***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuhlah) kamimu sampai ke kedua-dua mata kaki; dan jika kamu junub maka mandilah; dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali daripada tempat buang air besar atau menyentuh perempuan lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammunlah dengan tanah yang baik (bersih), sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu." (Al-Baqarah: 6)
***
“…Siapa yang sepatutnya memainkan peranan mendaftar pemilih baru? Adakah ia menjadi tanggungjawab parti politik atau tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?
“Bukankah SPR yang sepatutnya memainkan peranan mereka menarik minat orang ramai mendaftar sebagai pemilih? Parti politik hanyalah membantu dalam tugas suruhanjaya itu atas kapasiti menambah keahlian parti masing-masing.
“Bukanlah tugas hakiki parti politik untuk mencari, mempromosi dan mendaftar tetapi SPR yang sepatutnya berbuat demikian. Sepatutnya SPR sudah mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem pendaftaran yang ada sekarang dan perlu dibuat penambahbaikan.
“Pada era teknologi dan maklumat dan internet serta jalur lebar ini, pendekatan baru patutlah diambil oleh SPR bagi menjayakan proses mendaftar pemilih baru. Yakni tidak lagi seperti sekarang yang didapati menyulitkan.” – Petikan Surat Pembaca Berita Harian, 1 Julai 2010
Pendedahan pembaca ini dalam akhbar arus perdana ini sudah cukup untuk memberikan pukulan maut kepada SPR dalam isu yang digembar-gemburkan oleh pemimpin pemerintah yang diterajui Umno.
Hakikatnya dalam pendaftaran pemilih baru ini, isunya tiada, apa yang dilaungkan oleh pemimpin Umno kononnya orang Melayu paling kurang mendaftarkan diri adalah ketakutan mereka akan hilang sokongan dan undian seterusnya terpaksa meninggalkan takhta Putrajaya.
Dunia semakin maju, tetapi dalam hal ehwal membabitkan proses pengundian, situasi di tanah air tidak begitu. Bayangkan pada era teknologi maklumat amat pesat sekarang, UNDI POS masih dikekalkan, keputusan pilihan raya jika dimenangi pembangkang begitu lambat diumumkan manakala dalam perkara digembar-gemburkan terkini, soal kurangnya pendaftaran bakal pengundi Melayu pula diangkat menjadi masalah.
Ada apa dengan masalah pendaftaran pemilih baru? Apabila ini dijadikan masalah, anak-anak muda yang mahu ditambat hatinya menjadi pemilih baru akan ketawa terkekeh-kekeh. Tidakkah pihak berkenaan sedar dengan 1KAD PENGENALAN (Mykad) 1Malaysia, yang mereka bangga-bangga itu sudah cukup (atau menuju ke arah itu) untuk membolehkan mereka berurusan dalam hampir semua perkara – pengenalan, pendaftaran, perbankan, perniagaan, pelancongan dan sebagainya.
Tentulah budak-budak muda berusia awal 20-an yang begitu hebat dalam teknologi telekomunikasi itu terasa janggal untuk ke pondok pendaftaran pemilih sedangkan siang dan malam mereka tidak lekang daripada gajet ICT mereka. Yang paling koman pun mempunyai telefon mudah alih canggih, mereka bijak mengases dan menyimpan maklumat, termasuklah perkara terlarang seperti bahan lucah. Tup-tup mereka diajak ke pondok pendaftaran, tentulah mereka enggan dan ketawa terkekeh-kekeh.
Mungkin tidak lama lagi akan diperkenalkan ‘e-voting’ (pengundian elektronik) seperti yang sudah dijalankan secara berperingkat di Amerika Syarikat, jadi apakah masih relevan pondok pendaftaran. Bunyi PONDOK saja sudah menggelikan anak muda, apatah lagi mendekatinya.
Dengan kecanggihan ini, tentunya satu cara bagi mendaftarkan pemilih adalah secara automatik. Pendeknya dengan adanya kad pengenalan bermutu tinggi yang kerap diuar-uarkan itu, tidak menjadi masalah untuk rakyat yang sudah cukup syarat menjadi pemilih. Selalu dihujahkan, rakyat tidak boleh dipaksa untuk menjadi pemilih kerana kononnya negara mengamalkan demokrasi. Di sini, mereka hanya secara automatik menjadi pemilih, untuk mengundi atau tidak, itu soal mereka. Jadi tiada paksaan untuk mereka terbabit dalam pilihan raya.
Kini dengan pelbagai agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Imigresen begitu canggih sekali perkhidmatan mereka, amat malang SPR masih dengan tradisi dulu, kini dan selamanya. Persoalannya mengapa begitu?
Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan kerajaan Umno-BN yang enggan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik menerusi JPN dipercayai mempunyai motif untuk menyempurnakan politik agenda Umno-BN.
“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan mengadakan pendaftaran secara automatik tetapi mereka sengaja tidak mahu melaksanakannya kerana hendak menyempurnakan agenda Umno,” katanya.
Ya, apa masalah untuk mendaftarkan pengundi baru secara automatik. Jika ini dilakukan secara telus dan tulus, tidak ada apa perlu dibimbangkan oleh pemimpin Umno yang kini melolong menyatakan orang Melayu paling kurang mendaftar sebagai pemilih.
Jika dilakukan secara automatik, tentunya pengundi baru Melayu paling ramai kerana berdasarkan statistik jumlah peningkatan orang Melayu tinggi, jauh mengatasi kaum-kaum lain. Jika ini dilakukan tentunya beban kerja berganda dan bertindih dapat dielakkan
Jadi apa masalahnya, hakikatnya seperti kata Presiden PAS, pemerintah Umno-BN mempunyai motif menyempurnakan agenda politik mereka samalah seperti pengekalan UNDI POS dan melakukan penyempadanan semula mengikut seleranya.
Perkembangan semasa termasuk kehendak rakyat generasi baru yang mahir selok belok gajet komunikasi mereka tolak ke tepi, yang penting mereka mengekalkan kuasa seperti slogan bobrok dulu, kini dan selamanya. Kini mereka berkokok, takut kehilangan kuasa, tetapi sedarlah Firaun, Hamman, Namrud, Hitler, Bush, Saddam, Marcos dan Suharto semuanya sudah dimamah bumi. Yang ada di Malaysia tiada kecualinya, penyakit maut tiada ubatnya. Tunggulah saja!
No comments:
Post a Comment