Saturday, December 19, 2009

Ujian terjumpa rantai emas

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan..." (Maksud Ayat 12 Surah Yasin)
***

MINGGU terakhir di Makkah. Sebelum pulang ke tanah air, aku membuat rancangan tersendiri. Aku ingin mengabadikan agar tempat-tempat bersejarah di Masjidilharam meninggalkan kesan abadi setelah pulang ke tanah air. Mudah-mudahan menjadi nostalgia.

Lepas sarapan di Hotel Safa, seperti biasa, aku ajak isteriku pergi ke Masjidilharam. Kali ini kami melalui jejantas, masuk ikut Babul Madinatul Munawarah terus ke dalam masjid. Pintu itu paling dekat dengan hotelku.

Dari tingkat atas kami melihat Kaabah di bawah. Kami menghadap Hijir Ismail yang ada Talang Emas di atasnya. Orang tawaf mengelilingi Kaabah seperti air berputar. Tidak pernah berhenti. Jubin dataran Kaabah itu tidak pernah sunyi daripada dikitari manusia, siang malam, pagi petang. Ia sentiasa terbuka untuk orang-orang yang ingin tawaf, iktikaf, solat atau bermunajat.

Aku ajak isteriku tawaf di tingkat atas. Bukan apa, sekadar mencuba. Biasanya aku tawaf di jubin dataran Kaabah tujuh kali keliling mengambil masa setengah jam. Tawaf di tingkat atas mungkin lebih lama lagi kerana melalui lingkaran yang jauh, fikirku.

"Mari kita tawaf di tingkat atas, Ram? Boleh?" tanyaku.

"Insya-Allah!" jawab isteriku tenang.

Kami pergi ke garisan hitam bertentangan Hajar Aswad. Ada lampu isyarat hijau di sana. Orang tidak ramai tawaf di tingkat atas. Ada beberapa orang Arab yang sudah berumur. Mereka duduk di atas kerusi roda, ditolak perlahan-lahan oleh khadam atau cucunya. Mereka tawaf sambil membaca Quran. Kelihatan mereka tenang dan aman.

Aku niat tawaf sunat. Melambai dan mengucup tangan ke arah Hajar Aswad. Aku langkahi garisan hitam menuju ke hadapan, menjaga bahu kiri agar sentiasa menghadap Kaabah dan menghadapkan hati kepada Allah.

Agak lama juga hendak melepasi Multazam, tempat munajat, Maqam Ibrahim, tempat berdoa dan Hijir Ismail yang ada Talang Emas di atasnya kerana melalui liku-liku bahagian yang berbucu.

Talang air yang terletak di bahagian atas Kaabah, di atas Hijir Ismail yang menjadi sebahagian daripada Kaabah itu, nampak jelas dari tingkat atas. Ia diasaskan untuk mempercepat peredaran air dari atap Kaabah ketika proses pencucian atau ketika turun.

Talang sir hampir dua meter panjang itu sering disebut 'Talang Emas' kerana dilapisi emas. Menurut sejarahnya, ia dihadiahkan oleh Sultan Abdul Hamid Khan Al-Othmani. Di atasnya dipasang rantai dan ditanami paku-paku agar burung tidak hinggap di atasnya.

Kami mengambil masa hampir 20 minit untuk sampai ke Rukun Yamani. Pukul lapan pagi kami mula tawaf, hampir 10.15 pagi baru tamat tujuh pusingan.

Walaupun penat tapi aku gembira. Kami bersyukur kepada Tuhan kerana dapat melakukan tawaf dengan sempurna.

Kami pergi ke arah Multazam untuk sembahyang sunat tawaf dan berdoa. Kemudian beralih ke arah Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail. Solat sunat dan berdoa di belakangnya.

Kami turun untuk menunaikan solat dhuha dan membaca Quran. Walaupun letih dan mengantuk, tapi hatiku gembira. Aku minum air zam-zam untuk menghilangkan haus dan mengantuk. Kemudian aku ajak isteriku balik ke hotel.

Kami berjalan balik menuju ke pintu keluar Babul Madinatul-Munawarah. Ketika naik tangga ke arah dataran Masjidilharam yang dibangunkan oleh Raja Abdul Aziz, keluarga Ibn Saud, dari bangunan lama kerajaan Bani Othmaniah, isteriku ternampak seutas rantai tangan terletak ke atas lantai. Ia hampir aku pijak tapi isteriku segera menegur.

"Macam rantai tangan emas, bang," kata isteriku.

"Mana?"

"Itu. Di bawah kaki abang, Hampir terpijak."

Aku ambil rantai tangan itu.

"Jangan diambil, bang," tegah isteriku. "Ia bukan hak kita."

"Bukan nak ambil, nak pastikan. Apakah ia rantai emas atau saduran."

"Rantai emas, bang." suaranya sungguh-sungguh.

Orang perempuan memang arif tentang emas, fikirku. Sebenarnya dia takut balasan Tuhan mengambil apa-apa barang di Tanah Suci, lebih-lebih lagi di Masjidilharam.

Masa kuliah di kampung, dia diberitahu ustaz, tak boleh ambil batu di Makkah dibawa pulang. Ada orang mengambil batu Makkah di bawa pulang untuk dijadikan 'pelaris' perniagaannya. Dia menerima balasan berat daripada Tuhan. Dia menjadi gila. Batu itu terpaksa dipulangkan semula ke Makkah.

Aku bukan hendak mengambilnya. Sekadar hendak meneliti saja. Aku tahu. Barang tercicir dalam masjid perlu dipulangkan kepada tuannya atau diserahkan kepada penjaga masjid. Tapi aku tidak tahu siapa tuannya. Aku perhatikan keliling, kok ada orang tercicir barang. Tapi tidak ada orang lalu di kawasan itu.

Rantai tangan itu berbunga kerawang ukiran Mesir. Lebarnya tiga jari. Ia diperbuat daripada emas padu. Entah berapa bungkal, aku tidak tahu. Rasanya berat dan tebal.

Aku letakkan semula rantai tangan emas itu di atas lantai. Kemudian aku kuiskan dengan kaki ke tepi tiang. Biarlah ia aman berada di situ, fikirku.

Apakah tindakan wajar? Aku tidak tahu. Tapi Tuhan Maha Mengetahui niat hatiku yang ikhlas. Mudah-mudahan ia ditemui semula oleh tuannya, doaku dalam hati.

Aku terus berjalan ke pintu keluar. Tapi hatiku masih teringat rantai emas itu. Tentu rusuh hati orang yang kehilangan rantai itu, fikirku. Seutas rantai tangan emas yang besar dan berat. Tentu harganya beribu-ribu riyal.

Waktu kami datang semula ke Masjidilharam untuk solat Zuhur, kami melalui tempat itu. Aku dapat rantai emas itu sudah tiada lagi ditempatnya di tepi tiang.

"Rantai tangan emas tadi dah tak ada di tepi tiang, Ram?" bisikku kepada isteriku.

"Alhamdulilah!" katanya bersyukur.

Aku turut bersyukur. Apakah ia sudah ditemui oleh tuannya? Atau diambil oleh orang yang lalu di tempat itu? Aku tak tahu. Aku bersyukur kerana rantai itu tidak mengganggu fikiranku lagi.

"Agaknya Tuhan hendak menguji keikhlasan iman kita, bang," kata isteriku.

Aku diam saja. Aku bersyukur kerana tidak tergoda oleh bujukan syaitan dan perasaan lauamah. Sesungguhnya banyak dugaan dan godaan di Tanah Suci Makkah semasa mengerjakan ibadat haji dan umrah. Namun niat yang ikhlas adalah obor ke jalan lurus yang diredai Allah SWT. - Nukilan HAJI KAS

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

1 comment:

harga emas said...

kami beli rantai emas, emas putih, surat pajak, emas 916, hubungi shahrul 012-3349940

boleh layari laman web http://www.hafizjewel.com