Monday, July 19, 2010

‘Taqarrub’ yang melingkupkan bangsa

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal." (Surah al-A'la: 16-17)
***

TIDAK lama lagi sinar Ramadan kembali menjenguk. Seperti biasa, pentadbir masjid menjadi sibuk, ada yang berkira-kira mahu mengadakan majlis berbuka puasa, moreh dan sebagainya.

Baru-baru ini ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Gombak, penulis menerima sebuah risalah beserta borang menyumbang bantuan kewangan yang dinamakan Saham Ramadan. Dinyatakan antara kegunaan saham Ramadan adalah membantu membeli kurma untuk berbuka puasa, membantu membayar kos sajian moreh (selepas tarawih) dan membeli cenderamata untuk ketua-ketua dan ahli-ahli kumpulan tadarus (lelaki, perempuan dan dewasa).

Bagi menggalakkan orang ramai menderma, pada borang ditulis: “Ada hadis yang menyatakan: ‘Bulan Ramadan ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga. Ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan, dan ia juga bulan yang padanya ditambah rezeki orang-orang yang beriman. Barang siapa menjamu seseorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya daripada neraka’.” (Rujukan Buku Mestika Hadis 3, muka surat 14-15)

Di negeri kelahiran penulis pula (Melaka), setiap kali bulan puasa ada program ‘taqarrub Ramadan’. Dulunya program ini dinamakan Sivik Ramadan. Mungkin nama Sivik tidak sesuai (bunyinya macam mata pelajaran Sivik di sekolah), ia ditukar kepada taqarrub. Penulis bertanyakan seorang ustaz mengenai erti perkataan taqarrub itu. Katanya, taqarrub itu bermaksud mendekat atau menghampirkan. Jadi program taqarrub Ramadan atau masjid adalah program bagi menghampirkan umat Islam kepada ibadat dan juga rumah Allah.

Berdasarkan pengalaman lalu, sesebuah masjid akan mengadakan taqarrub Ramadan sekali saja dalam bulan puasa. Biasanya ia diadakan selepas solat tarawih lapan rakaat dan witir.

Pada kesempatan ini, penceramah undangan (tentunya yang diluluskan jabatan agama negeri) akan memberi panduan, menyuntik semangat keagamaan dan sebagainya. Pada majlis ini juga, Pengerusi JKKK dan pemimpin kampung turut mengambil kesempatan menyampaikan amanat mereka. Dalam program taqarrub ini beberapa penceramah akan bertugas dari sebuah masjid ke masjid lain sehinggalah berakhir bulan Ramadan.

Apa yang menghairankan penulis, taqarrub Ramadan boleh diadakan sedangkan suatu ketika dulu puak yang sama melenting apabila ada pihak yang mengadakan tazkirah ketika rehat pada waktu solat tarawih. Banyak alasan diberikan mereka seperti mengganggu konsentrasi jemaah dalam menunaikan solatlah, tazkirah berbau politiklah dan kononnya mengambil masa yang lama.

Usaha mendekatkan (taqarrub) ummah kepada masjid dan ibadat bulan Ramadan adalah usaha terpuji tetapi ada satu lagi program taqarrub yang dilakukan pemimpin Umno yang jelas tidak menepati ciri-ciri kemuliaan dalam Islam. Majlis taqarrub yang kembali bergema sekarang ini adalah kaedah sama dilakukan pihak sama sejak beberapa tahun lalu bagi mengganggu dan menggagalkan ceramah pihak pesaing.

Apa yang berlaku, apabila ada majlis termasuk cemarah anjuran parti pesaing, Umno secara spontan akan mengadakan majlis mereka di sebelah kawasan. Pemimpin mereka kemudian bercakap merapu-rapu termasuk menjawab apa yang dilontarkan oleh penceramah pada majlis sebelah.

Selain itu, pihak berkenaan juga membuat bising; baru-baru ini mereka bertindak memasang skrin besar perlawanan bola sepak Piala Dunia yang tujuan mereka tidak lain daripada mengganggu majlis di sebelah yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Inilah program taqarrub (dekat atau hampir) yang mereka giatkan; pembaca fikirlah sendiri sama ada mereka ini golongan profesional atau melakukan tindakan macam budak-budak.

Penulis pernah menghadiri majlis di mana ceramah pemimpin PAS diganggu oleh pemimpin Umno yang mengadakan majlis di premis sebelah. Berikutan adalah catatan penulis mengenai majlis tersebut:

Hanya pagar memisahkan bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu dengan sebuah rumah penduduk kampung yang dijadikan markas sementara Umno untuk berceramah.

Malam itu sekali lagi penceramah Umno mengekori penceramah PAS dalam program 'taqarrub' (hampir)nya. Di mana ada ceramah PAS, di situ ada ceramah Umno. Ia dilangsungkan pada tarikh dan masa yang sama. Cuma tempatnya adalah sebelah-menyebelah.

Di tepi pagar Pasti itu, ada sebatang pohon kelapa tumbang. Di situlah penulis 'bertenggek' mendengar ceramah kedua-dua pihak. PAS diwakili dua penceramah luar manakala Umno diwakili sekurang-kurangnya lima orang - daripada pemimpin negeri, majlis agama negeri, jabatan hal ehwal khas, ustaz dan ahli politik tempatan.

Sungguh terperanjat dan tersentuh hati saya mendengar penceramah-penceramah ini menyampaikan hujah mereka.

Tuduhan seperti penyeleweng akidah, anak cucu Dajal, pembohong, siang dia tidur malam dia keluar berceramah untuk membohongi rakyat, bangsat, dia peluk kafir, ini kafir sebenar, dialah kafir, penyangak, penyamun wang..., kau ulama dalam semak, tuhan kau ialah...'mencemari' malam itu.

Ada lagi kata-kata yang lebih teruk yang tidak tergamak untuk penulis nyatakan.

Di sini juga penulis tidak akan menyatakan pihak mana yang mengeluarkan kata-kata ini. Untuk berlaku adil, pembaca yang mahu tahu pihak mana yang mengutarakan kata-kata ini, datanglah sendiri pada majlis-majlis ini untuk menghakiminya.

Mendengar lemparan tuduhan dan kata-kata kesat yang diselang-seli dengan ayat-ayat al-Quran membuatkan hati saya begitu sedih sekali. Apa sudah jadi dengan bangsaku, hati saya menjerit. Apakah tidak ada usaha untuk menyelamatkan bangsaku yang semakin parah ini?

Bagi saya inilah program taqarrub yang melingkupkan bangsa. Mana tidaknya, mereka tidak menghormati para undangan dari luar yang datang dari jauh untuk berceramah. Antara penceramah yang pernah diganggu adalah Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Bayangkan ketika Ustaz Abdul Hadi berceramah, pemimpin nombor satu negeri boleh membuat bising termasuk berkokok.

Sewajarnya, segala permasalahan boleh dibincangkan dengan baik, usahlah membuat provokasi macam budak-budak tidak cukup akal. Malulah apabila majlis seperti ini disaksikan oleh orang luar, apatah lagi oleh kanak-kanak. Tentunya anak-anak terfikir, apa kena orang tua malahan pemimpin lagi berkelakuan macam itu, menjerit sana, melalak sini, mengejek itu dan ini.

Kalau tidak menyaksikan sendiri taqarrub songsang (menelangkupkan bangsa) ini, seseorang itu mungkin tidak dapat gambaran sebenar majlis berkenaan. Oleh itu, rakyat perlu bersikap terbuka dengan mendengar dan melihat gelagat serta perwatakan kedua-dua pihak dan kemudian bersedia untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan selepas menyedari pihak mana yang benar dan batil. Itulah lebih baik daripada menjerit, melolong dan berkokok tak tentu pasal!

No comments: