Tuesday, July 20, 2010

Pentingnya suara alternatif

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Ahli warisku tidak mempusakai dinar dan dirham. Apa yang aku tinggalkan selain daripada belanja isteriku dan keperluan pembantuku adalah untuk sedekah." (Sahih Bukhari)
***

“HAI orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” – Maksud Ayat 6 Surah Al-Hujurat.

Semasa kecil saya begitu tertarik dengan cerita si petani dan cempelainya. Biasanya si petani ke ladang seorang diri, isterinya akan menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk menjaga seorang anak kecil yang kerap dimasukkan dalam buaian.

Suatu hari si isteri terpaksa menyertai si suami di ladang sebentar, jadi dia meninggalkan anaknya yang tidur dalam buaian dalam pengawasan sang cempelai. Tidak lama kemudian, suami isteri itu pun balik, tetapi apabila hampir sampai ke rumah, mereka terkejut besar melihat sang cempelai berlari-lari ke arah mereka dengan tubuhnya berlumuran darah.

Si petani tidak berfikir panjang, ditangkapnya sang cempelai dan dibunuhnya. Apabila mereka memasuki rumah suami isteri itu mendapati anak mereka selamat di dalam buaian sedangkan bangkai seekor ular besar berada berhampiran.

Apa yang berlaku adalah sang cempelai telah menyelamatkan anak si petani dengan membunuh ular tetapi dia tersilap besar kerana menyangka binatang itu telah membunuh anaknya.

Ya, dalam kehidupan, pandangan pertama tidak sentiasa betul. Oleh itu kita perlukan pandangan kedua dan seterusnya. Dalam terjemahan Ayat 6 Surah Hujurat, Allah SWT meminta manusia berwaspada, memeriksa setiap berita yang datang kepada mereka. Berita perlu disahkan kebenarannya, salah satu daripadanya dengan menyemak sumber atau pandangan kedua dan seterusnya.

Pandangan kedua dan seterusnya inilah yang dinamakan pandangan alternatif. Sama seperti pandangan pertama, peranan pandangan alternatif ini amat penting, tidak wajar ia dikesampingkan atau lebih teruk dibunuh.

Amat-amatilah pengajaran dalam kisah petani dan sang cempelai. Sepatutnya si petani mendapatkan pandangan kedua (mungkin boleh bertanya pendapat isterinya dulu), tetapi dia bertindak gopoh dengan membunuh pihak yang telah berjasa besar kepadanya. Alangkah rugi dan besar penyesalan sang petani, tetapi apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur.

Demikianlah kehidupan kita hari ini. Suara atau media alternatif amatlah perlu, tetapi mengapa ia dibunuh? Percayalah, sama macam si petani, si pembunuh media alternatif akan menyesal akan perbuatan terkutuk mereka itu.

Berdasarkan perkembangan semasa adalah penting untuk masyarakat terutama pemimpin bodoh sombong disedarkan kehadiran media massa alternatif yang semakin berkembang dalam masyarakat menjunjung demokrasi.

Di sesetengah negara maju, media massa alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan golongan atau kumpulan minoriti sehinggakan banyak sarjana dan cendekiawan memfokuskannya dalam kajian mereka.

Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti.

Chris Atton dalam artikelnya 'A Reassessment of The Alternative Press' dalam jurnal 'Culture & Society (Volume 21, Number 1, January 1999)' menulis bahawa 'Alternatives in Print Media' mengesyorkan tiga kriteria mudah mendefinisikan penerbit alternatif.

Mereka berpendapat bahawa sesebuah penerbit itu boleh dikatakan sebagai penerbit alternatif jika ia memenuhi salah satu syarat ini:

1. Penerbit bukanlah bersifat komersial, mempamerkan keprihatinan asas idea dan bukannya keuntungan sebagai matlamat penerbitannya.

2. Subjek perkara penerbitan mereka sewajarnya memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali.

3. Akhir sekali, penerbit mempunyai bukti cukup bagi mendefinisikan dirinya sebagai penerbit alternatif.

'Royal Commission on the Press 1997' dalam laporannya mengenai akhbar alternatif British menegaskan sesebuah penerbitan alternatif mengetengahkan pandangan kumpulan minoriti, menjadi suara kepada golongan berpandangan melampau kepada yang mempunyai pandangan yang sama dengan orang ramai dan mengetengahkan pandangan atau membicarakan perkara yang tidak dibuat liputan oleh akhbar biasa.

Berdasarkan definisi ini jelas sekali dalam masyarakat yang teguh demokrasinya peranan media alternatif diiktiraf sekali gus diberi ruang mengambil peranan sebagai sebahagian sistem masyarakat.

Di peringkat antarabangsa pentingnya peranan media alternatif dapat dilihat daripada laporan Perang Iraq yang begitu berat sebelah oleh sesetengah media massa Barat bagi menjaga kepentingan Amerika dan sekutunya.

Pembunuhan wartawan Al-Jazeera dan Reuters di Baghdad ketika kemuncak pencerobohan tentera bersekutu, membuktikan betapa sesetengah kerajaan Barat tidak senang dengan laporan mengenai kezaliman mereka.

Sikap berat sebelah itu lebih terserlah apabila wartawan Peter Arnett dipecat tetapi keterbukaan masyarakatnya terbukti apabila wartawan veteran ini diambil oleh Daily Mirror tidak sampai 24 jam beliau dipecat oleh NBC.

Berdasarkan perkembangan ini, satu hal yang perlu diakui, dunia Barat masih memberi ruang kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza menyatakan pandangan melalui media massa alternatif.

Bagaimanapun, perkara ini agak terbalas dalam senario dunia kewartawanan di tanah air. Peluang untuk menyatakan pandangan berbeza ini terbatas - buktinya media alternatif seperti Suara Keadilan dan Harakah tidak diberi ruang untuk bernafas. Banyak perkembangan dalam negara membuktikan suara golongan minoriti, malah boleh jadi kumpulan majoriti (mereka bersikap mendiamkan diri) tidak diketengahkan oleh media massa yang didakwa sebagai arus perdana.

Sebagai contoh, bantahan dan demonstrasi rakyat berhubung kenaikan harga minyak tidak disiarkan oleh kebanyakan media massa tempatan. Ertinya kumpulan rakyat ini dinafikan hak mereka mendapat tempat dalam media massa arus perdana.

Kini harga minyak, gas dan gula sudah naik, apakah suara dan rintihan rakyat kebanyakan disiarkan media arus perdana? Jawapannya tidak, sebaliknya mereka hanya kerap menyiarkan pandangan PM dan konco-konconya yang berulang kali menyatakan itu hanya langkah penyelarasan subsidi dan tindakan itu tidak membebankan rakyat.

Jadi siapa yang mahu menyuarakan rintihan rakyat? Jika ada media alternatif, boleh juga ia berfungsi; ini tidak, suara ini mahu dikuburkan. Jadi apa pilihan rakyat?

Apabila dinafikan hak mereka oleh media arus perdana, adalah penting untuk media alternatif memikul tanggungjawab itu. Malangnya di negara kita yang mendakwa mengamalkan demokrasi, hak media alternatif disekat.

Buktinya media bersifat kritikal, yang mengutamakan kebenaran sentiasa dipantau dan dikenakan tekanan dengan sebelah kaki petugas-petugasnya sudah berada dalam kurungan! Malah ada permitnya tidak diperbaharui atau dilengah-lengahkan kelulusannya.

No comments: