Thursday, May 31, 2018

Tidakku minta dilahirkan Melayu, Cina, India, Iban...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


SEMPENA kelahiran 'Malaysia baru' daripada puing-puing keruntuhan kuasa feudal Umno BN selama 60 tahun (umur pencen), adalah manfaat untuk kita berfikir ke depan termasuk hal berkaitan pengisian 'kemerdekaan kedua' itu.

Amat jelas sekarang ini parti politik berpaksikan bangsa tidak dapat diterima generasi baru...berhubung perkara ini teringat saya akan artikel lama saya mengenai ketidak-wajaran berlaku pengasingan disebabkan perbezaan dari segi bangsa. 

Melalui PRU-14, parti politik berasaskan bangsa seperti Umno, MCA dan MIC ternyata 'tidak boleh hidup' pada masa depan - malah sekarang ini pun sesetengah pemimpin tertinggi komponen BN yang kalah teruk dalam PRU-14 mengakuinya dan sedang serius memikirkan perkara ini.

Bagi kita yang mahu berfikir (walaupun sejenak) ingat tak lagu 'Namunku Punya Hati' nyanyian kumpulan Revolvers; antara lirik lagunya adalah: "Tidakku minta, lahir ke dunia..." Lagu ini mengisahkan rasa hati seorang OKU; ya siapa yang meminta dilahirkan sedemikian? Namun semuanya adalah atas kehendak Yang Maha Kuasa.

Sebagaimana nasib OKU, seseorang itu tidak meminta dilahirkan sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Melanau dan Bajau. Demikian juga Inggeris, Perancis, Arab, Parsi dan sebagainya. Bangsa-bangsa yang ada di muka bumi adalah atas kehendak Tuhan Yang Maha Kuasa, tiada siapa boleh memilih untuk menjadi Melayu, Cina, India, Arab, Inggeris atau Perancis.

Sehubungan itu adalah tidak tepat untuk berjuang berdasarkan bangsa. Bagi orang Islam, perjuangan perkauman bukan daripada ajaran agama suci itu. Ya, bagaimana kita boleh berjuang berdasarkan sesuatu ketetapan yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa? Apakah kita mahu mencabar ketetapan-Nya?

Semua manusia, datuk dan nenek kita adalah Adam dan Hawa (Eve). Daripada kedua-duanya lahirlah generasi baharu yang berbangsa-bangsa; tiada siapa berupaya menentukan bangsanya sebelum dia lahir melainkan ia adalah ketentuan Yang Maha Kuasa, bukan atas usaha atau kehendak seseorang.

Berhubung ketidak-wajaran berjuang berdasarkan bangsa, dapat difahami daripada sebuah hadis di mana Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Ya, Allah SWT tidak memandang sama ada kita ini Melayu, Cina, India, Inggeris, Arab atau Parsi. Sehubungan itu perjuangan berdasarkan bangsa adalah tidak wajar namun ada pihak begitu lantang 'meneriakkan suara perkauman' sehinggalah sekarang ini.  

Amalan rasisme ini sekiranya terus disuburkan dikhuatiri akan membiakkan gejala ekstremisme yang sama sekali tidak akan menguntungkan sesuatu bangsa itu sebaliknya akan menjejaskan masa depan negara pada keseluruhannya.

Adalah amat malang jika semangat perkauman disemarakkan yang jika diperhalusi adalah untuk kepentingan pihak dan pemimpin tertentu untuk terus berkuasa. Kita bimbang mereka menggunakan sentimen perkauman untuk menutup 'jenayah' masing-masing seperti rasuah dan penyelewengan kuasa yang sudah keterlaluan. Masakan bangkai gajah dapat disorokkan dengan nyiru - pasti lambat laun terbongkar jua.

Di Malaysia, Islam sering dikatakan sebagai Melayu dan Melayu itu sebagai Islam. Dakwaan ini kurang tepat kerana Islam ada untuk semua (Islam for all) dan sehubungan itu, umat umat Melayu Islam sewajarnya menampilkan wajah dan citra hakiki Islam sebagai agama rahmat sejagat. Mereka sewajarnya mengangkat prinsip kemuliaan insan atau karamah insaniyah yang dijamin Allah ke atas seluruh anak Adam tanpa mengira bangsa dan agama.

Ya, manusia berbeza-beza dari segi bangsa dan bahasa, dan di negara kita ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya; persoalannya mengapa Yang Maha Berkuasa menjadikan sedemikan? Cendekiawan berkata Allah SWT menciptakan manusia berpuak-puak dan berbangsa-bangsa agar mereka saling kenal mengenali dan bermuafakat dan bukan untuk bergaduh apatah lagi berjuang berdasarkan bangsa dan keturunan.

Kata cendekiawan, perbezaan bangsa, bahasa, warna kulit dan pelbagai ciri lain seperti tabiat, kesukaan serta kebencian adalah kepelbagaian yang sewajarnya dimanfaatkan untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dan bukan 'disalahgunakan' sebagai punca perbalahan serta permusuhan.

Ambil contoh mudah, misalnya dari segi makanan saja, alangkah beruntungnya warga Malaysia disebabkan diversiti bangsa, makanan sinonim dengan sesuatu kaum seperti nasi lemak, yong taufu, roti canai dan tom yom dapat dinikmati semua. Kalau sesuatu bangsa itu 'berlagak' kononnya apa yang ada pada mereka adalah yang terbaik sedangkan apa yang ada pada bangsa lain adalah terkeji, apa manfaat yang diperolehi?



Ya, kita tidak minta dilahirkan sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Sikh, Telegu dan sebagainya, tetapi kita boleh memanfaatkan sepenuhnya 'kemelayuan', 'kecinaan', 'keindianan' serta 'keibanan' kita untuk membina Malaysia (baru) dan dunia yang menjanjikan 1,001 harapan! Insya-Allah kerajaan Pakatan Harapan dapat merealisasikan perkara ini!

No comments: