***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***
BEBANAN yang perlu ditanggung ibu bapa apabila sesi baru persekolahan bermula Januari ini amat berat. Bersabarlah, semoga pengorbanan kita diganjari-Nya di dunia dan akhirat.
Perbelanjaan bagi seorang anak adalah besar, dia mungkin memerlukan sehingga RM300.00bagi membayar yuran, membeli peralatan menulis serta persekolahan seperti pakaian, kasut dan beg. Bayangkan jumlah wang perlu disediakan ibu bapa atau penjaga jika ramai tanggungan mereka masih di bangku sekolah.
Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran dalam satu langkah penjimatan mengumumkan bayaran makanan bagi pelajar di sekolah berasrama akan dinaikkan daripada RM1 kepada RM3 sehari (bagi ibu bapa atau penjaga yang jumlah pendapatan mereka melebihi RM5,000sebulan) manakala jumlah penyediaan makanan dikurangkan daripada 250 hari kepada 200 hari.
Sebenar bayaran RM1 atau RM3 adalah minimum; kerajaan menokok bayaran sebenar. Katakan perutukan makanan adalah RM10 sehari, bermakna baki RM9 atau RM7 akan ditanggung oleh kerajaan. Tidak ada apa hendak dipertikaian dalam perkara ini kerana sejak sekian lama (berpuluh-puluh tahun lalu) pelajar asrama hanya membayar RM1 sehari untuk yuran makanan.
Tetapi apa yang dipersoalkan langkah penjimatkan kerajaan kali ini membabitkan perkara asas bagi pembangunan manusia iaitu perkara berkaitan makanan dan pendidikan.
Berapa banyak agaknya dapat dijimatkan kerajaan dengan langkah terbaru ini? Katakan ada 6,000 pelajar dalam sesuatu tingkatan (berdasarkan tempat sekolah berasrama penuh yang ditawarkan pelajar lepasan UPSR baru-baru ini). Jika ada lima tingkatan (tingkatan satu sampai lima), jumlah pelajar di sekolah berasrama penuh seluruh negara adalah 30,000 orang.
Andaikan separuh daripada pelajar ini ibu bapa mereka mempunyai pendapatan lebih RM5,000, berapa jumlah yang dapat dijimatkan? Kenaikan bayaran makanan adalah daripada RM1 kepada RM3. Ini bermakna kerajaan boleh berjimat RM2 bagi setiap pelajar.Jadi penjimatan sehari adalah 15,000 pelajar kali RM2; bermakna kerajaan dapat menjimatkan RM30,000 sehari.
Ini dikali dengan 200 hari persekolahan, kerajaan menjimatkan kira-kira RM6 juta setahun. Jika diambil kira pelajar di sekolah biasa yang ada asrama, jumlah ini mungkin lebih sedikit.
Berdasarkan jumlah RM6 juta setahun ini dengan kerugian akibat ketirisan pelbagai projek boros dan mega yang bernilai berbilion-bilion ringgit, apa yang dijimatkan itu hanyalah 'ciput' mengikut istilah anak muda sekarang.
Apalah sangat nilai RM6 juta itu berbanding dengan RM100 juta yang diperuntukkan kepada projek Permata Pintar yang diusahakan oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor?
Kemudian diumumkan juga hari penyediaan makanan dikurangkan daripada 250 hari sekarang ini kepada 200 hari mulai tahun depan. Apakah makna ini semua? Apakah ini bermaksud makanan tidak akan disediakan pada hari cuti umum dan pada hujung minggu? Uhh, sampai begitu sekali mahu berjimat? Apakah mahu dibiarkan budak-budak sekolah ini berlapar pada hari-hari itu?
Soal makanan dan pelajaran adalah amat penting kepada kemajuan anak bangsa. Berdasarkan pengalaman diri sendiri di sekolah berasrama penuh dan rungutan pelajar dan ibu bapa, makanan di asrama kerap diletakkan pada tahap kurang memuaskan. Tetapi anak-anak terpaksa makan juga, sekali pun ada kalanya mereka merungut makanan kurang sedaplah, tiada rasalah, terjumpa ulatlah dan macam-macam karenah lain.
Ini menunjukkan bahawa bahan makanan dan tahap penyediaan perlu dipertingkatkan; tidak wajar sama sekali pihak kerajaan memikir apatah melaksanakan langkah penjimatan kononnya ke atas perkara asas kepada rakyat ini, terutama bagi golongan kurang berkemampuan.
Apa yang selayaknya berlaku, kerajaan meningkatkan peruntukan makanan RM10 kepada seorang pelajar itu kepada jumlah yang lebih tinggi yang munasabah dan diawasi soal pengagihan dan penyediaan makanan ini agar tidak berlaku penyelewengan termasuk rasuah yang menyebabkan makanan kurang bermutu disajikan kepada para pelajar.
Ingatlah pelajar adalah pemimpin masa depan negara, harapan semua pihak daripada ibu bapa kepada bangsa, negara dan agamanya tertumpu kepada mereka. Bayangkan jika mereka disajikan dengan bahan makanan tidak bermutu yang terpalit dengan amalan penyelewengan, bagaimana minda mereka boleh cergas; bagaimana mereka hendak diharapkan untuk membina negara penuh barakah yang mendapat keredaan-Nya?
Pada pandangan kita, usahlah difikirkan untuk mengekang rakyat dalam perkara penting seperti makanan dan pendidikan. Untuk memudahkan bicara, mari kita mengambil contoh kehidupan sebuah keluarga dalam menetapkan perbelanjaan mereka. Seorang bapa yang arif tentunya sudah menetapkan jumlah yang munasabah bagi berbelanjaan makanan keluarga dan pendidikan anak-anaknya.
Jika perbelanjaan makanan sudah ditetapkan RM500 sebulan, dia tidak boleh menguranginya sesuka hatinya dengan alasan mahu berjimat cermat. Demikian juga dengan pendidikan; jika sudah ditetapkan RM1,000 pada setiap kali sekolah dibuka, wang itu perlu dikeluarkannya, jangan membuat helah menguranginya.
Bagaimanapun dia boleh berbelanja dengan berhemah; dalam penyediaan bahan makanan dia tidak membeli makanan tidak berkhasiat (junk food) dan dalam penyediaan peralatan ke sekolah, anaknya boleh disuruh menggunakan kasut dan beg sekolah tahun lalu.
Jadi bagaimana keluarga ini boleh berjimat? Jawapannya kurangkan atau tiadakan kegiatan tidak berfaedah seperti memperbanyakan peralatan hiburan di rumah atau si bapa terbabit dalam perjudian, merokok atau lebih teruk minum arak manakala si ibu tidak habis-habis dengan koleksi fesyennya.
Demikianlah dengan kerajaan. Janganlah mahu berjimat dalam bab membabitkan perkara asas kepada rakyat seperti soal makanan dan pendidikan. Berjimatlah dalam perkara dan projek mega yang boleh membawa kepada kebongkakan, boros dan penyelewengan seperti Moonsun Cup, F1 dan pelbagai pesta termasuklah mengundang Shah Rukh Khan ke negara ini!
Wang itu beratus-ratus juta malah sehingga berbilion-bilion ringgit itu lebih baik digunakan bagi memberi makan kepada rakyat termasuk budak-budak di bangku sekolah itu! Kasihan mereka, berjimat biar bertempat, janganlah sehingga kera di hutan disusui, anak dalam kendongan dibiar mati kelaparan!
*** Info/Komen
Laporan menyebut dakwat yang diimport dari India bagi kegunaan ketika pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, terpaksa dilupuskan selepas tidak digunakan pun. Kosnya hampir RM3 juta, separuh daripada penjimatan kerajaan menaikkan yuran makanan murid-murid asrama sebanyak R1 kepada RM3 iaitu RM6 juta. Tidakkah rasa bersalah, berdosa melihat anak-anak berwajah bersih setiap kali mereka menikmati makanan di asrama? Penulis teringat masa di UiTM pada tahun-tahun awal 1980-an dulu, ada masanya pada waktu tengah hari dihidangkan bihun yang terpaksa dicurahkan sup yang entah apa-apa rasanya. Tetapi apa nak dikata, makan sajalah; itu saja pilihan yang ada.
No comments:
Post a Comment