***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah engkau berdoa selain daripada Allah, iaitu sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat kepadamu, dan tidak pula mendatangkan mudarat. Maka jika engkau perbuat juga, sesungguhnya engkau pada waktu itu, termasuk orang-orang yang menganiaya diri sendiri." – Maksud Ayat 106 Surah Yunus
***
MI udang Kuala Sepetang (Port Weld) yang masyhur sejak dipublisitikan oleh sebuah stesen televisyen dan kemudian menjadi sajian istimewa sempena pilihan raya kecil Bukit Gantang, seolah-olah melambai-lambai saya ke sana bagi merasainya.
Sehubungan itu, saya dan keluarga yang mengujungi saudara di Perak baru-baru ini, tidak melepaskan peluang menjejak kaki di bandar berhampiran Taiping itu bagi merasai sendiri nikmat mi udangnya.
Sepanjang jalan dari Taiping ke Kuala Sepetang, kami ketemui sejumlah gerai dan restoran mi udang. Ada gerai mi udang Mak…dan Kak..sehinggakan restoran Cina pun ada menawarkan mi udang.
Sesetengah pengusaha kedai makan ini memasang iklan di tepi jalan dalam jarak beberapa puluh meter antara satu lain sepanjang dua atau tiga kilometer dari premis mereka. Demikianlah betapa hebat penangan mi Kuala Sepetang gara-gara hebahan TV.
Di tepi jalan berhampiran sebuah gerai saya perhatikan ada barisan panjang kereta dan dua buah bas persiaran. Berdasarkan jumlah kenderaan, saya mencongak ada ratusan orang singgah, menikmati mi udang. Tidaklah saya berhenti di situ kerana pada fikiran saya, kalau saya menyertai ‘kesesakan’ itu, bimbang juga kena ‘potong kepala’!
Akhirnya kami singgah di sebuah gerai, melabuhkan punggung dan memesan empat mangkuk mi udang biasa dan sebuah mangkuk mi udang spesial. Semangkuk mi udang biasa berharga RM7 manakala yang spesial RM11. Bagi saya tiada apa yang spesial pada mi berharga RM11 itu, cuma udangnya bersaiz besar sedikit.
Ketika dan selepas makan, kami membicarakan akan mi itu. Bagi kami, mi udang Kuala Sepetang macam mi di tempat lain, kelebihan hanya terletak pada udangnya. Dalam semangkuk adalah lebih kurang enam atau tujuh ekor udang bersaiz sederhana.
Seorang daripada kami berlawak: “Kalau nak makan mi dengan udang banyak, di Tesco udangnya baru RM14 sekilo, taruhlah seberapa banyak udang dalam mi yang dimasak sendiri, barulah puas makan.”
Sebenarnya memakan tujuh ekor udang sederhana besar itu membuatkan kepala saya lain macam rasanya. Saya sudah pening, tetapi buat-buat ‘steady’. Saya tahu tidak sewajarnya saya memakan udang sebanyak itu, tetapi bukankah tujuan kami ke Kuala Sepetang untuk merasai kenikmatan mi udangnya, jadi saya pun ‘bantai’ saja!
Sepuluh tahun lalu tiada had untuk saya makan udang, ketam dan makanan laut lain. Dua puluh tahun lalu, saya lagi hebat. Sekilogram kerang rebus boleh saya habiskan seorang, ketam tiga empat ekor tiada masalah. Makan udang berbelas-belas ekor pun tiada hal; demikian juga makan sate (termasuk kerang), berpuluh-puluh cucuk pun masih okay.
Tetapi hari ini, tujuh ekor udang pun sudah membuat saya pening-pening lalat. Selain makanan laut, saya juga tidak lagi berupaya menikmati buah-buahan dengan banyak seperti 10 atau 20 tahun lalu. Ketika itu saya boleh menikmati sebiji dua buah durian; sebeg plastik rambutan dan manggis, tetapi kini tiga ulas durian dan beberapa butir rambutan sudah dikira ‘bahaya’. Mengapa begitu?
Saya tidak berhajat menjawabnya dari segi kesihatan tetapi mengupas apa yang tok-tok guru ajarkan di kelas pengajian di masjid-masjid yang saya ikuti sejak 10 tahun lalu. Kata sesetengah guru, perubahan yang berlaku kepada diri kita adalah perkhabaran dari langit, daripada Allah SWT yang mengingatkan kita akan kematian.
Seorang tok guru berkata dalam kebanyakan kes, kematian tidak berlaku secara mengejut seperti dakwaan sesetengah orang. Allah SWT telah menghantar utusannya, tetapi kebanyakan manusia tidak menyedarinya. Salah satu daripadanya adalah penyakit, apabila umur meningkat 40 tahun ke atas, pelbagai penyakit seperti kencing manis, gout, darah tinggi dan sakit jantung mula menyerang.
Apabila sudah terkena kencing manis, bermakna tidak boleh lagi sesuka hati makan durian, rambutan, manggis dan sebagainya. Demikian juga orang berpenyakit darah tinggi, terpaksalah berpantang daripada makan itu dan ini. Ertinya Allah SWT telah menarik balik sebahagian nikmat, bermaksud kita semakin hampir menuju kematian.
Kemudian cerminlah diri sendiri. Rambut mulai putih, ada yang sudah botak; misai dan janggut juga sudah lebih banyak putih daripada hitam. Ini semua adalah utusan daripada Allah SWT, awak sebenarnya semakin hampir dengan kubur, tetapi mengapa tidak sedar-sedar diri?
Kemudian badan pula terasa lenguh-lenguh; sana sini sendi sakit; kemampuan dan kekuatan pun tidak seperti dulu. Berjalan sikit sudah letih; apatah lagi berlari atau mendaki tangga, tercunggap-cunggap dan mengah, bagai mahu putus nafas.
Orang perempuan pun perlu cermin diri. Lihatlah wajah yang dulunya cantik puas-puas. Kini sudah berkedut sana sini. Kulit pun tidak anjal lagi. Telitilah mahkota (rambut), apakah sudah putih sehehai dua atau lebih banyak putih daripada hitam. Dalam keadaan lebih banyak putih daripada hitam, masakan hati masih keras tidak mahu menutupnya?
Kemudian telitilah keadaan tubuh, masih segar dan tegang atau kendur sana sini. Bagaimana pula kesihatan diri? Masih cergas berlari ke sana sini mengejar anak-anak nakal seperti dulu, atau anak-anak sudah tua bangka yang menghadiahkan cucu pada kepada kita. Mampukah kita mengejar cucu seperti mengejar anak dulu?
Insaflah diri bahawa perkhabaran dari langit sudah banyak, memperlihatkan bahawa kita akan kembali kepada-Nya. Namun tidak ramai menyedarinya kerana semakin meningkat usia, semakin ‘murah’ pula rezeki. Dulu semasa muda kita goyah dari segi kewangan dan kedudukan tetapi semakin tua semakin banyak wang manakala pangkat dan kedudukan semakin hebat.
Semasa muda dulu kadang-kadang hendak makan durian sebiji pun tidak mampu membelinya tetapi apabila sudah tua selori pun boleh kita beli; malangnya kita hanya boleh makan seulas dua saja atau lebih malang lagi tidak boleh ‘kena’ durian langsung. Sudah tua ini hanya boleh rasa saja, sesetengah orang rasa pun tidak boleh sedangkan duit ada berkepul-kepul dalam bank!
No comments:
Post a Comment