Wednesday, May 27, 2020

Syawal 4: Tangguh kahwin...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)

Syawal 4

Tangguh kahwin

BERAKHIRNYA Ramadan dan masuk Syawal, ramai pasangan nak kahwin. Seorang anak saudara saya dijadualkan menikah pada hujung minggu akhir Mei ini. Nampaknya kena tunda. Bakal pengantin lelaki dari Pahang, ya macam mana nak 'cross border' ke Melaka pada musim 'perintah berkurung' sekarang ini.

Seorang anak buah saya yang lain adalah jurugambar majlis perkahwinan. Pakar dalam mempotret gambar pengantin. Apa nak dikata...'bisnes'nya tak jalan langsung sejak beberapa bulan lalu. Kali terakhir dia merakam gambar pengantin adalah pada awal Mac lalu.

Kini Mac, April malah Mei akan berakhir, bermakna sudah tiga bulan dia 'miss income' (hilang pendapatan).

Jun juga menunjukkan tanda gelap, syukurlah, katanya dia ada menyimpan untuk 'hari mendung', maka dapatlah dia menanggung hidup keluarga...seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.

Selain jurugambar perkahwinan, turut terjejas dalam bab 'nikah-kahwin' ini adalah perancang perkahwinan (wedding planner), katerer (caterer), penyedia khemah dan sebagainya...


ARTIKEL IRINGAN (lama)

Orang Melayu tak habis-habis dengan hari rayanya

APABILA seorang rakan bukan Islam bertanya, mengapa orang 'Melayu' meraikan Hari Raya (Aidilfitri) dalam tempoh terlalu panjang, terasa susah juga saya hendak menjawabnya. Apakah ini bermakna orang Melayu 'suka enjoy' saja? Jika orang bukan Islam sedar akan orang Melayu 'sudah terlebih' dalam sambutan dan meraikan hari raya, takkan kita tak terperasan?

Ya, ketika komentar ini ditulis, Syawal sudah menginjak ke hari ke-25, tetapi masih ada majlis hari raya di sana sini dan jika amat-amati siaran radio di televisyen, juruhebah dan pengacara masih mengucapkan Selamat Hari Raya. Disiarkan juga lagu hari raya. Malah di akhbar, masih disiarkan gambar-gambar bingkisan hari raya dari luar negara. Pendeknya, orang Melayu tak habis-habis dengan hari rayanya.

Orang ramai terutama pemimpin dan di pejabat masih diadakan lagi majlis sambutan hari raya. Ya nampaknya orang Malaysia (yang disebut si rakan tadi orang Melayu), mahu berhari raya buat tempoh masa yang panjang, orang lain menyambut perayaan mereka 'seadanya' sedangkan orang Melayu mahu berterusan berdendang dengan pesta hari rayanya.

Tidak terasa janggal jika disebut hari raya pertama, hari raya kedua dan hari raya ketiga (terutama membabitkan siaran rancangan televisyen), tetapi jika disebut hari raya ke-25, terasa tak kena. Seperti sahabat bukan Islam tadi, mungkin ramai lagi orang yang tertanya-tanya mengapa orang Melayu bermati-matian berhari raya sampai sebulan sepanjang Syawal? Tidakkah banyak kerugian terpaksa ditanggung seperti dari segi kewangan dan masa?

Bagi merungkai permasalahan yang diutarakan rakan 'non-Muslim' tadi, saya mendapatkan pandangan seorang tok guru yang disegani. Beliau menjawab soalan saya dengan mudah sekali. "Menyambut hari raya adalah satu ibadat, jadi untuk berada di landasan yang betul, lakukannya mengikut apa yang disuruh oleh agama dan jauhkan daripada apa yang dilarang oleh agama."

"Kenapa kita sambut hari raya?" tanyanya dan kemudian apabila melihat saya hanya mendiamkan diri, dia meneruskan: "Antaranya kita mahu bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadan. Kita boleh bergembira dalam menyambutnya tetapi bukan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam."

Beliau mengingatkan sekali lagi bahawa menyambut hari raya adalah satu ibadah, bukan budaya atau menjadi menjadi pak turut seperti yang berlaku sekarang ini. Katanya, hari raya Aidilfitri itu satu hari saja di mana Allah SWT mengharamkan manusia berpuasa pada hari itu. Pada hari kedua Syawal itu, umat Islam digalakkan untuk berpuasa, jadi itulah garis pemisah hari raya itu dan hari biasa.

Tidak menjadi kesalahan untuk meneruskan kemeriahan hari raya seperti kunjung mengunjung saudara dan sahabat handai tetapi semuanya hendaklah dilakukan dalam batasan agama, katanya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, katanya, sambutan hari raya sudah menjadi satu budaya dan bukan berdasarkan tuntutan agama. Banyak perkara dilakukan bertentangan dengan kehendak agama seperti berlaku percampuran lelaki perempuan (termasuk bersalam-salaman lelaki-perempuan bukan muhrim) pada majlis seperti rumah terbuka, berlaku pembaziran makanan, tidak diundang golongan miskin sekalipun jiran tetangga dan dicampurkan unsur maksiat seperti disertakan nyanyian, konsert dan majlis tari menari.

"Garis panduan sambutan hari raya mudah saja," kata tok guru. "Lakukan yang disuruh oleh agama dan tinggalkan apa ditegah. Suka saya mengingatkan hari raya hanya satu hari saja, yang lebih itu budaya orang kita saja. Kalau budaya itu ada unsur bertentangan dengan Islam, tak payahlah dibuat, buat mendatangkan dosa saja buat apa?"

Lagi pun berhari raya berlebih-lebihan, habis tenaga, wang ringgit dan masa!

No comments: