Friday, May 18, 2018

Titipan Seorang Pesara (32): Tazkirah 'dua hala' kian popular di Bengkalis, Indonesia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

KETIKA berada di Bengkalis, Riau, Indonesia baru-baru in, bertuah sungguh rasa di hati apabila saya dapat mengikut program Israk Mikraj pada suatu malam di Surau Nurul Husna di Jalan Sri Pulau. 

Kemuncak program adalah tazkirah seorang ustaz jemputan (mungkin bagi sesetengah orang jamuan selepas itu) ; beliau hanya menyentuh bab solat sebagai sebahagian daripada peristiwa Israk Mikraj. Apa yang menarik perhatian saya tazkirah ini membabitkan 'two way communication' (komunikasi dua hala), jadi sang ustaz dan hadirin boleh mendiskusikan sesuatu permasalahan secara bebas.

Hal ini berlainan berbanding kebanyakan kuliah atau tazkirah di masjid-masjid di Malaysia yang bersifat 'one way communication' (komunikasi sehala). Di negara kita, ustaz yang berceramah di masjid akan 'menguasai' mikrofon dari awal sampai akhir - hanya segelintir ustaz yang membuka ruang soal jawab pada akhir sesi pengajiannya.

Apa yang saya lihat di Bengkalis khasnya atau Indonesia secara amnya, mungkin boleh difikirkan untuk diterapkan di Malaysia. Yalah, kalau konsep soal jawab dapat diadakan, bolehlah hadirin bertanyakan hal yang mereka tak tahu atau jurang jelas dan taklah sang ustaz terus menerus bercakap (atau membebel seorang diri) dari awal sampai akhir tanpa mengetahui tahap kefahaman atau tidaknya hadirin.

Kaedah soal jawab dalam ceramah ini sekarang ini membantu menaikkan nama seorang ulama dari sebuah universiti di Riau iaitu Ustaz Abdul Somad. Nama sang ustaz ini bukan saja sedang meniti di bibir orang Indonesia tetapi juga di negara Asean lain seperti Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Mengenai sang ustaz ini, Wikipedia mencatatkan: Ustaz Abdul Somad adalah seorang pengkhutbah dan ulama dari Indonesia yang berasal dari kawasan Asahan, Sumatera Utara.

Beliau telah dikenali kerana syarahannya merujuk kepada pelbagai tajuk perbualan mengenai keagamaan, khususnya berkenaan dengan kajian-kajian hadis dan falsafah perundangan Islam/ilmu fiqah.Di samping itu, beliau selalunya membincangkan pelbagai tajuk perbualan yang sedang tersohor kini dalam sebuah khalayak ramai dan masyarakat tempatan seagama Islam, antaranya ialah yang mengenai perkara rasa kebangsaan.

Dakwah dan syarahan beliau dicirikan dengan perihal keberlainan yang dipunyai dalam kesanggupan bercakap dan lawak jenakanya yang sekali gus dapat memikat rasa minat daripada khalayak awam, dan seringkali tayangan beliau disiarkan menerusi saluran You Tube dan media sosial yang lain lagi. Beliau kini seorang pensyarah di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim di wilayah Riau, Indonesia.

Mungkin kaedah komunikasi dua atau pelbagai hala dalam bidang dakwah sedang berkembang di Indonesia sekarang ini apatah lagi dalam era kemajuan ICT; jadi tidak rugi jika pendakwah di Malaysia dapat 'menirunya' - yalah meniru untuk kebaikan tidak ada yang salahnya...

Dalam kerancakan majlis soal jawab di Surau Nurul Husna itu, saya sempat mengemukakan dua soalan, salah satunya saya bertanya sang ustaz...sekarang ini kita sedang menghampiri bulan Ramadan...pada bulan mulia itu nanti ramai yang rajin menunaikan ibadah termasuk solat-solat  sunat seperti tarawih tetapi selepas Ramadan semuanya kembali seperti asal...ya kenapa ustaz?

Ya, kata sang ustaz...ramai daripada kita beribadat secara ikut-ikutan...mereka kurang ilmu...tidak mahu belajar. Maka jadilah mereka 'hamba Ramadan' bukan 'hamba Allah SWT'. Kalau seseorang itu kenal dirinya dan kenal Allah SWT...dia yang sedar dirinya sebagai hamba kepada Allah Pencipta dirinya, dia akan berusaha untuk terus menunaikan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya selagi hayat dikandung badan, dan bukan hanya pada bulan Ramadan.

Dalam sesi soal jawab itu saya perhatikan ada ketikanya berlaku 'ketegangan' apabila jemaah yang bertanya tidak berpuas hati dengan jawapan ustaz. Sang ustaz nampak 'cool' saja tetapi si penanya 'naik sheikh'. Demikianlah, kematangan diperlukan untuk menjayakan majlis-majlis seumpama ini. Ya, sang ustaz dapat mengawal keadaan, jadi majlis berlangsung dan tamat secara baik di mana sang ustaz dan hadirin berselawat dan berpeluk-peluk sebelum berpisah.

No comments: