Thursday, May 14, 2020

Secebis Kisah Ramadan 21: Semut...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


Secebis Kisah Ramadan 21

Semut...

Ada gula ada semut bermaksud apabila sesuatu tempat itu mudah mendapat kesenangan atau kemewahan di situlah ramai orang berkumpul.

Secebis Kisah Ramadan kali ini adalah berkenaan semut-semut yang berada di persekitaran rumah saya. Tentunya antara semut paling ditakuti adalah kerengga (macam semut api) yang gemar bersarang di pohon-pohon sekeliling rumah seperti pokok mangga.

Kalau kerengga ada bersarang di pokok mangga, susahlah kita nak ambil buahnya. Salah satu cara mengambil buah adalah dengan mengaitnya dengan galah. Atau kita memasang jaring atau botol plastik air mineral secara terbalik di hujung galah, jadi buah itu tidak terhempas ke tanah yang menyebabkannya rosak.

Kerengga yang ada berhampiran rumah saya bukan saja berada di pohon tetapi berani turun ke tanah. Apabila saya meletakkan makanan kucing termasuk lebihan makanan dari rumah, berhampiran bangsal dekat pohon mangga, kerengga itu kadang-kadang akan turun menggerumi makanan itu.

Kucing-kucing itu akan melarikan diri jika ada kerengga. Saya cuba-cubalah halau kerengga-kerengga itu, tetapi apa yang membuat saya terasa takjub melihat serangan kerengga terhadap saya. Sejumlah kerengga akan meninggalkan makanan itu dan menuju ke arah saya. Mereka nampaknya tidak peduli apa-apa...matlamat mereka adalah menyerang 'musuh'. Mereka tak 'gostan' langsung apabila dihalau dengan penyapu ke, sebalik terus mara menuju musuh.

Saya berfikir takkan kerengga-kerengga itu tak tahu musuh mereka adalah ribuan kali lebih besar daripada mereka. Tentunya mereka akan hancur musnah dilenyek atau direnyuk oleh musuh. Tetapi itulah kerengga (semut) yang tidak kenal itu semua.

Saya fikir tentulah kerengga-kerengga ini adalah daripada jenis tentera yang kerjanya menyerang dan mempertahankan koloni mereka. Mereka tak peduli apa-apa lagi...serang, serang dan terus serang...sama ada mati atau tidak itu tiada dalam kamus mereka!

Hebat 'ilmu' yang dapat 'diberikan' oleh semut-semut termasuk jenis kerengga ini. Kita perlu tabik dan hormat kepada binatang ini. Namun di kampung saya, ada satu kecenderungan 'orang lama' yang saya lihat tidak wajar dilakukan ke atas sang kerengga.

Telur kerengga menjadi buruan sesetengah penggail (pemancing) terutama pemancing ikan puyu. Bagi mendapatkan telur kerengga, mereka akan menjolok sarang kerengga dengan galah panjang yang dipasang satu bekas bersarung dibuat deripada upeh pinang di hujungnya.

Bukan satu atau dua sarang kerengga dijolok...banyak. Selepas itu mereka ikat sarung bekas itu, membawanya ke suatu tempat di mana kerengga-kerengga itu dibakar! Ribuan kerengga akan mati...yang diambil hanya telurnya. Telur kerengga dicampur dengan ramuan tertentu seperti susu getah menjadi kegemaran ikan payu...penggail yang pakai umpan ini, hampir pasti membawa pulang hasil lumayan. Tuan dan puan fikir-fikirlah sama ada ini zalim atau tidak...

Berceloteh pasal 'semut-semut' ini; suatu hari selepas solat subuh, termenung saya memikirkan perlakuan semut yang saya saksikan sendiri di atas permaidani masjid berwarna cerah yang memungkinkan makhluk kecil itu boleh dilihat dengan jelas.

Selesai memberi salam, saya mengangkat kaki dan secara tidak sengaja terkena seekor semut. Binatang itu nyawa-nyawa ikan. Lama semut itu berkeadaan begitu. Kemudian datang seekor semut lain. Saiznya lebih besar sedikit. Kedua-duanya bersentuhan.

Apa yang menakjubkan saya, semut yang baru datang itu bertindak mengangkat dan membawa pergi semut yang cedera parah tadi. Saya amat-amati semut itu bergerak jauh sekali, ia tidak melepaskan 'dukungannya' sama sekali. Bertungkus-lumus ia 'menyelamatkan' semut yang cedera itu yang mungkin tidak dikenalinya sebelum itu. Mungkin kedua-dua semut ini daripada jenis berlainan tetapi masih mahu tolong menolong, kita manusia yang 'berakal sempurna' pula, macam mana?

Terfikir di benak saya; 'dahsyat' sekali perlakuan semut dalam membantu 'makhluk sejenisnya'. Tidakkah boleh kita manusia mengambil iktibar daripada kisah semut ini? Tolonglah siapa saja selagi kita boleh menolong, ini tidak kita nafsu-nafsi saja, macam enau melepaskan pucuk masing-masing.. 

Hasil Pencarian

Hasil carian web

Astaghfirullahalazim, beristighfar saya telah memijak semut.

Semoga Allah mengampuni saya.


Ayuh mari kita belajar dari semut...

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah An-Naml ayat 17-19 yang
bermaksud: "Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala
tenteranya terdiri dari jin, manusia dan burung lalu
mereka berbaris dengan tertib. Hingga ketika mereka
sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut: 
"Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu
agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya
sedangkan mereka tidak menyedari." Maka dia (Sulaiman)
tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan
semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku! Anugerahkanlah
aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah
Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua-dua
orang tuaku dan agar mengerjakan kebajikan yang
Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan
rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu
yang soleh."


No comments: