***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"...aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak bererti, lagi dilupakan." (Maksud Ayat 23 Surah Maryam)
***
SAYA menunaikan haji pada tahun 1993 - tahun akhir sebelum kerajaan mengenakan kuota. Ramai kenalan melarang atas alasan saya masih muda. Pada hal saya tidaklah muda.
Rasanya mungkin kerana gaya hidup saya sentiasa `happy' mereka menyangka saya tidak mendekatkan diri kepada Allah.
Pada hal bagi saya soal ibadat adalah rahsia individu dengan Allah. Kerana kebanyakan amalan itu dilakukan di dalam rumah terutama waktu malam. Tentulah tiada siapa yang dapat melihat untuk memberi penilaian.
Saya membuat haji ifrad. Memakai ihram dari Kelana Jaya berlepas dengan penerbangan KT 77 dari Lapangan Antarabangsa Subang. Ketika itu belum ada lagi KLIA.
Saya ditempatkan di Maktab 61 bersama tujuh wanita lain sekamar di Rumah Tali Pinggang berhampiran Masjidilharam. Klinik Tabung Haji terdekat ialah di Hotel Anwar.
Di Tanah Suci saya ada banyak masa terluang selain melakukan kerja-kerja wajib, sembahyang waktu dan sunat, membaca al-Quran dan zikir.
Saya suka berjalan-jalan seorang diri dengan membawa sedikit wang dan sebuah kamera kecil dalam poket maxi tertutup oleh telekung. Di sana telekung menjadi pakaian harian wanita dari Malaysia. Masa yang selalu saya ambil untuk keluar bersiar-siar ialah selepas menunaikan solat Asar.
Antara pemandangan yang saya rakamkan ialah pemandu tidur dalam perut bas, pekedai membakar roti dalam dapur tanah, penjaja memperdagangkan barangannya, pengemis jalanan dan macam-macam lagi yang saya kira menarik jarang terdapat di Malaysia.
Selain itu saya juga suka ke klinik Tabung Haji. Ada kala membawa teman sekamar yang demam ataupun saja-saja ke situ menghabiskan masa melihat kesibukan para petugas ddan masalah jemaah haji.
Suatu petang saya di klinik Tabung Haji. Seorang pakcik marah-marah kerana isterinya hilang sejak subuh kelmarin dan kini hampir masuk Maghrib belum ditemui.
Petugas menyuruhnya bersabar kerana sukar mencari di celahan jutaan manusia yang semakin membanjiri Makkah. Saya kembali ke bilik dan menceritakan peristiwa itu kepada makcik-makcik dan kakak-kakak sambil gelak-gelak.
Malam itu selesai solat Isyak saya mengajak Kak Ani, teman sebilik untuk pergi melihat Kaabah dari jarak dekat dan menunaikan solat sunat.
Selepas duduk beriktikaf beberapa lama kami bangun untuk pulang. Kami gagal mencari pintu terdekat untuk ke hotel.
Kami berputar di dalam masjid dan keliling Kaabah entah berapa kali. Dalam masjid tidaklah sesesak macam selalu.
Kebanyakan jemaah pulang berehat di penginapan masing-masing. Yang ada jemaah dari negara-negara Asia Barat menjadikan masjid tempat tidur mereka. Beberapa kali Kak Ani terduduk keletihan.
Kami menunaikan solat sunat minta Allah tunjukkan jalan pulang. Ketika itu tidak kelihatan lagi jemaah dari Malaysia yang mudah dikenali dari cara berpakaian. Saya dengan kak Ani menjadi takut dan Kak Ani hampir menangis.
Tiba-tiba saya terpandang dua lelaki berusia 50-an memakai baju Melayu sedang mengetik biji tasbih. Mata seorang daripadanya tajam merenung Kaabah.
Saya hampiri, memberi salam dan menegur. Tetapi tidak dijawab sehingga tiga kali barulah salah seorang memandang saya.
Saya katakan saya sesat dan bertanya dia tinggal di maktab mana. Lelaki itu menjawab dia tidak tinggal di mana-mana maktab tetapi bersedia menghantar kami ke klinik Tabung Haji.
Kami mengikut dua lelaki yang kami kira dari Malaysia dengan rasa cemas sedikit gembira.
Kak Ani ketakutan dan membiarkan mereka berjalan dahulu dan kami mengikut.
Jalan sepi sebaik keluar dari masjid. Mendaki anak tangga batu kiri dan kanan hanya tembok bangunan konkrit.
Sepi tidak terlihat seorang manusia pun. Sampai di atas saya ternampak bendera Malaysia berkibar-kibar pada satu bangunan.
Saya terus meluru dan menolak pintu. Kak Ani juga mengikut. Di dalamnya dua petugas sedang berkemas hendak menutup klinik itu. Saya katakan saya sesat dan meminta petugas berkenaan hantarkan ke Rumah Tali Pinggang.
Petugas itu ialah Dr Farid dan dengan senyum bertanya bagaimana saya boleh sampai ke situ.
Saya beritahu dihantar oleh dua orang. Sekali gus saya berlari ke pintu kerana teringat tidak mengucapkan terima kasih.
Di luar tiada siapa-siapa lagi hanya hembusan angin dingin. Saya kembali kepada Dr Farid dan mengatakan orang yang menolong sudah tiada.
Semakin lebar senyuman Dr Farid sehingga saya jadi hairan. Katanya, jangan-jangan malaikat yang menghantar saya dengan Kak Ani ke situ. Saya terdiam.
Dr Farid dengan seorang lagi temannya menghantar saya dengan Kak Ani pulang ke Rumah Tali Pinggang.
Jalan yang lebar tidak terdapat seorang pun manusia lagi. Malam yang sepi. Rupanya rumah kami dekat sahaja dapat dipandang mata.
Hingga kini peristiwa itu menjadi tanda tanya yang tidak terjawab sehingga saya kembali ke Malaysia. Siapakah yang menghantar saya ke situ dan hilang dalam sekejap masa? - Nukilan IZWANI OTHMAN
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel.
* Juga terbuka untuk pembelian adalah buku koleksi haji susunan penulis bertajuk 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan di Raudhah' yang dijual pada harga RM4 termasuk kos penghantaran (pos dan pembungkusan).
* Blog ini juga terbuka kepada sesiapa yang mahu memanfaat ruang iklan dengan sedikit bayaran. Sila hubungi penulis. Sekarang ini, blog ini ditatapi kira-kira 100 pelayar setiap hari (sila klik pada kotak empat segi kecil berwarna hijau pada bahagian paling bawah blog untuk rujukan).
***Nota: Tiada hak cipta. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Cuma diharapkan dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Hanya balasan berlipat ganda diharapkan daripada Allah SWT berhubung penyebarannya. Sekian, wassalam.
1 comment:
Salam sdr.
Satu pengalaman yang hebat. Pada saya kerana tawakkal dan mengharapkan Allah bersungguh-sungguh, maka Allah utuskan "manusia" itu untuk menolong.
Post a Comment