***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"...dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang beriman supaya kamu beruntung." (Maksud Ayat 31 Surah An-Nur)
***
SAYA ingin berkongsi pengalaman yang sukar dilupakan ketika saya menunaikan haji tidak lama dulu. Suami saya tidak bersama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Pada hari kedua di Madinah kami dijadualkan oleh Tabung Haji untuk menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w. Kumpulan wanita dibawa oleh seorang ustazah dan lelaki dipimpin seorang ustaz.
Kakak dan adik saya tidak dapat pergi pada hari itu kerana uzur. Pada mulanya saya ikut bersama kumpulan Tabung Haji tetapi memandangkan kumpulan itu terlalu besar, keadaan menjadi agak kelam kabut dan lambat.
Saya sendiri pernah mengerjakan umrah sekali dan pernah ke Raudhah. Rasa tak sabar dan perasaan terlalu ingin cepat ke Raudhah menyebabkan saya meninggalkan kumpulan Tabung Haji dan pergi sendiri.
Pintu berdekatan Raudhah ditutup kerana pihak pengurusan Masjid Nabawi ingin mengelakkan kesesakan. Jadi saya memasuki masjid melalui pintu utama dan dari dalam saya mencari jalan ke arah Raudhah.
Di dalam masjid yang begitu besar dan indah saya rasa segala penjuru sama saja. Saya cekalkan hati dan mengikut aliran pergerakan manusia.
Sekali sekala saya bertanya dengan jemaah wanita yang saya temui. Tidak perlu berbahasa Arab, saya cuma sebut Raudhah dan jemaah akan menunjukkan arah.
Akhirnya saya sampai ke kawasan yang penuh sesak dengan wanita pelbagai bangsa dan warna kulit. Dengan tubuh yang kecil terasa gerun untuk memasuki kumpulan manusia yang begitu ramai.
Sebelum memasuki kawasan permaidani putih (Raudhah), saya sembahyang sunat dan berdoa supaya Allah permudahkan saya memasuki dan bersembahyang di Raudhah.
Kemudian saya mula bergerak masuk ke kawasan yang penuh dengan manusia itu. Kejadian ditolak, disiku sudah perkara biasa semasa di Raudhah jadi saya biarkan saja dengan mulut terus berzikir.
Akhirnya saya telah berada di tirai pemisah antara kawasan Raudhah untuk lelaki dan wanita. Di sebelah tirai pemisah dikatakan terletak mimbar Nabi s.a.w.
Saya ingin bersembahyang di situ tetapi keadaan terlalu sesak. Ada yang memanjat tirai dan ada yang menangis sambil berdoa.
Saya terpaksa berundur untuk mendapat tempat yang sesuai untuk solat. Alhamdulillah saya dapat solat di kawasan yang agak lengang walaupun kadangkala orang melangkah tubuh saya ketika saya bersujud.
Tetapi saya dapat melaksanakan solat sunat beberapa kali begitu juga solat taubat dan hajat.
Seterusnya saya berdoa untuk Nabi s.a.w., keluarga dan sahabat-sahabat baginda, untuk saya, suami dan keluarga saya.
Pada saat-saat tertentu saya berasa terlalu sayu, terlalu kecil di dunia ini dan hanya pada Allah tempat mengadu dan meminta pertolongan.
Sedang saya kyusuk berdoa, tanpa saya sedari tiba-tiba terasa sesuatu jatuh ke atas dua telapak tangan saya yang menadah ke langit.
Semasa berdoa saya menutup mata untuk mendapatkan kekhusyukan tetapi apabila terasa objek jatuh ke tangan saya terus membuka mata.
Sekuntum bunga berwarna putih yang masih bertangkai terletak di tapak tangan saya.
Saya melihat keliling kerana menjadi perkara biasa di Makkah dan Madinah jemaah suka memberi hadiah antara satu dengan lain.
Ada yang memberi gelang plastik (India), ada yang memberi kacang dan ada juga memberi buah tamar. Apabila saya lihat orang di sekeliling dan yang lalu lalang tidak ada yang memegang bunga, saya mula merasa seram sejuk.
Memang Raudhah dikatakan taman syurga tetapi adakah saya mendapat bunga dari syurga? Layakkah saya menerima anugerah sebesar itu?
Atau ada orang yang ingin bergurau tapi masakan di tempat begini ada orang yang nak buat nakal? Saya terus mencium bunga itu, memikirkan bunga itu mungkin plastik.
Tetapi baunya terlalu harum. Rupanya seperti bunga kekwa selapis dan berwarna putih.
Badan saya menggigil takut dan pada masa yang sama merasa sungguh bertuah walaupun ada kemungkinan bunga itu diletak oleh seseorang.
Tetapi kenyataannya bunga itu diberi kepada saya di taman syurga itu. Saya menangis kerana antara banyak-banyak manusia di situ saya antara yang mendapat kelazatan bersolat di Raudhah.
Saya solat sunat sekali lagi dan beredar pulang ke hotel.
Sampai di hotel saya tunjukkan bunga tadi pada kakak, adik dan ipar saya. Semuanya kagum dan suruh saya simpan bunga itu baik-baik.
Namun saya asyik berfikir adakah satu tindakan yang bijak jika saya membawa balik bunga itu ke Malaysia.
Saya takut bunga itu dianggap ajaib, dibuat ubat dan sebagainya. Ya Allah perkara yang baik akan menjadi tidak baik pula. Bunga itu saya bawa hingga ke Makkah.
Selesai haji saya mengeluarkan bunga yang telah kering itu dari dalam beg dan meninggalkannya di dalam bilik hotel.
Itulah antara kenangan ketika menunaikan haji yang tidak mungkin saya lupakan. Syukur kepada Allah yang memberi nikmat mengerjakan haji kepada saya. - Nukilan HAMBA ALLAH, Kuala Lumpur
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.
* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).
* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).
***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment