Tuesday, May 29, 2018

Titipan Seorang Pesara (33): Di Bengkalis semua motosikal adalah honda...



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

BERJALAN-JALAN di kota Bengkalis, Riau, Indonesia, sesekali saya ketemui bengkel motosikal yang mempunyai papan tanda 'Servis Honda'...malah tiada  perkataan motosikal ditemui. 

Lama kemudian baru saya tahu  di Bengkalis penduduknya menggunakan perkataan 'honda' untuk semua jenis motosikal. Tidak kira motosikal itu jenis Suzuki ke, Yamaha ke, semuanya dipanggil 'honda'.

Demikianlah antara keunikan Bengkalis dan orangnya yang menjadi 'misteri' kepada pengembara seperti saya. Saya masih tak dapat merungkai mengapa istilah 'honda' digunakan untuk motosikal...mungkin ia sama dengan istilah 'colgate' yang mungkin sesetengah daripada kita gunakan untuk merujuk kepada ubat gigi atau 'kiwi' untuk merujuk kepada pengilat kasut.

Jika 'honda' adalah suatu keunikan, lokasi pelabuhan antarabangsa Bengkalis, Bandar Sri Setia Raja juga mewujudkan kehairanan kepada saya. Bangunan terminal pelabuhan ini terletak di sebuah kawasan 'terasing' (seolah-olah dalam hutan di pinggir laut)...untuk ke kota Bengkalis seseorang itu perlu menaiki bas kecil yang disediakan. 

Jaraknya adalah kira-kira 20 kilometer dengan tambang 25,000 Rupiah. Bas melalui jalan raya sempit, ada kalanya daripada jenis simen, merentasi hutan dan kampung demi kampung...ya mengapa terminal ini dibina begitu jauh dari bandar tidaklah saya ketahui - seorang kenalan baru, seorang pemuda Indonesia yang saya tanya, mendakwa ia dibina dalam hutan bertujuan bagi membangunkan kawasan itu, terutama pada masa depan.

Mungkin jawapan pemuda itu benar, tetapi untuk masa sekarang, pelbagai masalah timbul terutama bagi pengunjung luar.  Misalnya, jika seseorang pelawat itu 'tertinggal' bas yang perkhidmatannya hanya disediakan ketika sesebuah feri sampai, apakah nasib yang akan dialaminya? Nak naik 'ojek' (menjadi pembonceng motosikal) bagi perjalanan sejauh itu? Entahlah...

Untuk perjalanan pulang, selepas membeli atau mengesahkan tiket feri di pejabat feri di kota Bengkalis, seseorang penumpang itu juga perlu menunggu bas kecil itu yang akan membawanya ke Bandar Pelabuhan Sri Setia Raja. 

Ketika menaiki bas ini untuk pulang tempoh hari, dapat saya rakamkan satu lagi 'keunikan' orang Bengkalis. Mungkin hal ini 'tipikal' di Indonesia dan tidak dapat disaksikan lagi di Malaysia. 

Di sebuah perkampungan yang terdapat sebuah gerai makanan nasi padang, bas ini berhenti dan saya lihat 'mat-mat' Indonesia bergegas keluar...tak terfir saya rupanya pemandu bas memberhentikan kenderaannya bagi membolehkan penumpang membeli nasi bungkus.

Maka berduyun-duyunlah 'mat dan seorang dua' minah Indonesia turun dan menggerumuni tempat jualan nasi dan lauk gerai itu. Selepas puas menyaksikan adegan unik itu, tiba-tiba saya terfikir untuk turun dari bas bagi membereskan panggilan alami...mungkin ada tandas di belakang gerai, fikir saya.

Untuk pengetahuan pembaca, kebanyakan orang Indonesia yang saya temui di negara mereka tidak tahu perkataan 'tandas'...mereka merujuknya sebagai WC, 'toilet' atau kamar kecil. Pernah suatu ketika semasa berjalan-jalan di kota Bandung di Jawa Barat, saya yang rasanya tidak tertahan lagi mahu buang air kecil menanyakan sekumpulan anak muda di mana tandas, mereka menjawab apa itu tandas!

Hampir naik 'sheikh' saya, namun mujurlah mulut saya sempat menyebut 'toilet...toilet...toilet', maka ditunjukkan saya lokasinya yang tidak pun jauh dari tempat itu. Legalah saya dapat berurusan di 'toilet' tu...ya hebat orang seberang mereka tidak mengerti 'tandas' tetapi tahu 'toilet'! Ya, ikutlah pepatah, masuk kandang kambing mengembeklah, masuk kandang rimau...tunggu apa lagi, cabutlah.

Alhamdulillah, memang ada tandas di bahagian luar belakang gerai. Saya pun membereskan urusan saya secara 'sempoi' kerana berfikir ada banyak masa sebab masih ramai penumpang mat Indonesia saya lihat menggerumuni tempat jualan nasi tadi.

Tindakan saya 'mengambil masa' itu ternyata memakan diri. Apabila keluar dan melihat ke jalan raya, terkejut saya melihat bas itu tiada lagi di tempat tadi. Habislah saya...macam mana saya ke bandar pelabuhan...lebih-lebih lagi beg saya ada dalam bas itu. Kena naik 'ojek' ke, fikir saya.

Namun saya tetap ke jalan raya...alhamdulillah bas itu masih ada tetapi kedudukannya kira-kira 300 meter dari tempat asal. Rupa-rupa bas itu sudah meninggalkan saya tetapi mungkin ada penumpang sebelah yang sedar ketiadaan saya, memaklumkan kepada pemandu...syukur, syukur dan syukur kepada Allah SWT, akhirnya saya dapat menaiki bas itu kembali dengan semua penumpang bas dan pemandu saya rasakan memandang semacam pada saya!

No comments: