Wednesday, December 9, 2009

Lelaki misteri di Maqam Ibrahim

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang kekuasaanku daripadaku." (Maksud Ayat 28-29 Surah Al-Haqqah)
***

PERISTIWA ini berlaku ketika saya membawa jemaah umrah pada tahun 1997. Jemaah terdiri daripada beberapa orang golongan ibu dan sekumpulan anak muda.

Ketika di Madinah, beberapa orang di kalangan mereka bertanya saya di mana terletaknya Tiang Taubat dalam Masjid Nabawi (Ustuwanah Taubah yang terletak dalam kawasan Raudhah).

Saya bertanya balik kepada mereka , apakah keperluan mereka dengan Tiang Taubat itu. Jawapannya, mereka ingin bertaubat di tempat tersebut.

Saya memberikan galakan kepada mereka, sekiranya benar-benar ingin bertaubat tidak payah mencari tiang tersebut.

Kata saya, di mana-mana pun dalam kawasan Masjid Nabawi boleh bertaubat.

Walhasil saya tidak tahu sama ada pandangan saya itu diterima atau tidak, atau apakah mereka benar-benar ingin bertaubat hanya di Ustuwanah Taubah.

Ketika di Makkah, salah seorang daripada mereka bertemu saya secara peribadi kerana ingin menceritakan pengalaman misteri yang berlaku ke atas dirinya ketika berada di Maqam Ibrahim.

Pertanyaannya kepada saya: "Adakah Ustaz menceritakan hal peribadi saya kepada orang lain?"

Saya menjawab: "Tidak, saya tidak pernah menceritakan hal peribadi awak kepada orang lain. Malahan saya hanya tahu nama awak saja. Kenapa?"

Setelah termenung sejenak, ketika itu saya melihat ke arah matanya, ada basahan air mata di kelopak matanya.

Anak muda itu mula bercerita: "Setelah saya selesai tawaf sunat, saya sembahyang solat tawaf di belakang Maqam Ibrahim. Selesai solat, saya disapa oleh seorang lelaki Melayu yang berada di sebelah saya.

Katanya: "Mana kawan-kawan awak lagi?"

Saya jawab: "Mereka sedang lakukan tawaf."

Orang itu kemudian memperkenalkan diri dan menyatakan bahawa dia adalah orang Malaysia.

Anak muda itu meneruskan ceritanya: "Ustaz, dia tahu nama saya, dia tahu kerja saya, dia tahu dari mana saya datang, dia tahu semua perkara yang saya buat, dia tahu saya datang mengerjakan umrah kerana ingin bertaubat.

Kelopak matanya yang tadi dibasahi dengan air mata, kini mula tumpah mengalir membasahi pipinya.

Saya seolah-olah terpukau ketika mendengar ceritanya. Suasana hening sejenak, diam tanpa bicara.

Untuk memecahkan kesunyian, saya berkata kepadanya: "Tak apalah, itu sesuatu yang baik kerana ada yang mengetahui niat awak datang ke Tanah Suci."

Anak muda itu meneruskan pertanyaannya kepada saya. "Ustaz kenal siapa orang itu?"

Saya memberi jawapan tegas padanya: "Tidak, saya tidak kenal siapa orang itu."

Permintaan terakhirnya pada saya agar saya tidak menceritakan perkara itu kepada kawan-kawannya yang lain.

Setelah dia berlalu, fikiran saya ligat memikirkan hal pemuda itu.

Siapakah orang tersebut? Apakah dia mempunyai ilmu kasyaf? Atau seorang waliyullah? Atau Malaikat yang menyamar sebagai manusia? Wallahu A'lam. - Nukilan ANUAR OSMAN

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: