Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Surah Al-Baqarah, ayat 222)
Secebis Kisah Ramadan 24
Ada kucing, ada tikus...
SUDAH dua bulan saya (kita semua) tidak pergi ke masjid. Terasa rindu. Dulu 'time' beginilah (10 hari terakhir Ramadan), kita 'pulun cukup-cukup' untuk berada di masjid, ya kita beriktikaf...ya kita cuba menjauhkan diri daripada kesibukan dunia.
Selepas berpengalaman beriktikaf atau singgah di banyak masjid di seluruh tanah air malah di luar negara, saya dapati ada masjid yang kemudahan awamnya adalah 'first class' dan ada juga yang 'tiada kelas'.
Ini pengalaman sayalah, mungkin ia kes terpencil dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan...kemudahan awam masjid di sesetengah negara Arab, aduhai...apa pasal teruk sangat.
Tandas kotor dan untuk menemui masjid menyediakan tempat solat Muslimah amat sukar.Mungkin budaya mereka yang tidak menggalakkan wanita solat di masjid. Tandas kotor mungkin kerana mereka kekurangan air, jadi air tidak boleh digunakan sembarangan untuk kerja pembersihan.
Di India, tandas di masjid yang pernah saya kunjungi teruk juga. Begitu juga di Pakistan. Malah ada yang tidak ada bekalan air. Nak berwuduk, guna air dibawa sendiri.
Di Malaysia, aduhai...di sesetengah masjid di sesetengah negeri terutama di kampung dan pedalaman, tandasnya hatta di dalam masjid pun keadaannya tak terurus, tak bersapu. Tahi cicak tak dibersihkan, dibiarkan berkumpul terutama di bendul-bendul tandas atau di atas penutup mangkuk tandas.
Namun jangan salah faham, ada masjid yang tersangat bersih dan dijaga begitu rapi. Susunan barangan di dalamnya dilihat cantik malah ada kelengkapan seperti kipas ditandakan dengan nombor. Ada pula mempunyai langsir beropol-ropol dan 'skirting' macam di rumah sendiri...
Syabas kepada pengurusan masjid seperti ini tetapi jika pegawai dan AJK masjid saja bagus, ia kurang bermakna jika jemaah masjid atau penggembara yang singgah berperangai teruk...misalnya adakah patut mereka meninggalkan pampers bayi yang penuh dengan air kencing dan kadang-kadang tahi di atas sinki atau di sudut tandas?
Jemaah masjid perlu sentiasa diingatkan, oleh itu tak hairanlah saya melihat papan tanda ini di sebuah masjid - ADA KUCING ADA TIKUS, SUDAH KENCING TOLONG JIRUS!
* ARTIKEL IRINGAN
Betapa jauhnya umat ini daripada ilmu, amal...
RAMADAN lalu memberi peluang kepada saya untuk beriktikaf di beberapa masjid. Jadi tahulah saya 'sikit sebanyak kisah di masjid'.
Pengakhiran Ramadan, ramai orang mahu membayar zakat fitrah. Ini sesuatu yang positif kerana ia petanda anggota masyarakat sedar mengenai kewajipan itu yang mesti ditunaikan sebelum solat Aidilfitri.
Namun berdasarkan kunjungan orang ramai itu, saya amat-amati sebahagiannya hanya melihat akan kewajipan membayar zakat; tidak lebih daripada itu. Jadi berlakulah adegan-adegan yang pada pandangan 'hamba yang daif ini', tersasar daripada 'perlakuan cantik dan indah' seorang Muslim atau Muslimah.
Di sebuah masjid, dua wanita yang saya agak anak dara yang turun daripada motosikal menegur saya: "Pak Aji, mana bilal (merangkap amil)? Kami nak bayar zakat." Terkedu saya melihat cara mereka berpakaian; pakai seluar sendat, baju-T mendedahkan lengan tetapi bertudung kepala; hai...pergi ke masjid dengan pakaian sebegitu? Ini macam iman pak aji dan pak bilal pun boleh tercalar, apatah lagi pada bulan mulia ini. Astaghfirullah...
Suatu petang selepas solat Asar saya luangkan masa bersama pak bilal yang duduk di sisi meja kecilnya menanti orang datang membayar zakat. Seorang pemuda berjeans dan berkemeja-T masuk masjid, terus merapati pak bilal. Ya, dia masuk dan terus duduk mahu bayar zakat. Demikian, ramai lagi orang berbuat sedemikian.
Apakah 'orang-orang' ini tidak tahu peraturan keluar masuk masjid? Majoritinya tidak pun solat tahiyatul masjid. Main redah aje masuk masjid, kemudian 'blah' begitu saja. Ada seorang pemuda di samping membayar zakat fitrah, membawa bersamanya sesikat pisang.
"Mana mahu taruh pisang ini?" tanyanya. Pemuda ini tahu berbudi dengan membawa pisang untuk santapan jemaah ketika berbuka puasa nanti, malangnya dia tidak menunaikan solat menghormati rumah Allah.
Ramai juga yang datang mahu membayar zakat seketika sebelum azan solat waktu dikumandangkan. Mereka tercari-cari petugas zakat (biasanya bilal, imam dan noja) sedangkan petugas-petugas ini bersiap sedia untuk solat. Hairan juga, kenapa mereka tak solat sekali; selepas solat nanti bayarlah zakat. Bukankah itu akan menyenangkan pihak-pihak terbabit dan mereka juga mendapat fadilat besar dengan menunaikan solat berjemaah?
Suatu pagi, selepas solat subuh, seorang lelaki penunggang motosikal, selepas turun daripada kenderaannya, tergesa-gesa memasuki masjid dan bertanya kepada saya yang kebetulan keseorangan di situ: "Saya nak bayar zakat, pak aji bilal ke?"
Apabila saya menjelaskan saya bukan bilal, dia mengemukakan soalan mendesak-desak saya seperti "bila bilal, imam nak datang ni?" Hai, saya menjadi hairan, apakah hal hendak bayar zakat fitrah pagi-pagi buta ini? Tak tahukah dia, bilal dan imam pun 'kena pergi kerja' juga.
Insya-Allah tengah hari nanti imam dan bilal datanglah semula; bilal bersiap sedia mengkumandangkan azan seterusnya jemaah menunaikan solat zuhur. Tak bolehkah datang masjid untuk solat zuhur selepas itu bayarlah zakat; ini pagi-pagi buta terlolong-lolong buat apa?
Demikianlah apabila berada agak lama di masjid, 'bermacam-macam hal' saya saksikan. Barulah saya tahu bukannya mudah untuk bertugas sebagai bilal, imam, noja, siak dan sebagainya yang perlu menghadapi pelbagai karenah anggota masyarakat.
Berdasarkan apa yang saya saksikan, saya bimbang ramai anggota masyarakat kita tidak cukup ilmu agama sebenarnya, apatah lagi beramal. Mungkin kebimbangan ini ada asasnya, jika diamat-amati hadirin pada kelas pengajian di masjid (biasanya antara solat maghrib dan isyak) pada saban malam adalah 'orang itu, orang itu juga'. Majoritinya orang KRU (kumpulan rambut uban) dan RTM (rehat tunggu mati). Jarang kelihatan anak-anak muda.
Mungkin itu antara sebab apabila anak-anak muda ini ketika membayar zakat fitrah, macam-macam karenah dapat disaksikan. Namun syukur juga, mereka mahu membayar zakat fitrah, kalau jenis yang tak nak bayar, lagi susah kita.
No comments:
Post a Comment