Friday, May 29, 2020

Syawal 6: Berpatah balik dari masjid...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)



Syawal 6


Berpatah balik dari masjid...


TENGAH hari tadi (29 Mei) saya ke masjid untuk solat Jumaat. Sebelum itu, saya tanya anak lelaki bujang saya yang mahir media sosial, betulkah masjid di negeri kami sudah dibuka untuk solat Jumaat. Katanya, ya, tetapi untuk orang tertentu, jemaah yang diberi nombor giliran ke masjid.


Lantas dia menunjukkan 'tiket - nombor giliran' seorang kawannya dalam 'handset'nya. Kawan itu mendapat nombor 29. Dia bertanya kepada saya: "Ayah ada dapat slip nombor giliran?" Terus terang saya kata tak ada.


Sekalipun tanpa slip nombor giliran itu, saya mahu juga pergi ke masjid. Dalam slip kawan anak saya itu ditulis syarat ke masjid - mesti ambil wuduk di rumah, bawa sendiri sejadah dan 'hand sanitizer'. Saya pun ambil wuduk, bawa sejadah dan 'hand sanitizer' dan terus menunggang motosikal ke masjid.


Di beranda depan masjid saya lihat pengerusi masjid sedang memeriksa suhu jemaah terpilih. Saya pakir motosikal jauh sikit. Ketika baru beberapa langkah ke bahagian hadapan masjid, seseorang yang saya kenali sebagai AJK masjid bergerak pantas ke arah saya dan berkata dari kejauhan kepada saya. "Maaf bang, giliran abang minggu depan."


Maka, saya pun berpatah balik. Tak dapatlah saya solat Jumaat hari ini. Entahlah, sudah berapa kali saya 'miss' (tak tunai) solat Jumaat saya tak ingat secara tepat. Mungkin 10 kali kot...Jangan sedih, hampir 99 peratus orang tak dapat ke masjid. Yang boleh, adalah imam, bilal dan siak.


Teringat saya kisah seorang ulama yang dihumban dalam penjara. Setiap hari Jumaat, dia akan membersihkan serta menyiapkan diri seolah-olah akan pergi solat Jumaat...apabila hampir waktu solat Jumaat, dia akan berada di pintu penjara dan berdoa yang lebih kurang berbunyi...ya Allah, aku teringin benar solat Jumaat, maka berilah aku ganjaran amalan itu...



ARTIKEL (lama) IRINGAN

'Sangkutkan hati' anak-anak di masjid...

TENTUNYA tiada siapa lebih baik daripada seorang bapa untuk memperkenalkan masjid kepada anaknya; berhubung perkara ini saya tidak berkecuali. Namun ia tidak semestinya begitu kerana pelbagai faktor seperti kematian si bapa.

Teringat saya pengalaman pertama ke masjid di kampung dengan membonceng basikal bapa untuk sembahyang Jumaat. Walaupun baru berusia 10 tahun, terasa 'sudah dewasa' apatah lagi 'sudah bersunat' (berkhatan) kerana dapat berada di sisi ayah di kalangan jemaah dewasa di masjid kira-kira satu kilometer dari rumah.

Namun untuk ke masjid hatta bagi menyempurnakan solat Jumaat di kalangan kanak-kanak pada zaman 1970-an dulu bukan mudah. Masalah utama adalah berkaitan pengangkutan. Basikal keluarga saya ada dua saja. Satu digunakan bapa untuk mencari rezeki; jarang dia balik ke rumah untuk solat Jumaat, dia solat di masjid berhampiran tempat kerjanya. Basikal kedua boleh digunakan sesiapa saja di kalangan keluarga.

Biasanya basikal itu digunakan oleh abang sulung untuk ke sekolah atau menunaikan urusan lain. Jadi tiada lagi basikal di rumah. Setiap Jumaat, saya tiada pilihan lain kecuali menapak ke masjid dalam keadaan cuaca panas membahang. Sambil berjalan-jalan itu berharap ada orang berkenderaan sudi menumpangkan saya, malangnya tiada yang berbuat demikian.

Namun berbekalkan pengalaman pertama ke masjid bersama bapa, saya terus istiqamah ke masjid setiap Jumaat sehingga ke hari ini. Kata orang, pengalaman atau cinta pertama sukar dilupakan...ia tetap berpahat di hati. Harap-harap hati yang sudah 'tersangkut' ke masjid, Allah SWT kekalkan sehingga ke hujung hayat.

Sehubungan itu kepada pembaca di kalangan 'bapa-bapa muda', berusahalah untuk memperkenalkan seterusnya kerap membawa anak-anak  ke sana, insya-Allah pengalaman di masjid akan terpahat di hati mereka dan apabila dewasa nanti mereka hampir pasti terkenang kisah manis itu apalah lagi jika si bapa sudah meninggal dunia. Ingatlah ada hadis menyebut antara tujuh golongan yang mendapat perlindungan di akhirat nanti adalah orang yang hatinya 'tersangkut' di masjid.

Kepada petugas dan pegawai masjid usahlah bersikap kasar dan bengis kepada kanak-kanak...biasalah ada di kalangan mereka membuat bising dan berlari-lari di luar malah dalam masjid...ya bersabarlah kerana memang perangai kanak-kanak macam tu, lainlah kalau orang tua  berbuat demikian.

Kalau kita bersikap bengis kepada kanak-kanak, mereka akan ingat sampai bila-bila; seorang anak lelaki saya yang kini sudah hampir 30 tahun masih mengingat peristiwa dia dimarahi oleh seorang petugas masjid yang menjerit dengan lantang kepadanya 'Heiii budak!' ketika dia berlari ke tandas.

Kanak-kanak perlu dididik dan asuh untuk 'disangkutkan hati mereka' ke masjid. Mereka adalah generasi pelapis yang diharapkan dapat memakmurkan masjid pada masa depan. “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. at-Taubah:18)

Apa dimaksudkan “memakmurkan masjid” adalah membangun dan mendirikan masjid, mengisi dan menghidupkannya dengan pelbagai ibadah dan ketaatan kepada Allah, menghormati dan memeliharanya dengan cara membersihkannya daripada kotoran-kotoran dan sampah serta memberinya wewangian.

Berkaitan perkara ini, penulis tertarik dengan jadual kerja di kalangan ahli jawatan kuasa sebuah masjid yang memungkinkan masjid itu dan persekitarannya bersih, cantik, kemas dan menarik untuk dikunjungi lagi dan lagi...

Seperti masjid-masjid lain di dinding masjid ini  disertakan senarai nama ahli jawatankuasa masjid. Namun apa yang menariknya, di masjid ini ada dinyatakan (ditulis secara terperinci) tugas-tugas ahli jawatankuasa masjid itu. Bagi saya ini perkara ini sesuatu yang amat baik kerana kebiasaannya hanya nama AJK masjid ditulis tetapi orang ramai termasuk jemaah masjid tidak tahu apa sebenarnya tugas dan apa yang dibuat mereka.

 Ada AJK masjid yang bukan saja tidak menyumbang apa-apa kepada usaha memakmurkan masjid malah mereka pun jarang-jarang ke masjid, ada yang hanya datang untuk bersolat Jumaat saja malah mungkin ada yang tidak datang langsung. Pendeknya nama mereka saja terpampang gagah, kerja mereka tiada malah ada yang terbabit dalam perbuatan keji yang memalukan umat Islam setempat, negeri dan negara.

Ya, pada pandangan penulis yang daif ini, alangkah eloknya setiap pengurusan masjid mengambil contoh usaha dilakukan pentadbir masjid ini; selain menyenaraikan nama AJK masjid daripada Pengerusi sehinggalah Pemeriksa Kira-Kira dan nama pegawai syarak daripada Imam 1 sehinggalah Noja, paparkan secara terperinci tugas masing-masing termasuk jadualnya sekali. Dengan cara ini, tidaklah boleh seseorang yang namanya dipaparkan di dinding masjid itu, berlepas tangan, mereka mesti menunaikan setiap apa yang dinyatakan itu.

Di masjid yang penulis kunjungi itu, ada ditulis siapa yang tugasnya memastikan kebersihan tandas pada hari itu. Ya, jika dinyatakan siapa pelaku tugas itu secara spesifik tidak bolehlah seseorang itu mengelat. Jika dinyatakan cuci tandas, cuci tandaslah tanggungjawabnya dan jika ada masalah berkaitan dengan tandas, dialah orang yang akan dicari. Jadi semua petugas termasuk AJK menjalankankan tanggungjawab masing-masing; tidaklah hanya 'terpahat' namanya yang gah di dinding masjid!

No comments: