Monday, May 14, 2018

Titipan Seorang Pesara (31): Masyarakat Bengkalis runtuh jika...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

KOTA Bengkalis di Riau, Indonesia, sungguh indah. Tenang dan damai. Bersih dan cantik. Tiada kesesakan lalu lintas. Suatu pagi selepas solat subuh berjemaah di Masjid Istiqomah, sengaja saya berjalan kaki menyusuri Jalan Patimura dan Jalan Diponegoro untuk ke hotel kediaman di Jalan Ahmad Yani.

Berjalan kaki amat baik untuk kesihatan, kata pakar. Dalam perjalanan itu, saya saksikan sejumlah warga veteran Bengkalis (berdasarkan wajah, kebanyakan mereka orang Tionghua) 'berjoging', berjalan kaki, menunggang basikal dan bersenam setempat di depan rumah dan kedai masing-masing - ya sungguh indah pemandangan pagi itu apatah lagi jalan-jalan dilalui begitu bersih - hampir tiada sampah kelihatan.

Saya amat-amati di tepi-tepi jalan, kadang kala terpandang papan tanda ditulis peringatan seperti 'Jangan Buang Sampah Sembarangan', 'Parit Bukan Tempat Sampah', 'Terima Kasih Anda Tidak Membuang Sampah, Tin dan Puntung Rokok' serta 'Sadar Sampah Kotaku Cantik'.

Di Jalan Diponegoro saya berhenti di depan sebuah rumah ibadat yang ada tulisan besar 'Yayasan Vihara Hok Ann Kiang, Jalan Diponegoro No 99, Bengkalis, menyaksikan sejumlah warga Tionghua (berdasarkan wajah) sedang bersenam mengikut arahan dan muzik yang dipasang kuat.

Apa yang membuatkan saya terpaku lama di depan 'vihara' (mungkin ejaan Bahasa Indonesia bagi biara) adalah arahan senaman itu adalah dalam bahasa Melayu...maka bergeraklah pakcik dan makcik Tionghua mengikut arahan 'Satu, Dua, Tiga', "Satu Dua Tiga', 'Tiga, Empat Lima' semuanya dalam bahasa Melayu!...  

Di kota ini  pada sepanjang masa - tidak kira siang atau malam - kedengaran 'bunyi asing' di telinga saya. Pada mulanya saya ingatkan bunyi cengkerik seperti yang sekali sekala saya dengar di kampung saya...tetapi saya salah.

Sudah banyak kali saya cuba mencari punca bunyi itu. Saya gagal; suatu ketika saya bertanya seorang budak lelaki yang saya selisihi di jalan. Pakcik, itu bunyi walitlah pakcik, burung walit. Tercencang saya mendengarnya, saya tak nampak burung walit dalam jumlah yang banyak tetapi hairan ya bunyinya begitu gamat...

Akhirnya, saya difahamkan banyak bangunan di kota Bengkalis ini pada beberapa tingkat teratas tidak didiami manusia sebaliknya menjadi kediaman 'eksklusif' burung walit. Jika di tanah air, bangunan berasingan dibina untuk burung walit, di sini burung walit tinggal di bangunan sama dengan manusia...mungkin itu sebabnya kicauan walit sentiasa 'membingit' di telinga saya!

Orang Melayu Bengkalis 'sebijik' orang Melayu selatan tanah air kita. Mereka bercakap macam orang Melayu Melaka atau Johor. Pakaian dan budaya pun sama. Dan yang paling penting mereka orang Islam yang taat. 

Masjid dan surau di sini meriah dengan jemaah. Masjid mereka cantik-cantik; cuba 'google' imej Masjid Istiqamoh misalnya, akan muncullah sebuah bangunan cukup indah. Sebuah rencana membuat gambaran ini - Bangunan Masjid Istiqomah Bengkalis ini begitu megah, mengingatkan kita pada bangunan bangunan istana dalam dongeng 1001 malam. Bangunan megah bewarna putih dengan kubah warna warni ditambah dengan empat menaranya yang menjulang. 

Syukur, alhamdulillah, orang Melayu Bengkalis sinonim dengan Islam. Namun satu perkembangan saya perhatikan di sini dibimbangi akan membawa musibah kepada penduduk. Sejajar perkembangan semasa, pusat-pusat hiburan termasuk yang diberi jolokan 'Zone E' (zon permainan elektronik) sudah berada di kampung-kampung pinggir bandar. 

Suatu petang, ketika berjalan-jalan terkejut saya terjumpa 'Zone E' di celah-celah rumah orang kampung. Di dalamnya, kanak-kanak, orang muda dan 'orang tua tak sedar diri sudah nak ke kubur' memenuhi ruang - sungguh asyik sekali mereka termasuk wanita bertudung sedang bermain.

Penduduk yang saya tanya, mengakui pusat-pusat hiburan seperti ini akan menjejaskan generasi muda...dikhuatiri penduduk akan beransur-ansur menjauhi masjid...ya mereka akan lupakan Allah SWT. Tak teringatkan mereka, musibah tsunami telah menimpa Aceh pada 2004, menyebabkan kira-kira 200,000 orang terkorban yang menurut sesetengah cendekiawan antaranya disebabkan ramai penduduknya sudah leka dan gemar berfoya-foya!

Sungguhpun Bengkalis dan Aceh jaraknya sangat jauh - kira-kira 1,000 kilometer - sewajarnya penduduknya mengambil iktibar - dibimbangi masyarakatnya akan runtuh jika penduduknya terutama generasi muda, sehari demi sehari semakin jauh daripada Allah SWT!

No comments: