Renungan
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan atsar (bekas-bekas) yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab induk yang nyata. (Lauhul Mahfuzh)." - Surah Yasin, ayat 12
Secebis Kisah Ramadan 30
'Kureng' sabar, syukur
KETIKA melakar tulisan ini Ramadan 1441H akan berakhir sebentar saja lagi. Alhamdulillah dapat menunaikan puasa setiap hari pada bulan suci ini, tetapi sungguh sedih meninggalkan Ramadan.
Bagi saya Ramadan pada musim 'perintah berkurung' ini banyak mendedahkan kelemahan diri. Selama ini saya ingat saya bagus, tetapi sebenarnya tak bagus. Saya katakan tak bagus ini adalah berdasarkan kepada kepatuhan dua sifat terbaik yang perlu ada pada setiap mukmin seperti selalu diungkapkan ulama.
1. SABAR
Sabar ini bukan teori. Atau pengajian daripada buku/kitab. Banyak 'event' menunjukkan aku tak sabar. Sebagai contoh, sekarang ini disebabkan 'perintah berkurung', kita berhadapan dengan anak bini 24 jam. Ujian dengan anak bini tersangat banyak. Selalunya kita tak tahan dengan gelagat mereka. Dengan karenah anak bini kita tak sabar jadi bagaimana kita mahu mengaku kita orang sabar. Tak layak sama sekali. Banyak kelemahan diri yang perlu dibaiki.
Jika anak bini pun tak dapat pimpin, bagaimana nak jadi pemimpin di luar sana...Ohh, malu aku. Nasib baik (alhamdulillah) teringat Allah...sebenarnya kamu bukan saja tak mampu pimpin anak isteri atau masyarakat, diri kamu sendiri pun kamu tak mampu pimpin sebab itu BERDOALAH kepada-NYA agar DIA tidak menyerahkan diri kita kepada diri kita sendiri tetapi kita menyerahkan diri KEPADA-NYA agar DIA memimpin kita sepanjang masa sebagaimana kita berdoa dalam setiap rakaat solat...Ya Allah Kau tunjuki kami jalan yang lurus...
2. BERSYUKUR
Dalam bab bersyukur ini pun saya 'fail'. Dalam perkara keduniaan masih nak banyak. Nak banyak duit, nak banyak harta. Nak banyak itu dan ini. Nak banyak pengaruh, nak banyak sanjungan dan pujian orang. Nak banyak perkara yang belum ada.
Bagi perkara yang ada, tak nak pulak kita bersyukur. Hidung kita masih menyedut udara kita tak bersyukur. Mulut kita yang masih boleh makan, kita tak bersyukur. Jantung kita yang masih mengepam oksigen kita tak bersyukur. Kaki kita yang boleh berjalan kita tak bersyukur. Tangan kita yang boleh menaip Secebis Kisah Ramadan ini pun kita tak bersyukur.
Ada anak bini kita tak bersyukur. Asyik nak marah saja (seperti cerita tak sabar di atas). Sedangkan ada orang, bini pun tak ada. Ada orang anak pun tak ada. Ada orang berkahwin pun tak lagi.
Nikmat hidup pun kita tak bersyukur...orang dalam kubur sana, kalau boleh dia orang nak kembali ke dunia untuk membuat kebaikan...tetapi kita yang berada di dunia ini mensia-siakan SEGALA NIKMAT YANG ADA.
Konklusinya - YA ALLAH, KAU ampunilah diriku...sungguh aku banyak dosa kerana dua sifat ini (SABAR dan BERSYUKUR) amat 'kureng' pada diriku. Aku berdoa KAU tanamkanlah sifat SABAR dan SYUKUR ini pada diriku yang hina ini.
ARTIKEL IRINGAN
'Membasuh dosa' selepas Ramadan...
AIDILFITRI lalu menemukan saya dengan seorang sahabat lama; rakan di IPT puluhan tahun lalu. Dia seorang usahawan, bidangnya termasuk membekalkan peralatan dan kelengkapan kepada jabatan dan agensi pihak pemerintah.
Beliau mendedahkan akan dunia bisnes dan politik yang dakwanya banyak penyewelengannya termasuk rasuah. Bagi menghadapinya, kata beliau, seseorang itu ada beberapa pilihan - pertama lakukan 'kejahatan sejahat-jahat' tetapi jangan sampai 'tertangkap' dan yang kedua, tinggalkan terus bidang berkenaan.
Katanya, bagi rakan-rakan bisnes dan politik yang memilih untuk berbuat 'sejahat-jahatnya' termasuk tidak menunaikan ibadat seperti solat sama sekali (ada yang melakukan solat secara berpura-pura demi kepentingan politik dan bisnes) dan zakat, beliau menyaksikan mereka dilimpahi nikmat demi nikmat seperti kekayaan melimpah luah, kemasyhuran, pangkat, gelaran dan pelbagai kelebihan duniawi. Yalah, dia macam Firaun yang dikatakan tidak pernah sakit; menyebabkan dia mengaku dirinya tuhan.
Namun bagi mereka yang hatinya berbelah-bahagi (50-50) seperti takut-takut mengamalkan rasuah dan maksiat tetapi ada kala melakukannya kerana 'terliur' dan 'lalai' dengan kenikmatan dunia tetapi tidak meninggalkan solat secara terus; mereka akan diuji dengan kemewahan yang diperolehi.
Bagi golongan kedua; ada saja yang tidak kena - ahli keluarga kemalangan dan matilah, isteri sakit teruklah, anak berperangai jahatlah, rumah dimasuki pencurilah, diri sendiri kena rompaklah; pendeknya banyak masa dan duit dalam poket dihabiskan untuk menyelesaian masalah.
Sahabat saya itu berpendapat; golongan pertama sudah dilupakan oleh Yang Maha Berkuasa - apa saja mereka kehendaki diberi; mereka mendapat bahagian mereka di dunia ini tetapi tidak di akhirat nanti. Mereka bolehlah 'beraya sakan' di dunia, tetapi ingatlah kesenangan hidup di dunia hanya sebentar cuma! Mereka macam Firaun, Hamman dan Qarun.
Kepada mereka yang masih solat yang di dalamnya ada diucapkan "Ya Allah, tunjukki kami jalan yang lurus", Yang Maha Berkuasa menguji mereka dengan mendatangkan pelbagai masalah agar mereka dapat berfikir - "Ya Allah tak betul jalan yang aku ikuti selama ini, aku mahu kembali ke jalan-Mu yang lurus!"
Kata sahabat saya itu, ramai orang bisnes dan politik yang dikenalinya sudah 'kembali ke jalan yang lurus'. Pada konteks, hari raya ini, ungkapan kerap digunakan adalah 'kembali kepada fitrah'. Namun katanya, bagi orang bisnes dan politik tidaklah semudah orang awam untuk mengucapkan '0-0' ketika bersalaman antara satu sama lain pada Aidilfitri. Ucapan '0-0' bermaksud kedua-dua pihak kembali kepada fitrah, saling maaf memaafkan antara satu sama lain.
Dosa kepada Allah; Yang Maha Berkuasa Yang Maha Pemurah dan Penyayang sedia mengampunkannya tetapi dosa sesama manusia antara syarat pengampunan dan taubat seseorang itu perlu mengembalikan hak dan harta orang yang diambilnya. Inilah, yang beratnya kata sahabat saya itu.
Bagi orang bisnes dan politik, jika dulu dalam setahun dia rasuah RM100,000, dia perlu kembalikan wang itu kepada pemiliknya. Itu dalam tempoh setahun, kalau 10 tahun, wang rasuah itu adalah RM1 juta; kalau 20 tahun; RM2 juta. Persoalan ke mana wang RM2 juta (jika dapat disediakan) itu hendak dikembalikan? Itulah kalau rasuah dan penyelewengan RM2 juta; kalau RM20 juta, RM200 juta atau RM2 bilion?
Kata sahabat saya itu; dia mengenali seorang lagi sahabat bisnes yang 'sudah kembali ke fitrah'; dia sudah meninggalkan 'dunia lamanya' - dia dan keluarganya kini duduk dalam sebuah teratak buruk sebaliknya sebahagian besar harta-hartanya diinfakkan untuk membuat sekolah tahfiz yang kos pengurusannya dia tanggung sendiri. Dengar khabar lebih RM10,000 sebulan.
Selain itu, dia membuat pelbagai projek dan program kebajikan lagi semata-mata untuk 'membasuh dosa'nya. Demikianlah, apabila cahaya keimanan sudah menghampiri seseorang termasuk menyedari dosa lampau yang terlalu banyak, seseorang sanggup berkorban apa saja demi menggapai pengampunan Illahi. Tidaklah dia menguar-uarkan 'taubat' dengan bermodalkan 'air liur' saja atau kejap-kejap ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah!
Oohh, nampaknya pandai sekali penulis ini (LanH) menceloteh mengenai kisah orang lain. Penulis mengakui banyak dosa kepada ibu bapa, anak isteri, kaum kerabat, rakan setugas, sahabat handai dan juga pembaca sekalian; jadi pada Syawal mulia ini, penulis menyusun jari memohon ampun bagi 'membasuh segala dosa' itu. Kita '0-0' selepas ini, ya!
No comments:
Post a Comment