Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
TAHNIAH Pakatan Harapan. Semoga negara Malaysia bersemangat baru dapat dilahirkan daripada puing-puing keruntuhan sebuah parti dan perikatan parti bernaunsa feudal yang telah berkuasa lebih enam dasawarsa (dekad) lamanya; ya rakyat kini berharap kehidupan aman, damai dan membahagiakan dalam sebuah negara berdaulat.
Sekali lagi, diucapkan syabas kepada pemimpin Pakatan Rakyat dengan pesanan ingat-ingatlah ungkapan salah seorang daripada mereka tidak lama dulu sebelum mendapat kuasa - tidak guna jika pemimpin berubah tetapi kehidupan rakyat tetap sama.
Ya, lakaran sejarah baru akan ditulis namun ingat-ingatlah bahawa sejarah biasanya ditulis oleh si pemenang bukan si penjasa - ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” yang bermaksud sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu.
Ertinya sekalipun dalam sesuatu perburuan itu sang singa bertindak hebat, si pemburu tetap menyebarkan kisah kehebatannya kepada penduduk kampungnya. Kisah sang singa tidak dipedulikan kerana yang merakam sejarah adalah si pemburu bukan sang singa. Lagi pun mana ada singa membicarakan kehebatannya, kalau ada mungkin kepada anak bininya saja dalam bahasa binatang yang mereka saja fahami.
Dengan kemenangan Pakatan Harapan, catatan sejarah baru akan dimulakan, sebagai contoh mudah pihak ini tidak akan dimomok-momokkan sebagai pembangkang atau dalam kes kerajaan negeri Selangor lalu ia dilabelkan sebagai kerajaan pembangkang yang sudah tentu salah dari segi konteksnya!
Sebagai pencatat peristiwa, izinkan saya melalui ruangan komentar ini, memaparkan imbasan artikel saya dalam masa terdekat sebelum tersungkurnya kerajaan Umno BN, untuk menjadi bahan renungan walau buat sejenak saja. Ini kerana seperti peribahasa Afrika 'until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters', catatan saya pada masa depan mungkin akan berubah konteksnya, al-maklumlah KEADILAN kini adalah komponen pemerintah malah penerajunya dan bukan lagi pembangkang!
Antara komenter-komenter itu adalah:
1. Cukup sampai di sini wahai Umno BN... (Suara Keadilan (SK) 16 Jan 2018)
Tahun lalu negara menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-60. Ini juga bermakna sudah 60 tahun Umno BN (dulunyanya Perikatan) memerintah negara ini kerana sejak Merdeka pada 1957 hingga kini hanya Umno BN yang memegang tampuk pemerintahan.
Tahun ini (2018) PRU ke-14 akan diadakan dalam masa terdekat, persoalannya akan berjayakah Umno BN melanjutkan mandatnya? Selepas 60 tahun rasanya amat layak untuk Umno BN bersara kerana sebagai perbandingan, bagi kakitangan kerajaan umur 60 tahun adalah tempoh maksimum untuk berkhidmat. Ertinya jika pekerja perlu bersara wajib, Umno BN pun patut 'dibersarakan' selepas usia 60 tahun ini!
2. Persempadan semula = alih tiang gol? (SK 10 April 2018)
Perpecahan Umno sebagai parti teras BN sudah amat teruk dan bagi menghadapi PRU-14, kerajaan Umno BN sebelum pembubaran Parlimen, 'menyegerakan' akta persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dun. Ia diluluskan Parlimen secara tergesa-gesa dan diiringi Akta Berita Tidak Benar sebelum Parlimen dibubarkan.
Ketika Umno BN berpecah belah dengan pemimpin-pemimpin terutama ketuanya bermasalah besar malah kronik, pembangkang melalui Pakatan Harapan dapat menyediakan 'pasukan terbaik dan terkuat' dan bagi menghadapi cabaran in. Umno BN sebagai kerajaan sebelum pembubaran Parlimen, mengambil kesempatan mengusahakan pendekatan terakhir (melakukan persempadan semula kawasan pilihan raya, mungkin menyamai mengalih tiang gol dalam permainan bola sepak).
3. Pecah tetapi tak perintah (SK 24 April 2018)
Melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya, wujudlah Dun dan Parlimen yang peratus dan jumlah pengundinya daripada satu kaum adalah tinggi; ini seolah-olah satu 'signal' kepada pihak penyaing - kamu menanglah sepuas-puas hati kamu di Dun atau Parlimen itu, tetapi ingat ia hanya menyumbangkan 1 (satu) kerusi saja!
Kerajaan sementara Umno BN melalui 'aparatus'nya selain memecah sempadan, 'memecah' parti-parti yang menentangnya. Jika dulu, negeri-negeri Melayu satu demi satu jatuh ke tangan Inggeris dengan mudah disebabkan perpecahan pemerintah (raja) dan rakyat serta menghadapi masalah dalaman, hari ini hal serupa dilakukan Umno BN ke atas pesaingnya.
4. Petugas media bukan kuda tunggangan Umno BN... (SK 13 Mac 2018)
Mengakhiri kongkongan pemerintah Umno BN ke atas media bertepatan dengan perkembangan semasa kerana selama ini media arus perdana bagaikan 'kuda tunggangan' mereka.
Kepada semua petugas media massa di tanah air kita, bangkitlah daripada 'tidur nyenyak dan panjang' kerana ramai pemimpin tertinggi Umno BN tidak mempercayai anda...mereka 'mempermain-mainkan' dan 'memperkudakan' anda untuk kepentingan nafsu serakah masing-masing...anda hanya berguna apabila diperlukan, apabila anda 'tidak berguna lagi' mereka mencampakkan anda ke dalam tong sampah.
5. Kejahatan terjadi kerana orang baik membisu (SK 27 Mac 2018)
Cendekiawan ada mengungkapkan bahawa tragedi (seperti berleluasanya penyelewengan termasuk penipuan dalam pilihan raya dan maksiat) bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi sikap membisu, memekakkan telinga dan membutakan mata oleh orang baik-baik.
Mereka membenarkan kejahatan merajalela; ya kenapa dibiarkan aneka ketidak-adilan termasuk penyelewengan oleh pemimpin berleluasa? Cendekiawan prihatin amat berharap orang baik-baik dapat memerangi ketidak-adilan, kesombongan serta kejahilan dengan lidah, tangan, hati dan segala segala sumber yang ada pada mereka.
Demikianlah antara catatan sebelum PRU yang mungkin telah membuat pembaca merenung sejenak seterusnya memberi sumbangan kecil kepada kemenangan Pakatan Harapan...namun kepada semua, beringatlah kerana ada peribahasa Afrika berbunyi - until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters.
No comments:
Post a Comment