***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Ahli warisku tiada mempusakai dinar dan dirham. Apa yang aku tinggalkan selain daripada belanja isteriku dan keperluan pembantuku adalah untuk sedekah." (Sahih Bukhari)
***
DALAM isu terkini berhubung penubuhan sebuah negara mendaulatkan Islam, kita menjadi sedih dengan tindakan dan gelagat sesetengah pihak yang mengaku beragama Islam tidak menyorot peranan mereka bagi mendaulatkan hukum-hakam Islam sebaliknya mempersoalkan kenyataan peribadi Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak mahukan perkara itu.
Tidak menjadi masalah jika Karpal tidak mahukan sebuah negara yang mendaulatkan hukum-hakam Islam kerana sah dia bukan seorang Islam, tetapi yang menjadi persoalannya mengapa orang yang mengaku Islam termasuk pihak berkuasa tidak mahu mendaulatkan hukum-hakam Islam. Mungkinkah mereka sudah berusaha ke arah itu atau mereka sebenarnya dalang yang menghalang Islam daripada memerintah negara ini? Selayaknya Islamlah yang memerintah dan bukan diperintah kerana pengakuan setiap Muslim, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Taala.
Persoalan menegakkan hukum-hakam Islam ini yang hanya boleh dilaksanakan negara dan bukan secara individu, tersangat berat kerana setiap Muslim wajib bertindak ke arah itu, sekurang-kurangnya mempunyai niat atau cita-cita mencapai matlamat itu. Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti.
Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi. Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Ustaz dengan kelas pengajiannya, penulis dengan tulisannya dan begitulah seterusnya. Kemudian kita ada jemaah bagi memperjuangkannya. Jika kita tidak mampu ke arah menegakkan hukum-hakam Islam, berilah sokongan tidak berbelah bagi kepada jemaah yang mahu menegakkannya.
Malangnya, apa yang berlaku hari ini, bukan saja jemaah yang mahu menegakkan hukum-hakam Islam tidak dibantu, usaha mereka mahu digagalkan termasuklah dengan melakukan fitnah dan sekatan.
Panduan menegakkan hukum-hakam Islam sudah diberikan oleh Allah, kenapa manusia pula pandai-pandai mahu mencari jalan keluar? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.
Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tetapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat mudah dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.
Berdasarkan isu semasa yang membabitkan Karpal itu, pemimpin Umnolah yang paling ketara melaga-lagakan beliau dengan PAS. Bagi kita, persoalannya bukan Karpal tetapi Umno sendiri yang baru-baru ini dengan bangga mengumumkan kemasukan 40 ulama muda.
Sudah lebih 50 tahun Umno berkuasa di negara ini. Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam (lupakan keenggannya pada masa lalu), buatlah sekarang sebab ia masih berkuasa. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa. Kalau ditunggu lagi, semuanya dikhuatiri tinggal sejarah kerana ketika berkuasa pun tidak dapat buat, apatah lagi selepas kehilangan kuasa.
Kalau dalam tempoh 50 tahun Umno berkuasa tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi...500 tahun? Berdasarkan situasi sekarang, Islam di Malaysia bukanlah yang memerintah tetapi diperintah. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam terletak di bawah kuasa negeri jadi bagaimana dengan pengakuan seorang Muslim bahawa Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya?
Jika Karpal enggan melihat undang-undang Islam tertegak di negara ini, itu haknya sebagai seorang non-Muslim, tetapi apabila orang yang mengaku Islam tidak menolong jemaah yang bercita-cita menegakkan hukum-hakam Islam, tunggulah balasan Allah di atas keingkaran itu. Kita meminta perlindungan Allah daripada termasuk dalam golongan ini.
No comments:
Post a Comment