Tuesday, July 27, 2010

Ramadan bukan pesta makan-makan...

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesiapa yang mencintai dunia, nescaya memudaratkan akhiratnya, dan sesiapa yang mencintai akhirat nescaya memudaratkan dunianya. Maka hendaklah kamu utamakan yang kekal daripada yang fana." (Maksud hadis)
***

Menjelang Ramadan ini, pelbagai kisah pelik kita lihat dan dengar. Antaranya ribuan peniaga terutama yang menjual makanan berebutkan lot bazar atau pasar Ramadan.

Kemudian stesen televisyen sibuk dengan rancangan memasaknya, seperti Ketuk-ketuk Ramadan. Hotel pula sibuk dengan buffet Ramadannya. Masjid dan surau pula sibuk dengan jaudah berbuka puasa dan morehnya. Pendeknya semuanya berkaitan makanan sedangkan antara maksud puasa itu menahan daripada makan.

Menjelang Ramadan saya teringat artikel ini yang pernah saya tulis. Ia juga berkenaan pesta makan-makan dan membeli-belah pada ketika Ramadan.

Hal yang akan diperkatakan ialah mengenai perilaku sesetengah kita pada bulan Ramadan dan semasa Aidilfitri.

Pada saya perkara yang berlaku dalam masyarakat perlu diketengahkan, kemudian dikupas oleh alim ulama dan dikeluarkan nasihat, agar ibadat yang dijalani tidak diiringi perbuatan yang tidak sejajar dengan tuntutan agama.

Dalam masyarakat kita, belum pun umat Islam berpuasa, para peniaga sudah pun mengeluar dan mengedarkan risalah dan katalog tawaran Ramadan dan Aidilfitrinya.

Katalog tawaran raya sebuah rangkaian kedai perabot terkenal yang dihantar ke rumah-rumah, bukannya nipis - gulungan kertasnya membentuk sebuah 'baton lumba lari berganti-ganti'.

Selain katalog 'baton' ini, peti surat juga dipenuhi dengan pelbagai risalah tawaran istimewa. Daripada barangan elektrik sehingga kain ela, semuanya ada ditawarkan.

Pelbagai hadiah istimewa disediakan, siap dengan slogannya, 'siapa cepat dia dapat'.
Ramai suri rumah, malah 'bapa rumah', terpesona dengan tawaran istimewa itu. Mana tidaknya, misalnya, syarikat rangkaian perabot terkenal itu tidak memerlukan seseorang pembeli membayar cengkeram untuk barangannya.

Mula saja puasa, pusat membeli-belah pun berlumba-lumba menyiapkan dekrorasi dalamannya dengan 'setting' Hari Raya - ada yang yang menggabungkan sambutan Deepavali - maka jadilah Deeparaya. Sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu kota menyediakan sebuah pentas khas berbentuk pelita dengan slogan 'Cahaya Lebaran'.

Laporan berita televisyen menunjukkan eksekutif kanan pusat beli-belah itu ketika diwawancara memberitahu, bagi memeriahkan sambutan menjelang Aidilfitri, mereka akan mempersembahkan pelbagai tarian kebudayaan bagi menunjukkan betapa berpadunya rakyat Malaysia dalam menyambut pelbagai perayaan rakyatnya.

Selain pesta membeli-belah sebelum raya, di Malaysia seolah-olah sudah menjadi 'trend' untuk menjadikan Ramadan sebagai pesta atau karnival makan-makan.

Menjelang saja Ramadan, wujud pelbagai tempat pelbagai aktiviti tambahan seperti 'Pasar Ramadan, Bazar Ramadan, Pasar Minggu Ramadan, Gerai Ramadan dan Karnival Ramadan', seolah-olah bulan ini adalah untuk perhabis dari segi makan dan kegiatan membeli-belah.

Pelik sungguh, Ramadan adalah bulan puasa tetapi berdasarkan keghairahan kita mewujudkan pelbagai jenis pasar Ramadan ini, soal makan menjadi keutamaan bukannya puasa itu.

Aktiviti 'makan-makan' tidak terhad tempatnya - daripada di gerai tepi jalan sampailah ke hotel lima atau enam bintang. Makanan pelik-pelik yang tiada pada bulan lain seperti tahi itik atau tepung pelita, tiba-tiba saja muncul untuk memenuhi selera 'orang berpuasa'.

Di masjid dan surau pula diadakan 'majlis makan' (moreh), biasanya selepas solat tarawih. Adalah digalakkan untuk mengadakan majlis sederhana tetapi yang menyedihkan ada pengurusan surau yang sanggup 'mengemis bantuan' kepada orang politik (wakil rakyat) bukan Islam semata-mata untuk membeli gula dan kopi.

Di mana terletak maruah orang Islam jika untuk membeli kopi dan gula pun, mereka tidak dapat berdikari tetapi terpaksa 'meminta-minta' terutama daripada orang kaya bukan Islam?

Dalam suasana Ramadan ketika ini, di tepi-tepi jalan di sesetengah tempat, dibina gerai sementara yang menjual aneka barangan. Ada pula mendirikan bangsal untuk menjual daging lembu dan ayam. Semuanya seolah-olah menunjukkan fikiran dan tumpuan orang Islam hanya pada 'makan dan perhiasan saja'.

Seorang tokoh politik pernah meminta ulama supaya menegur sesetengah umat Islam yang menjadikan Ramadan bulan pesta makanan serta membeli-belah dan tidak mempedulikan langsung untuk meningkatkan amalan masing-masing.

Misalnya ada yang 'seronok' menjual daging lembu di bangsal di tepi jalan sehingga sehingga tidak mempedulikan solat waktu. Mereka sanggup menjadi 'penunggu lembu' siang dan malam.

Kata tokoh itu, ketika ini pelbagai kegiatan kurang sihat seperti pesta buka puasa dan Karnival Ramadan berkembang pesat.

"Jika kita tersalah langkah, ibadat puasa akan jadi pesta pula nanti," katanya.

Tokoh itu bimbang ibadat puasa umat Islam akan bertukar menjadi pesta haji seperti yang berlaku pada zaman Jahiliah.

Sejarah haji yang bermula sebagai ibadah pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan anak baginda, Ismail a.s. akhirnya bertukar menjadi pesta selepas itu sebelum dikembalikan ke landasannya oleh Nabi Muhammad s.a.w., katanya.

Pada kemuncak maksiat pesta haji itu, pengunjung Baitullah melakukan tawaf dengan keadaan bertelanjang bulat, katanya. Tokoh politik itu bimbang, jika ulama tidak membuat teguran, dikhuatiri puasa akan bertukar menjadi pesta yang terkandung pelbagai unsur negatif seperti menggalakkan amalan membazir, bercampur-gaul lelaki perempuan ketika majlis berbuka dan dicampur-adukkan dengan pesta hiburan termasuk nyanyian.

Beliau berkata, salah satu cara untuk mengukur sama ada puasa itu membawa perubahan positif atau negatif, hitunglah perbelanjaan - kalau ia terlalu besar berbanding bulan di luar Ramadan, bermakna seseorang itu gagal dalam puasanya tetapi jika ia dapat berjimat dan melebihkan ibadat dan siraturahim, bermakna dia berada di landasan yang betul.

Apabila menyambut Aidilfitri pula, pelbagai amalan songsang seperti kegiatan bermain judi (budak-budak pula main tikam-tikam), pesta-pesta hiburan dan hidangan minuman keras menjadi 'trend' sesetengah orang yang mengaku beragama Islam.

Semua amalan-amalan negatif perlu dibendung agar hukum-hakam dan syiar Islam sentiasa terpulihara manakala orang bukan Islam tidak memandang hina kepada Islam hanya disebabkan sikap buruk sesetengah penganutnya, katanya.

No comments: