Friday, July 30, 2010

Umat Islam minoriti dibiar terus menderita

***
Dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula terdapat 100 biji, dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas (Kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.” (Al-Baqarah 261)
***

Kini Ramadan menjelma lagi. Ramadan beberapa tahun lalu, kita dikejutkan dengan tragedi umat Islam selatan Thailand apabila lebih ratusan orang terbunuh selepas pasukan tentera Thai melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan yang membantah penangkapan guru agama.

Tragedi Thailand dulunya mengingatkan kita bahawa kisah sedih yang menimpa umat Islam bukan lagi berlaku jauh daripada kita. Kita bukan lagi menatap paparan duka umat Islam Palestin, Bosnia, Chechnya, Iraq tetapi di negara jiran kita, Thailand yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.

Suasana di selatan Thailand kini tidak aman. Ada saja laporan letupan bom dan serangan; yang terbaru di Hatyai yang menyebabkan beberapa orang termasuk rakyat Malaysia terbunuh.

Tragedi Thailand sewajarnya menjadi ingatan kepada umat Islam Malaysia bahawa sikap leka dan sambil lewa mereka terhadap agama akan membawa padah. Ini kerana dalam kelekaan itu, musuh-musuh mengambil peluang, melakukan pukulan maut, sama seperti pasukan Uhud pada zaman Rasulullah (s.a.w.).

Tragedi Thailand sekali gus memalitkan rasa malu kepada pertubuhan serantau Asean kepada pertubuhan sejagat OIC dan PBB yang setakat ini 'malu-malu untuk bersuara' apatah lagi bertindak. Ia juga memalukan pemerintah Thai dan negara Asean lain yang kerap mendendangkan lagu 'toleransi beragama'.

Pelbagai laporan menyebut orang Islam selatan Thai didiskriminasi secara sistematik, termasuk dari segi pengamalan agama dan juga bahasa. Sekalipun kebanyakan mereka orang Melayu, disebabkan penerapan nilai-nilai Thai, ramai generasi muda tidak dapat lagi bertutur dalam bahasa itu.

Malaysia yang pernah menjadi Pengerusi OIC selepas dimalukan dalam tragedi selatan Thailand, perlulah bertindak segera bagi membela golongan minoriti itu. Tidak perlulah menunggu 'sebuah lagi Bosnia' berlaku di Thailand, barulah OIC hendak bertindak, itupun selepas mendapat lampu hijau daripada PBB dan kuasa besar yang menguasainya.

Berdasarkan sejarah, kita tahu PBB akan bertindak segera untuk menangani apa yang mereka dakwa keganasan yang berlaku di sebuah negara umat Islam. Krisis di Dafur, Sudan; Timor Timur (bekas wilayah Indonesia), Iraq; Afganistan, Iraq dan Iran adalah sebahagian contohnya.

Tetapi dalam kes membabitkan penganiayaan ke atas umat Islam seperti di Kashmir (India), Xinjiang (China), Chechnya (Russia), Rohingya (Myanmar) dan kini di Thailand, PBB 'tidak berkutik' pun, apatah lagi untuk mengharapkan suara lantang kuasa besar dunia.

Dunia Islam juga memandang sepi. Masalah umat Islam Thailand bukan masalah mereka, jadi tidak perlu susah-susahkan diri. Jika OIC yang mendakwa sebagai 'payung umat Islam' sedunia pun menyepikan diri, apa lagi yang dapat dilakukan ummah, selain mendoakan keselamatan saudara seagama di sana.

Bagi sesetengah umat Islam Malaysia, tragedi di selatan Thailand dan negara umat Islam lain seperti Iraq dan Palestin hanya sekadar berita.

Bagi yang prihatin mungkin terlintas rasa sedih sebentar, tetapi kemudian melupakannya kerana sibuk untuk memenuhkan juadah berbuka di meja, mengisi perut sepuas-puasnya selepas pulang daripada 'Fiesta Ramadan', 'Bazar Ramadan' dan apa-apa pesta lagi termasuk makan besar di hotel dan restoran!

1 comment:

xpara87 said...

Selatan Thai tidak ada kepentingan economy untuk OIC atau Malaysia....so nobody care.