Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
Secebis Kisah Ramadan 14
Mencari Keberkahan hidup
PADA Ramadan ini saya terkenang seorang sahabat lama saya, Rabani, orang Sabah. Dia berkelana di KL hidup menumpang bersama saya dan dua lagi rakan di bilik belakang sebuah banglo lama kerajaan di Jalan Ledang (nombor jalan saya tak ingat lagi), Damansara.
Rabani ini mula-mula datang, okay, maksud saya dari segi 'penghasilan hidup'. Tetapi tidak lama kemudian, dia 'tak okay'. Tak tahulah saya sama ada dia berhenti kerja, dibuang kerja atau apa...Apabila 'kurang hasil', dia capai pisau dan masuk hutan Damansara, katanya nak cari hasil...
Semua rakan kami masa tu masih bujang...baru bekerja. 'Penghasilan kurang'. Saya yang biasanya kerja syif petang, pada tengah hari selalu membeli nasi bungkus di depan sebuah pejabat di Damasara. Saya kurang mampu beli nasi dua bungkus untuk diri sendiri dan tanggung sahabat kita itu setiap hari. Al-maklumlah ketika itu saya sedang kumpul duit untuk eh...eh...kahwin!
Jadi apa yang saya lakukan...saya beli nasi bungkus serta lauk yang boleh diambil sendiri. Saya ambil nasi banyak-banyak dalam satu berkas, taruh satu lauk seperti ikan cencaru yang besar dan bubuh sayur banyak-banyak. Apabila balik saya makan bersama-sama Rabani...kawan lain semua sudah pergi kerja. Perkara ini berlarutan berbulan-bulan lamanya,,,saya tidaklah tahu 'background' Rabani yang begitu 'misterius' itu sehingga sanggup masuk hutan Damansara.
Itu saja yang boleh saya lakukan untuk Rabani. 'Nasib' Rabani pada sebelah petang tidaklah saya ketahui...tetapi kadang-kadang apabila 'terbalik' rumah awal sikit pada sebelah malam, kelihatan Rabani makan bersama-sama kawan. Ya, kawan-kawan pun baik hati...
Berkongsi makanan adalah tersangat baik apatah lagi kepada rakan tak mampu seperti Rabani. Makan dengan menyebut Bismillah membawa kebarakahan. Makanan satu orang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk tiga atau empat orang.
Malah ada hadis menyebut kisah Saiyidina Jabir dan isterinya, maka mukjizat Rasulullah s.a.w. berlaku pada makanan dan minuman di rumahnya. Makanan untuk 10 orang cukup untuk lebih 1,000 orang. Ini sangat luar biasa.
# Untuk bersama-sama merasai kehebatan berkongsi makanan ini, Ramadan ini jom 'taja' belanja orang berbuka...Allah bukan 'syusah sangat' sebagai contoh bagi kat Mat Bangla tukang sapu atau angkat sampah atau pemotong rumput yang lalu di depan rumah kita RM5 atau RM10 seorang. Katakan kepada mereka, duit untuk bukak puasa. Insya-Allah muka mereka akan ceria, kita pun akan ceria sama!
Artikel Iringan
Apabila hidup tanpa kebarakahan
Orang tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.
Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat.
Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan siraturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.
Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar.
Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan menjadi perogol, pembunuh, perasuah dan sebagainya.
Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula.
Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda.
Dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT.
No comments:
Post a Comment