Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
KETIKA menatap komentar ini, pembaca dikasihi mungkin di ambang untuk mengundi (jika akhbar ini dibeli awal) atau baru saja menyaksikan sebuah kerajaan baru dibentuk (jika akhbar ini dibeli selepas hari pengundian 9 Mei) - ya, TAHNIAH PAKATAN HARAPAN, ingat-ingatlah bahawa demokrasi yang menjadi amalan negara kita dihuraikan bijak pandai sebagai kuasa rakyat kepada rakyat.
Selepas tertubuhnya kerajaan yang menepati definisi cendekiawan itu - kuasa rakyat kepada rakyat, kita percaya kerajaan baru sudah berada dalam laluan itu untuk membuat yang terbaik untuk semua rakyat berdasarkan semangat yang sudah dilakar - Malaysia adalah sebuah negara berpotensi besar. Jadi tolonglah, jangan hampakan kepercayaan dan harapan rakyat.
Rakyat Malaysia yang bersaudara dan hidup dalam harmoni, gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya diikat oleh muafakat Perlembagaan. Ya, sekaranglah masanya untuk 'mengucapkan selamat jalan' kepada keegoan kuasa golongan feudal yang bagaikan barah mengganas membaham rakyat sejak Merdeka lebih 60 tahun lalu.
Cita-cita murni rakyat direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan dengan kepayahan hidup. Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, negara berkebajikan, peluang saksama dan pentadbiran beramanah perlu dilaksana, bukan hanya bijak beretorik saja.
Malaysia yang ditadbir secara amanah dan rakyat yang makmur kehidupannya akan melahirkan sebuah masyarakat yang bermaruah. Masyarakat bermaruah adalah sebuah masyarakat yang yakin dengan asal-usulnya, berpegang dengan prinsip agama dan nilai sejagat yang membela yang benar dan menentang yang zalim, saling percaya akan hubungan persaudaraan setiap insan, gigih berusaha memperbaiki diri, yang kuat membantu yang lemah tiada yang terpinggir, berlumba-lumba mengagungkan budaya ilmu dan istiqamah pada usaha amar ma’aruf nahi munkar.
Kita perlu membina kerajaan yang amanah demi memakmurkan rakyat. Kerajaan wajar merakyatkan ekonomi. Warga Malaysia berpeluang menikmati agihan kekayaan negara pada kala kekuatan kewangannya. Pemerintah perlu membudayakan amanah di dalam pentadbiran. Amalan rasuah dicegah dan laba daripada pentadbiran beramanah ini disalurkan kembali untuk menjana kemakmuran rakyat.
Demikianlah keadaan gemilang digambarkan apabila kuasa berada di tangan rakyat. Rakyatlah penentu masa depan negara, bukan di tangan segelintir pemimpin kroni yang membahagi-bahagi kekayaan (daging) sesama puak sendiri dan bagi menutup pekung di dada melemparkan sedikit 'tulang' agar tidak 'disalak' rakyat.
Dan apabila pemimpin tersepit, maka lebih banyak lagi 'tulang' (atau hampas @ dedak) dilemparkan kepada rakyat. Namun kepada semua pemimpin, sukacita kita mengingatkan akan kata-kata bijak pandai yang menyebut 'power corrupts, absolute power corrupts absolutely'.
Sehubungan itu kita benar-benar berharap agar rakyat akan sentiasa terbela melalui sikap pemimpin yang sedia dikritik termasuklah melalui saluran umum seperti media massa. Memetik kata seorang pemimpin yang bermaksud, "tidak guna kepemimpinan negara berubah, tetapi nasib rakyat tetap sama" marilah kita sama-sama berdoa bahawa masa depan gemilang yang diuar-uarkan itu akan menjadi milik semua rakyat.
Namun apa kita bimbangi adalah sifat hipokrit pemimpin. Seorang cendekiawan tempatan sedikit masa dulu melahirkan kebimbangannya sifat munafik yang semakin berleluasa dalam masyarakat terutama di kalangan pemimpin akan menjejaskan masa depan anak-anak.
Noel F D'Oliveiro menulis: "Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama."
Politik negara juga menyaksikan peningkatan pemimpin dan kekerapan kes munafik ini. Dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui.
Di kalangan tokoh politik, sifat hipokrit boleh disaksikan menjelang atau selepas satu-satu pilihan raya. Biasanya, sebelum sesuatu pilihan raya, sesebuah parti atau calon itu akan membuat pelbagai janji manis, tetapi selepas pilihan raya, kebanyakannya dilupakan. Ini satu ciri munafik - mungkir janji.
Pembohongan (kemunafikan) akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, hampir pasti sifat buruk itu akan diteladani. Kata orang jika guru kencing berdiri, pasti anak murid kencing berlari.
Kehadiran poster dengan slogan seperti 'BN menang rakyat senang' misalnya tidak dapat 'mengubat' derita rakyat. Hakikatnya ramai semakin 'menggelupur' pada zaman sukar sekarang ini.
Tahun ini bagi menyambut Ramadan dan Syawal (Hari Raya), 'terasa betapa tidak meriahnya' kerana ramai rakyat 'tidak cukup duit'. Ramai rakyat mengambil langkah berjaga-jaga (berjimat-cermat) kerana mereka sedar batas kemampuan mereka tidak seperti sebelum ini. Ringkasnya, rakyat begitu tertekan...persoalannya siapa yang BENAR-BENAR membela mereka? Rakyat tidak perlukan slogan, mereka perlu dibantu secara 'real' - bukan cakap-cakap pemimpin berciri MUNAFIK!
No comments:
Post a Comment