Monday, December 21, 2009

Tiada buku dalam bahasa Melayu-Malaysia di Tanah Suci

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, 'Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang beriman...'" (Maksud Ayat 10 Surah Al-Hasyr)
***

DALAM kesibukan menunaikan ibadat haji pada musim lalu, saya berkesempatan mengunjungi beberapa kedai buku di Madinah dan Makkah. Kebanyakan kitab-kitab adalah dalam bahasa Arab tetapi ada banyak juga buku dalam bahasa Inggeris.

Ketika melihat-lihat buku yang dipamerkan, alangkah rasa bangga di hati apabila terpandang beberapa buku dalam bahasa Melayu. Tetapi selepas dibelek-belek, ternyata buku-buku itu adalah dalam bahasa Melayu-Indonesia.

Saya dan isteri berkesempatan membeli tiga buku bahasa Melayu-Indonesia; semuanya dikarang oleh Dr Muhammad Ilyas Abdul Ghani. Buku-buku itu ialah 'Sejarah Mekah', 'Sejarah Masjid Nabawi' dan 'Sejarah Madinah Munawwarah'.

Buku yang asalnya dalam bahasa Arab itu diterjemahkan oleh seorang penuntut Indonesia dari Universiti Al-Azhar, Mesir, bernama Anang Rikza Masyhadi.

Menteri Agama Indonesia ketika buku-buku itu diterjemahkan (tahun 2002 dan 2003), Prof Dr H Said Agil Husin Al Munawwar turut menulis kata pengantar yang antara lain berbunyi: "Kami berharap agar upaya-upaya baik seperti ini yang tumbuh dalam masyarakat dapat dikembangkan dan ditingkatkan lagi pada masa-masa mendatang.

"Departmen Agama Republik Indonesia sentiasa membuka diri dan mendorong ke arah peningkatan kualitas kehidupan keagamaan melalui penerbitan dan penerjemahan buku-buku agama."

Penghasilan buku dalam bahasa Melayu-Indonesia menunjukkan komitmen rakyat dan pemerintah Indonesia dalam memberi pemahaman kepada jemaah hajinya akan rukun Islam kelima dan juga tempat-tempat afdal beribadat dan sejarahnya secara terperinci.

Jemaah haji Malaysia boleh dikatakan banyak menumpang tuah daripada jemaah haji Indonesia, terutama dari segi bahasa.

Disebabkan jemaah haji Indonesia dominan di Tanah Suci (dianggarkan ada lebih 200,000jemaah pada satu-satu musim berbanding kira-kira 22,000 dari Malaysia), penggunaan bahasa Melayu-Indonesia yang meluas, menguntungkan jemaah Malaysia.

Disebabkan persamaan bahasa hampir 100 peratus, tidak menjadi masalah untuk jemaah Malaysia berkomunikasi dengan jemaah Indonesia, dengan pekedai yang menggunakan bahasa Melayu-Indonesia ataupun petugas masjid yang ramai juga boleh bertutur dalam bahasa berkenaan.

Hakikatnya, bahasa Melayu-Indonesia memang diiktiraf di Tanah Suci. Banyak papan tanda ditulis menggunakan bahasa itu, jadi tidak menjadi masalah untuk jemaah Malaysia 'tumpang semangkok'.

Terjemahan kitab suci al-Quran juga menggunakan bahasa Melayu-Indonesia. Biasanya ia disampaikan kepada jemaah apabila mereka berangkat pulang sebagai hadiah daripada Khadam Dua Tanah Suci, pemerintah Arab Saudi. Dalam kata pengantar terjemahan kitab suci itu terdapat ucap alu-aluan oleh Menteri Agama Republik Indonesia (RI).

Menteri Agama RI ketika penghasilan terjemahan al-Quran itu, H Munawir Sjadzali antara lain menulis: "Indonesia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat Islam terbanyak di antara negara-negara di dunia. Dari sekitar 178 juta penduduk, hampir 90peratus adalah pemeluk agama Islam yang taat. Karena itu perhatian pemerintah banyak diarahkan kepada upaya-upaya pembangunan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan rohaniah keagamaan di samping kesejahteraan lahiriah.

"...Dengan terbitnya al-Quran dan terjemahannya ini makin banyaklah khalayak yang memilikinya dan insya-Allah akan meningkat pula pemahaman, penghayatan dan pengalaman ajaran al-Quran di dalam kehidupan masyarakat sehari-hari, sejalan dengan tujuan pembangunan nasional, yang mewujudkan masyarakat adil dan makmur yang merata material dan spiritual berdasarkan Pancasila..."

Usaha gigih pemerintah dan rakyat Indonesia dalam mempromosi bahasa Melayu-Indonesia di Tanah Suci difahami kerana jumlah jemaah hajinya yang ramai, tetapi ia boleh dijadikan sandaran untuk pemimpin dan orang Melayu di Malaysia memastikan bahasa Melayu-Malaysia terus berada di persada antarabangsa, setidak-tidaknya sebagai bahasa ilmu di tanah air sendiri.

Jika diukur penghasilan buku agama dalam bahasa Melayu-Malaysia dengan bahasa Melayu-Indonesia, jurangnya tersangat jauh; jadi bagaimana cendekiawan atau ahli politik Melayu boleh berasa bangga dengan pencapaian mereka. Jika dalam hal ilmu agama saja, pengguna bahasa Melayu terpaksa merujuk kepada hasil karya Tanah Seberang (Indonesia) bagaimana mereka mahu bersaing dalam bidang lain?

Ditambah dengan kecenderungan sesetengah pemimpin Melayu Malaysia yang memandang hebat kepada bahasa Inggeris sehingga menjadikannya bahasa bagi membicarakan ilmu Sains dan Matematik di sekolah dan institusi pengajian tinggi, maka bahasa Melayu Malaysia akan hilang nilainya dan dikhuatiri akan tersisih suatu hari nanti.

Apa yang dibimbangi ialah bahasa Melayu terus subur tetapi ia adalah versi Indonesia sedangkan versi Malaysianya makin lama semakin dilupakan orang, hatta oleh orang Melayu sendiri. Petunjuknya sudah ada, kerana seorang aktres Melayu baru-baru ini mengungkapkan 'I sound stupid if I speak Malay'.

Dan satu lagi kenyataan, walaupun pahit perlu dikatakan: "Sepanjang berada di Tanah Suci, tiada sebuah buku pun dalam bahasa Melayu-Malaysia yang ditemui penulis di kedai-kedai!" - Nukilan LanH

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.

* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).

* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).

***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.

No comments: