Tuesday, December 29, 2009

Haji, hajah perlu jaga penghormatan

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
***

KINI hampir semua jemaah haji sudah kembali ke tanah air. Diucapkan tahniah kepada mereka, didoakan agar semuanya mendapat haji mabrur yang balasannya tiada lain kecuali syurga seperti disabdakan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya.

Haji sebagai salah satu Rukun Islam bolehlah diibaratkan sebuah madrasah bagi melahirkan insan lebih baik daripada semalam tetapi apa disaksikan ada juga insan bergelar haji tetapi amalan dan sikapnya lebih buruk daripada sebelum mengerjakan haji. Ada pula yang statik, peranganinya sama saja - dulu, kini dan dibimbangi buat selamanya - sehingga dia dijemput Allah SWT ke alam barzakh.

Salah satu karakter orang bergelar haji paling menarik saya saksikan (filemlah) adalah Haji Bakhil melalui filem Labu Labi. Tak tahulah saya sama ada dia mendapat 'title' haji kerana sudah menunaikan haji atau saja-saja dipanggil haji. Punyalah kedekut orang ini, orang gajinya (Labu dan Labi) tidak diberikan ganjaran sewajarnya.

Di dalam buku 'Teman Anda Ke Tanah Suci' karya Dato' Mohd Saleh Awang (Misbaha) terbitan Times Books International, ada dinyatakan kelebihan orang yang telah mengerjakan haji, antaranya dia adalah utusan Allah.

Misbaha menulis: "Jemaah haji adalah utusan Allah sebagaimana tersebut dalam hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud: 'Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah utusan Allah. Jika mereka berdoa, nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun, maka Allah akan mengampuni mereka."

Sebelum meneruskan muzakarah mengenai insan bergelar haji dan hajah ini, terlebih dahulu penulis yang sudah menunaikan haji memohon maaf; bukanlah tujuan penulis mendedahkan keburukan mana-mana pihak, lebih-lebih lagi penulis sendiri banyak jeleknya, tetapi untuk sama-sama merenung, bermuhasabah diri, memikirkan yang terbaik untuk hari muka.

Berdasarkan pengamatan penulis, ramai sahabat-sahabat bertukar baik atau menjadi lebih baik selepas bergelar haji. Alhamdulillah kerana jika dulu tidak kerap ke masjid, selepas bergelar haji hampir setiap waktu berjemaah di masjid.

Malahan kelas pengajian di masjid yang diadakan pada setiap malam antara solat maghrib dan isyak sentiasa diikuti. Tidak cukup dengan itu, insan bergelar pak haji ini sanggup berpindah daripada satu masjid ke masjid lain yang berdekatan semata-mata bagi menambah ilmu dalam mencari keredaan Illahi.

Mak hajah pun tidak ketinggalan menyertai pak haji; jika ada kelas pengajian di masjid, dia pun turut serta. Adalah menjadi pemandangan biasa, mak hajah membonceng motosikal pak haji ke masjid untuk solat berjemaah, biasanya waktu maghrib dan selepas itu mengikuti pengajian sebelum masuk waktu isyak.

Jika dulu bertudung tiga segi atau disimpul di kepala atau di bawah dagu, alhamdulillah selepas kembali dari Makkah sudah memakai tudung labuh, dipadankan pula dengan abaya labuh, mungkin yang dibeli ketika di Tanah Suci dulu.

Namun ada pak haji dan mak aji (hajah) yang perangainya tidak berubah. Seorang sahabat lama yang sudah bergelar haji memberitahu, kelemahannya yang masih belum dapat diatasi ialah 'pantang melihat perempuan berdahi licin'.

Dia yang sudah mempunyai dua isteri, berkata apabila terpandang perempuan cantik, mulalah dia tidak keruan. Dia akan berusaha berkenalan seterusnya menambat hati perempuan berkenaan.

"Perkara ini, saya kalah. Mudah-mudahan Tuhan ampunkan saya," katanya yang mengaku pada penulis dulu masa muda-muda dia pernah berzina.

"Saya sudah bertaubat termasuk pergi Makkah, tetapi pasal bab perempuan ini, saya angkat tangan. Mungkin ini balasan Tuhan kepada saya, perangai buruk ini masih ada," rintihnya.

Penulis juga diberitahu seorang lagi sahabat bahawa kawannya yang sudah bergelar haji, juga masih dengan perangai lamanya yang tidak tahan melihat perempuan cantik.

Dia yang juga sudah beristeri dua, masih ada waktu untuk mengorat sedangkan anaknya sudah berderet dan dia sendiri hampir bermenantu seterusnya mendapat cucu.

Kisah hajah pula tidak banyak penulis ketahui. Apa yang terzahir depan penulis atau dalam akhbar dan majalah ada hajah yang pakaiannya 'lebih teruk' berbanding dulu.

Seorang hajah yang penulis kenali, dulunya kerap berbaju kurung longgar bertudung tetapi sejak akhir-akhir ini selepas berkahwin sekali lagi selepas kematian suaminya, mula berpakaian kebaya dan kadang-kadang mengenakan celana ketat. Entahlah, dia sudah buang tabiatkah atau menyesuaikan dirinya yang berkahwin lelaki muda.

Artis yang sudah bergelar hajah juga turut buat perangai. Ada yang kejap bertudung kejap tidak, ada yang menenggekkan kain di kepada dan ada menggelek (goyang gerudi) keterlaluan di pentas sedangkan dia bergelar hajah. Ada artis yang sudah bergelar hajah, sanggup mempamerkan aset tubuh mereka dalam akhbar, majalah dan rancangan televisyen, apa sudah jadi ini?

Adalah wajar bagi insan bergelar haji dan hajah menjaga imej mereka. Nama atau gelaran yang diberikan kepada mereka (haji atau hajah) perlulah dijunjung tinggi. Penghormatan masyarakat sejak sekian lama kepada pak haji/bang haji dan mak aji/hajah, usahlah digadaikan.

Malangnya, pada hari ini, semakin ramai insan bergelar haji dan hajah tidak mempedulikan harga diri mereka dan penghormatan yang diberikan. Inilah yang perlu kita bimbangkan; kita tidak mahu semakin ramai Haji Bakhil, Haji Penyamun Tarbus, Haji Kaki Rokok dan Hajah Seksi, Hajah 20 Persen, Hajah Tudung Sekerat dan Hajah Tudung Senget mewarnai kehidupan kita!

*** Info
Malam tadi saya ikuti kelas pengajian di masjid, waktu antara maghrib-isyak. Antara lain, Ustaz memberitahu, membunuh cicak adalah satu kebajikan. Membunuh cicak dengan sekali pukulan mendapat 100 hasanah, dua kali pukulan separuh daripada itu, tiga kali pukulan kurang daripada itu dan seterusnya. Apa lagi, selepas ini apabila nampak saja cicak, bunuh saja, jangan bagi 'can', dapat pahala beb!

No comments: