Friday, May 22, 2020

Secebis Kisah Ramadan 29: Mahu terus jadi raja mercun?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

Secebis Kisah Ramadan 29

Mahu terus jadi raja mercun?

SEKALI lagi kita 'beraya' - sambut Aidilfitri. Tetapi keadaan sekarang ('perintah berkurung' akibat COVID-19) terasa berlainan sekali daripada raya-raya terdahulu. Jika dulu suasana pada 29 Ramadan ini begitu kecoh (seperti anak cucu balik kampung dan sibuk membuat persiapan raya), kali sunyi sepi sahaja.

Pagi tadi (10-11 pagi) saya meluangkan masa di rumah ibu dan ayah di sebelah rumah saya. Suasana sepi...ibu sedang membaca al-Qur'an manakala ayah tidur. Dulu pada waktu begini suasana begitu gamat dengan anak cucu yang sudah berada di kampung. Kali ini satu jenis kuih pun tak ada lagi, yang ada dalam botol di almari sisi meja makan adalah biskut kering!

Kalau 'zaman dulu-dulu' lagi, orang kita lagi hebat...tengah mengacau dodol le, membakar bahulu le, mencat rumah atau meminyaki rumah le (last minute), ya macam-macam mereka buat.

Kata pemimpin dan bijak pandai, kita perlu membiasakan diri dengan normal baharu. Dulu, dulu. Sekarang, sekarang. Apa perlu dikenang barang yang hilang...sang pemiutis melakarkan kata-kata syahdu ini - daripada kapas menjadi benang, daripada benang dibuat kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi milik orang lain. Anak sungai lagikan berubah, inikah hati orang...

Semua orang termasuk 'atuk' dan 'nenek' perlu membiasakan diri dengan normal baru. Sebenarnya, sebahagiannya bukan baharu pun sebab manusia sifatnya berubah -rubah. Maaf jika kasar bunyi - manusia itu bermula sebagai bayi, jadi budak, remaja, dewasa, matang, tua, tua bangka, nyanyuk dan terus masuk kubur...

Jadi pada setiap peringkat usia itu kita perlu mengusahakan pembaharuan. Pada usia 10-15 tahun dulu setiap hari raya kita adalah 'raja mercun' sehingga ada yang putus jari, takkan pada usia 50-60 kita nak jadi raja yang sama. Tak sesuai dan gila namanya. Tentunya pada usia 50-60 tahun ini amat manis kita berubah menjadi kaki masjid atau raja masjid.

Bagi si perempuan pula, pada usia 12-15 tahun, ada yang menjadi dewi remaja melaram pelbagai fesyen pakaian, tetapi takkan pada usia 50-60, kita nak terus melaram juga. Ya, berubah-rubahlah ke arah kebaikan sehingga kita masuk kubur!

YA, AMALKAN NORMAL BAHARU...jika dulu kita sebagai datuk nenek asyik termenung di muka pintu berharap-harap anak cucu balik kampung, tetapi sekarang kita gunakan setiap masa terluang untuk berzikir, berfikir, bertakafur (memikirkan kebesaran alam), bermuhasabah diri, menghitung dosa pahala, MENGINGATI ALLAH kerana tak lama lagi kita akan ke SANA...


ARTIKEL IRINGAN

Buru 5 lagi raya selepas Aidilfitri

TIDAK lama dulu, dalam tazkirahnya, seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya, berkata ada lima hari raya perlu diburu oleh setiap Muslim. "Ini adalah hari raya sebenar, bekerja keraslah untuk mendapatkannya," katanya.

"Raya pertama boleh kita raikan jika hari kita berakhir dengan kita bebas daripada melakukan dosa, tidak kira yang kecil atau besar," katanya. "Ini mustahil kerana tiada siapa pun, kecuali Nabi s.a.w., akan senantiasa membuat dosa. Jadi, tiada hari kita dapat raikan hari raya, tetapi kita mesti bekerja keras untuk itu. 

"Jika tidak dapat hari ini, cuba lagi keesokan hari, jika gagal cuba lagi pada hari berikutnya sehinggalah kita meninggalkan dunia ini, matilah," katanya.

"Yang kedua, kita boleh meraikan hari raya jika dapat mati dalam iman. Ringkasnya kita mati dalam 'husnul khatimah'.  Inilah hari raya terbesar untuk kita detik kita meninggalkan dunia buat selama-lamanya," kata sang ustaz.

Hari raya ketiga, kata sang ustaz itu, jika kita berjaya melalui 'siratul mustakim'. Seorang mukmin, insya-Allah dapat minum dari Telaga Khausar Nabi sebelum mereka menuju jambatan 'sirat', katanya.


Raya keempat adalah apabila kita berjaya memasuki syurga Allah SWT manakala raya kelima adalah yang terbesar dan terhebat apabila Yang Maha Berkuasa reda terhadap kita dan Dia memperkenankan kita menatap wajah-Nya Yang Maha Agung.

"Jadi burulah lima hari raya ini sehingga sepenuh keyakinan datang kepada kita. Inilah hari raya sebenar, berusahalah sekuat mungkin selagi hayat masih di badan (berada di dunia)," kata sang ustaz.

Nasihat ustaz mengenai lima hari raya ini perlu kita jadikan iktibar; sekarang ini orang Melayu/Islam sedang merayakan Aidilfitri dengan mengadakan rumah atau pejabat terbuka sehingga sebulan lamanya.

Seorang tok guru yang disegani berkata menyambut hari raya adalah satu ibadat, jadi untuk berada di landasan yang betul, lakukannya mengikut apa yang disuruh oleh agama dan jauhkan daripada apa yang dilarang oleh agama.

"Kenapa kita sambut hari raya?" tanyanya. "Antaranya kita mahu bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadan. Kita boleh bergembira dalam menyambutnya tetapi bukan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam."

Beliau mengingatkan sekali lagi bahawa menyambut hari raya adalah satu ibadah, bukan budaya atau menjadi menjadi pak turut seperti yang berlaku sekarang ini. Katanya, hari raya Aidilfitri itu satu hari saja di mana Allah SWT mengharamkan manusia berpuasa pada hari itu. Pada hari kedua Syawal itu, umat Islam digalakkan untuk berpuasa, jadi itulah garis pemisah hari raya itu dan hari biasa.

Tidak menjadi kesalahan untuk meneruskan kemeriahan hari raya seperti kunjung mengunjung saudara dan sahabat handai tetapi semuanya hendaklah dilakukan dalam batasan agama, katanya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, katanya, sambutan hari raya sudah menjadi satu budaya dan bukan berdasarkan tuntutan agama. Banyak perkara dilakukan bertentangan dengan kehendak agama seperti berlaku percampuran lelaki perempuan (termasuk bersalam-salaman lelaki-perempuan bukan muhrim) pada majlis seperti rumah terbuka, berlaku pembaziran makanan, tidak diundang golongan miskin sekalipun jiran tetangga dan dicampurkan unsur maksiat seperti disertakan nyanyian, konsert dan majlis tari menari.

"Garis panduan sambutan hari raya mudah saja," kata tok guru. "Lakukan yang disuruh oleh agama dan tinggalkan apa ditegah." 

No comments: