Monday, May 4, 2020

Secebis Kisah Ramadan 11: Kitab Al-Hikam

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)

Secebis Kisah Ramadan 11

Teringat Syarah Al-Hikam terjemahan dan syarahan Dr Zul Al-Bakri


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan sekarang ini mengingatkan akan kelas pengajian seorang imam di sebuah surau di kampung saya yang pada setiap malam Jumaat memuzakarahkan Syarah Al-Hikam Jilid 1 dan Jilid 2 terjemahan dan syarahan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Dr Zul), dulunya Mufti Wilayah Persekutuan, kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Apa tak teringatnya kerana sekarang wajah Dr Zul sering muncul TV....Namun kelas kami sudah terhenti...berdoa-doalah mungkin selepas raya nanti dapat disambung balik.

Kitab Hikam dan syarahannya terlalu hebat - sukar untuk orang awam termasuk diri ini memahami mutiara katanya yang tersangat indah. 

Sempat di sini saya merakamkan 
Hikmah 60 bertajuk 'Engkau bebas merdeka daripada segala sesuatu' dengan mutiara katanya bermaksud: "Engkau bebas merdeka daripada segala sesuatu yang engkau tidak memerlukannya, dan engkau tetap menjadi hamba kepada sesuatu yang kau harapkan (inginkan)."

Dalam bab ini ada dihikayatkan seorang ahli hikmah yang mengutip biji-biji di air kerana inginkan makanan (untuk dimakan). 

Kata orang kepadanya: "Kalau kamu berkhidmat kepada sultan, nescaya kamu tidak makan seperti ini."

Jawab ahli hikmah itu bermaksud: "Kalau kamu cukup dengan cara ini, kamu tidak berhajat kepada khidmat sultan."

Demikianlah, carilah kemerdekaan pada diri, tidak payah mengampu sana sini; Ibn 'Ataillah (pengarang kitab Hikam) berkata: "Carilah warak untuk dirimu lebih banyak daripada mencari yang lain. Bersihkan daripada sifat tamak kepada makhluk kerana orang tamak tidak boleh bersih sekalipun dengan menggunakan tujuh lautan air..."

ARTIKEL IRINGAN (tokoh membabitkan kitab Hikam terawal)


Tokpulomanis' dan kedaulatan Islam Terengganu


SEKALIPUN beberapa tahun lalu saya pernah mengikuti kelas pengajian di masjid yang gurunya (beliau sudah pun meninggal dunia) mensyarahkan kitab Al-Hikam karangan Syaikh Ibnu Atho'illah (Athaillah) Askandary, hanya baru-baru ini saya cuba-cuba meneliti dua buku dalam bahasa Melayu (termasuk Indonesia) mengenainya. 

Buku pertama adalah 'Terjemahan Al-Hikam - Pendekatan Pengabdian Pada Khaliq' yang diusahakan oleh H Salim Bahreisy dan diterbitkan oleh Victory Agencie, Kuala Lumpur manakala buku kedua adalah 'Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf' (Al-Hikam) oleh Prof Dr KH Muhibbuddin Waly, terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura. 

Tatkala membaca 'Pendahuluan' kitab 'Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf', terperanjat tetapi terasa gembira dan bangga saya apa terbaca Dr Tengku Muhibbudin Waly yang antara lain menulis: "Oleh kerana membaca kitab syarah Hikam yang berbahasa Arab dari siapa pun penulisnya menemui kesulitan yang besar bagi jemaah pengajian, kerana ibaratnya yang sulit dan fahamnya yang halus, maka tidak ada jalan lain bagi saya selain membuat syarah Hikam yang baru dalam bahasa Indonesia. 

"Meskipun zaman dahulu mungkin lebih dari 100 tahun yang lalu seorang ulama besar Terengganu di Malaysia bernama Tokpulomanis telah menterjemahkan syarah Al-Hikam dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, tetapi sifatnya terjemahan semata-mata dan dalam bahasa Melayu lama, maka buku kita ini merupakan syarah baru, sebab berasal dari faham dan pengertian kita atas tulisan ulama-ulama besar yang pernah mensyarahkan Al-Hikam sebelum kita." 

Serta-merta saya ingin mengetahui lebih lanjut lagi mengenai tokoh ulama bernama 'Tokpulomanis' ini. Sebelum ini dalam kelas-kelas pengajian yang saya ikuti, seorang guru lain selalu mengangkat nama Syeikh Muhammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi (pengarang berjilid buku bernama Bahru Mazi dan kamus Arab-Melayu al-Marbawi) yang katanya satu-satunya ulama Nusantara (Alam Melayu) yang kitab syarahnya terdapat di gedung-gedung besar ilmu di Makkah dan Madinah. Katanya Syeikh Muhammad Idris yang mensyarahkan hadis-hadis Imam Termizi adalah sebaris ulama-ulama besar Arab dan dari benua kecil India. 

Saya pernah menulis artikel mengenai Syeikh Muhammad Idris yang berasal dari Lubuk Merbau, Perak; dan pada kesempatan ini ingin pula saya mencoretkan mengenai 'Tokpulomanis' ini. Saya mengagak tokoh yang diberi nama 'Tokpulomanis' oleh penulis Indonesia itu tentunya bermaksud 'Tok Pulau Manis'. Jadi saya pun memulakan pencarian di internet mengenai 'Tok Pulau Manis' dari Terengganu ini dan alhamdulillah, ada beberapa artikel bertepatan mengenai allahyarham. 

Antara lain, pondoktauhid.blogspot.com mencatatkan dalam satu artikel bertajuk 'Tok Pulau Manis - Perterjemah Kitab Hikam': Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali Tok Pulau Manis dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060-an/1650-an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama di peringkat awal daripada kaum keluarganya sendiri. 

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Makkah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung daripada ulama besar Aceh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di Alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Makkah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun. 

Selama hampir satu dekad di Makkah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011/1616-1690), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Makkah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawuf disamping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya. 

Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf. 

Syeikh Abdul Malik memilih Tarekat Shadhiliyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Shadili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama daripada kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ‘Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam di samping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus. 

Pengajaran al-Shadhili dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan daripada pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Imam Abu al-Hassan al-Shadhili dan pendukung-pendukungnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat di samping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut. 

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, antara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Shadhili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i. 

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Makkah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam Melayunya:

(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemahkan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?. 

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Makkah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam bahasa Melayu. 

 Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1660-an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu. 

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan ke-Islaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Makkah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah. 

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736M sebagaimana yang terakam pada makamnya. 

Ya, 'Tokpulomanis' harum namanya sehingga ke Indonesia dan serata dunia, maka pada pendapat hamba yang daif ini, alangkah indah jika Islam dan seluruh hukum hakamnya termasuk hudud dapat ditegakkan di bumi Terengganu Darul Iman khasnya dan Malaysia amnya!

2 comments:

jeffrey said...
This comment has been removed by the author.
jeffrey said...
This comment has been removed by the author.