Friday, May 8, 2020

Secebis Kisah Ramadan 15: Sahabatku dermawan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Bersabda Rasulullah s.a.w., bermaksud: "Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La IIaha'illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilaihi' (aku meminta keampunan dari Allah Ta'ala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendirinya dan aku meminta taubat kepada-Nya) diampunkan dosanya walaupun dia lari daripada medan perang." (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)

Secebis Kisah Ramadan 15

Sahabatku dermawan

PAGI ini (15 Ramadan 1441) di TV3 dan TV9 rancangan 'Tanyalah Ustaz' menampilkan Ustaz Jafri Abu Bakar. Beliau memuzakarahkan bab pemurah dengan tajuk 'Sahabatku dermawan'. Serta merta saya teringat seorang sahabat saya ini (bekas rakan se-ofis) yang begitu pemurah.

Alhamudulillah, Allah SWT beri dia kesihatan dalam usia lebih 70-an, dia masih menghubungi saya, bertanya khabar, al-maklumlah dia dan saya sama-sama sudah pencen. Dia pencen dua kali, pada kali pertama pada usia 55 tahun daripada sebuah agensi kerajaan, kemudian sambung di tempat saya bekerja.

Pantang ada peluang dia belanja kawan-kawan. Apabila keluar makan, hatta beramai-ramai dia bayar. Bukan saja orang yang makan bersama, dia bayar, tetapi apabila melihat rakan beli secara bungkus pun dia bayar. Hari ini dia belanja, esok pun dia belanja. Lusa pun dia belanja. Saya takjub melihat sifat pemurah sahabat ini. Semoga Allah mengurniakan dia 'jannah'. Amin.

Saya 'banyak belajar' daripada dia. Belajar untuk tidak takut keluar wang bagi orang apatah lagi sahabat makan. Namun kadang-kadang saya 'kena brek' juga sebab duit dalam poket cukup-cukup untuk saya makan seorang dan duit tambang bas ekspres kerana ofis dan rumah saya tersangat jauh - 125 kilometer untuk pergi sahaja.

Untuk mengatasi 'ketidakcukupan' duit untuk belanja kawan ini, saya buat pelan ini. Setiap kali orang belanja saya makan, saya ketepikan RM10 dalam dompet saya. Begitulah seterusnya sehingga jumlah duit itu menjadi banyak. Kalau sudah ada RM100, senanglah untuk saya pula belanja kawan-kawan makan.

Maka, apabila kita sudah ada duit, berlakulah 'rebut- merebut' untuk membayar ketika sahabat-sahabat makan. Kadang-kadang mamak atau tukang kasyier terpinga-pinga melihat kami berebut-rebut mahu bayar... Namun ini semua tinggal kenangan, demikianlah 'penangan' sahabat berakhlak mulia membuatkan kita belajar untuk menjadi baik..., kata hadis kalau kita bersahabat dengan si penjual air wangi, kita pun berbau wangi...


ARTIKEL IRINGAN

Ramadan: ‘Kekurangan itu kebahagiaan, nikmat…’

RAMADAN 19 tahun lalu saya berada di Pakistan, mengikuti rombongan bantuan perubatan PAS di Peshawar. Di tempat-tempat jualan saya perhatikan, penduduk tempatan begitu ghairah menjual kiub-kiub tebu yang menjadi antara jaudah berbuka puasa.

Di Malaysia, di bazar Ramadan antara air minuman laris adalah air tebu, tetapi di Pakistan, air tebu tidak dijual, sebaliknya bungkusan kiub tebu pula jadi buruan. Saya perhatikan penjual meracik (membuang kulit) batang tebu, memotongnya kecil-kecil mengikut ruas, membelahnya seterusnya memasukkannya ke dalam bungkusan untuk dijual.

Sedap juga mengunyah kiub tebu ketika berbuka puasa. Apa kata kita memperkenalkan kaedah baru ‘menikmati’ keenakan tebu cara Pakistan ini di Malaysia? Kehidupan serba kekurangan di Pakistan menjadikan ‘aktiviti’ mengunyah tebu sebagai satu nikmat, satu kebahagiaan kepada penduduknya.

Minuman air tebu adalah baik untuk kesihatan; ia membekalkan glukosa kepada tubuh yang disimpan sebagai ‘glycogen’ dan dibakar otot apabila tenaga diperlukan. Sebenar ada banyak kelebihan ‘mengunyah’ atau minum air tebu; antaranya menyejukkan tubuh, menyihatkan organ, bertindak sebagai pelawas semula jadi dan menguatkan gigi.

Cara orang Pakistan menikmati tebu mengingatkan saya nostalgia mengenai makanan semasa saya kecil-kecil dulu (tahun 70-an), apatah lagi saat menyambut Ramadan sekarang ini. Dulu sama seperti orang Pakistan, saya pun kuat mengunyah tebu. Tapi budak sekarang mana tahu ‘kunyah tebu’, mereka tahu minum air tebu saja.

Pada zaman serba mewah sekarang, kanak-kanak pun tidak beberapa peduli tentang makanan ‘free’ yang disediakan itu pada majlis-majlis tertentu di kampung seperti ketika berbuka puasa, moreh, Maulidur Rasul, kenduri arwah (biasanya pada bulan Syaaban) dan malam Nifsu Syaaban.

Ketika itu kanak-kanak tidak sabar-sabar menanti majlis berkenaan di mana kanak-kanak juga diberi layanan istimewa dari segi makanan. Mungkin pada zaman sekarang, makanan sudah berlambak di rumah, jadi tiada apa perlu dikejarkan di masjid atau surau.

Saya masih ingat ketika pada suatu majlis Maulidur Rasul, pihak pentadbiran masjid telah menyediakan sebuah kapal yang berisi telur rebus yang dimasukkan dalam bekas-bekas cantik atau dijadikan bunga telur. Saratlah kapal itu dengan gantungan telur dalam pelbagai bentuk gubahan.

Pada pertengahan majlis, telur-telur diagih-agihkan kepada kanak-kanak yang hadir. Untuk mendapatkannya, kanak-kanak perlu memasuki kawasan masjid dan melangkah keluar melalui pintu gerbang.

Agak saya, ketika itu orang kampung melalui kehidupan zaman susah, jadi seorang kanak-kanak hanya mendapat sebiji telur. Sebiji telur ini amat berharga, ia ditatang oleh seorang kanak-kanak dan selepas puas ‘bermain’ dengannya barulah dikopek kulit dan dimakannya. Jika seorang budak mendapat sebiji telur tetapi adiknya tidak dapat, si abang sanggup membelah telur itu untuk dikongsi bersama si adiknya.

Demikianlah pada zaman itu ‘nilai’ sebiji telur amat tinggi. Saya masih ingat apabila ibu atau ayah pergi ‘rumah orang kahwin’ dan membawa balik telur rebus (dimasukkan dalam kotak kecil yang diperbuat daripada kertas manila atau kotak rokok atau dijadikan bunga telur malah ada yang masukkan dan diikat dalam kertas tisu saja) sebagai buah tangan, telur itu selepas dikopek akan dibahagi lapan (kerana adik beradik saya lapan orang).

Cara membelah telur rebus itu menjadi lapan (atau pecahah lain) adalah unik dan sukar dilihat lagi pada zaman sekarang ini. Telur yang sudah dikopek itu diletakkan dalam telapak tangan; ayah akan memegang satu hujung benang dan salah seorang anaknya akan memegang hujung yang satu lagi. Benang yang ditarik kuat dan dalam keadaan tegang ‘dibenamkan’ di atas telur tadi. Maka dibelahlah telur itu dalam pecahan dikehendaki seperti setengah, satu perempat atau satu perlapan, mengikut bilangan anak dalam sesebuah keluarga.

Bagi saya mendapat satu perlapan daripada satu biji telur sebenarnya tidaklah mencukupi kerana dengan sekali ‘ngap’ saja sudah habis. Tetapi ada cara menikmatinya, makanlah sedikit demi sedikit; kesedapannya hanya diketahui orang yang pernah melaluinya. Kata orang itulah detik bahagia sesebuah keluarga! Namun orang tua kasihan melihat anak-anak yang terpaksa melalui semua itu (kata mereka kasihan tengok budak-budak terkulat-kulat) tetapi apa hendak dikata; itu saja yang mampu mereka lakukan!

Namun ‘cerita telur’ ini tidaklah sesedih cerita ‘daging’ yang pernah saya dengar orang-orang tua membicarakannya. Pada tahun-tahun 1960-an dan 70-an dulu, orang kampung sebenarnya jarang benar makan nasi berlaukkan daging (lembu, kambing atau ayam); mereka mungkin makan daging setahun satu atau dua kali iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Keadaan ini agaknya samalah seperti di kampung-kampung orang Kemboja sekarang ini di mana ada satu iklan rayuan menyatakan kanak-kanak di sana makan nasi berlaukkan daging setahun sekali, itu pun jika ada sukarelawan dan dermawan dari Malaysia melakukan korban atau menderma.

Suatu hari seorang budak terlalu benar hendak makan daging. Mengidam agaknya. Hendak tunggu hari raya lambat lagi, jadi apabila ada majlis kahwin di kampung, terbukalah peluang untuk makan daging.

Maka si ibu pun pergi. Masa dulu, jarang (malah pantang) tetamu bawa anak-anak ke majlis kahwin. Malah pasangan suami isteri pun jarang pergi bersama-sama, orang lelaki pergi bersama orang lelaki, orang perempuan sesama orang perempuan.

Pada majlis itu, dapatlah si ibu makan daging lembu. Apabila teringatkan permintaan anaknya, dia pun mengambil seketul daging dan memasukkannya di celah antara gigi dan pipinya. Dia terus ‘menanggung’ daging itu dalam mulutnya; tidak bercakap lagi, hanya mengangguk dan menggeleng-geleng kepala apabila ditanya.

Apabila sampai di rumah, barulah dia mengeluarkan ketulan daging tadi dan memberikan kepada anaknya, Maka termakbullah hajat si anak hendak makan daging!

Zaman penuh nostalgia itu sudah berlaku. Kini apabila saya membawa pulang telur majlis orang kahwin dan meletakkannya di atas meja makan, telur itu terus berada di situ selama beberapa hari tanpa diusik.

Itulah zaman mewah sekarang ini, telur rebus tidak menggerakkan minat anak-anak untuk mengambil apatah lagi memakannya!

Itu agaknya buah tangan majlis kahwin sudah berubah, baru-baru ini saya diberikan satu paket kecil mengandungi coklat ketika melangkah pulang pada satu majlis perkahwinan. Ertinya nostalgia ‘telur’ sudah terkubur apatah lagi mengunyah tebu seperti apa yang saya lihat di Pakistan!

No comments: