Friday, December 4, 2009

Bukit Thur sentiasa dalam ingatan

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. ada bersabda: mafhumnya: "Tidak digalakkan mengembara melainkan kepada tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis)."
***

PERJALANAN ke Tanah Suci Makkah pada musim haji lalu sungguh memberi banyak pengalaman dan antara peristiwa yang masih segar dalam ingatanku adalah pengalaman mendaki Bukit Thur dan memasuki Gua Thur tempat Rasulullah s.a.w. bersembunyi ketika dicari oleh orang Musyrikin Quraisy.

Aku, suamiku dan jemaah kami sampai di Makkah 10 hari sebelum Hari Arafah, dan pada hari ketiga, ustaz yang memandu kami membawa kami menziarahi bandar Makkah, Padang Arafah, Mina, Mudzalifah, lokasi Bukit Thur dan Bukit Nur tempat Gua Hira.

Dalam kunjungan singkat inilah sebahagian daripada ahli jemaah kami membuat permintaan untuk memanjat bukit-bukit tersebut melihatkan ramai jemaah dari negara lain yang berbuat demikian.

Atas permintaan ini, ustaz bersetuju untuk menemani beberapa jemaah yang ingin mendaki, dua minggu selepas ibadat haji sempurna, jika diizinkah Allah.

Pada hari yang dicadangkan, jemaah kami seramai sembilan orang bertolak dari hotel jam 8.00 pagi.

Dengan pakaian biasa, jemaah kami pun menaiki sebuah van. Selepas perjalanan kurang 20 minit, van itu pun sampai di kaki bukit.

Masing-masing jemaah membawa bekalan air minuman dan tidak membawa beg untuk kurangkan bebanan. Masa pendakian adalah satu jam setengah untuk sampai ke puncak dan 40 minit untuk turun kembali.

Aku sebenarnya bukanlah 'fit' untuk memanjat, kerana ketika di Malaysia, aku tidak pernah memanjat bukit setinggi ini.

Suamiku agak tidak yakin dengan keinginanku, tapi aku meyakinkannya bahawa insya-Allah aku boleh. Sebelum memanjat, aku memandang ke puncak bukit.

"Aduh! tingginya...," hatiku tertanya-tanya sama ada aku mampu atau tidak. Mulanya aku bercadang untuk tidak memanjat kalau ada orang yang tunggu di bawah, tapi sangkaanku meleset kerana tiada sesiapa pun yang tunggu di bawah bukit kerana yang datang ke situ semuanya memang berhajat untuk mendaki.

Hatiku terubat apabila melihat beberapa wanita berusia melebihi 50 tahun dari Turki menggagahkan diri memanjat, dan aku pasti aku juga boleh jika wanita itu boleh.

Aku pun melangkah perlahan-lahan dengan ucapan yang tidak putus-putus memohon pada Allah "Ya Allah, tiada daya dan upayaku melainkan dengan izinmu jua..."

Tanah Bukit Thur adalah kering-kontang, berbatu-batan dan berpasir. Pendakian agak mudah kerana sudah ada laluan hingga ke atas.

Belum sampai 20 minit aku memanjat, aku sudah tercungap-cungap dan aku berhenti setiap 10 minit untuk berehat dua hingga lima minit hinggalah sampai ke puncak.

Ustaz yang memandu kami sungguh sabar menunggu semua jemaah sampai dalam masa yang agak sama dan sebelum kami sampai ke puncak, beliau mengatakan 'sikit lagi...' beberapa kali, tapi tak sampai-sampai.

Aku kuatkan semangatku walaupun hanya Allah tahu betapa penatnya aku ketika itu.

Dalam hati, aku pujuk diriku untuk merasai betapa sukarnya laluan Asmah dahulu ketika membawa bekalan kepada Rasulullah s.a.w., dan betapa tabah Rasulullah s.a.w. menghadapi kesulitan dalam pendakian baginda.

Dan akhirnya, aku sampai ke puncak dengan penuh kesyukuran. Dan tiba-tiba aku tidak merasa kepenatan seperti tadi apabila tiba di hadapan pintu Gua Thur. Aku merasai suatu kepuasan yang tidak dapat aku ceritakan.

"Apakah aku sebenar-benarnya sudah sampai ke puncak? Atau aku bermimpi? Maha Besar Kekuasaan-Mu Ya Allah yang telah mengizinkan aku sampai ke tahap ini."

Pintu gua dipenuhi jemaah yang beratur untuk masuk ke dalam gua dan aku ke kanan pintu gua tersebut. Di sana ada tempat yang boleh kami duduk, dan ada sebuah pintu kecil yang dapat memuatkan seorang untuk memasukinya.

Jemaah kumpulanku masuk seorang demi seorang termasuk suamiku. Aku menunggu hingga tiada orang yang hendak masuk dan akhirnya alhamdulillah, memang ia kosong seolah-olah menantiku.

Aku meminta izin suamiku yang sudah keluar dari gua untuk aku masuk, dan dia membenarkan aku menuruni pintu kecil itu. Bila tiba di dalam gua, aku merasa begitu takjub dan aku berbisik sendirian "Ya Allah, inikah tempat persembunyian Rasul-Mu, di mana orang Quraisy berlegar-legar di luar pintu mencari nabi-Mu..."

Gua itu agak gelap, tetapi masih ada cahaya yang memasukinya, dan aku berjalan itik di dalamnya dan sekejap lepas itu aku sampai ke pintu gua dan membongkok untuk keluar.

Satu kepuasan yang tidak dapat aku lahirkan melainkan mengucap kesyukuran dan terima kasih kepada Allah kerana nikmat ini.

Selepas itu, jemaah kami mendengar sedikit sirah daripada ustaz dan kemudian kami menuruni bukit sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir perlahan-lahan.

Sampai di kaki bukit, aku menoleh lagi ke atas bukit dan aku terus berkata-kata di dalam hatiku bahawa aku akan merinduimu wahai Bukit dan Gua Thur.

Sebenarnya kerinduan inilah yang menguatkan aku untuk menulis kisah ini untuk mengabadikan kata-kata rinduku dulu. - Nukilan UMMU HASAN

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: