakam Islam akan tertegak juga di bumi Allah ini, demikian tegas Ustaz Sidik.
Beliau menegaskan Islam perlu ditegakkan keseluruhannya, bukan mengambil sebahagian dan tidak mengendahkan sebahagian yang lain. Misalnya dalam Surah al-Baqarah ayat 178dan 183 ada dinyatakan kewajipan berpuasa dan berkenaan Qisas, tetapi kenapa diambil puasa saja.
"Kalau bab puasa ini, orang bukan Islam pun puasa, malah orang Yahudi pun puasa, jadi apa makna ini semua?" tanyanya.
Ustaz Sidik turut 'menghentam' sesetengah artis dengan berkata: "Puasa-puasa juga, tetapi tengoklah, malam Aidilfitri nanti, mereka terselak sana, terselak sini..."
No comments:
Post a Comment