Friday, May 4, 2018

Titipan Seorang Pesara (30) - Dun Duyong: Kehadiran calon Muslim sudah lama dinanti...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

MENYEDARI pasport antarabangsa saya hampir tamat tempoh, hujung minggu lalu saya menaiki feri dari Pelabuhan Melaka ke Bengkalis, Riau, Indonesia untuk merasai pengalaman di rantau orang. Tak jauh Bengkalis ini, cuma dua jam perjalanan dengan feri.

Seperti biasa masjid dan surau menjadi 'sasaran' pertama saya. Selepas mengenal pasti lokasi masjid, barulah saya mencari hotel; hajat saya biarlah sentiasa dapat solat berjemaah apatah lagi subuh yang menurut tok-tok guru yang pengajian mereka saya ikuti - solat sunat subuh adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya...jika demikian cuba bayangkan ganjaran solat subuh berjemaah di masjid!

Alhamdulillah, saya dapat menginap di sebuah hotel yang berhampiran dengan Masjid Istiqomah (besar dan cantik sungguh masjid ini) di Jalan Patimura dan Surau Nurul Husna di Jalan Sri Pulau. Suatu senja, selepas solat berjemaah maghrib di Surau Nurul Husna, seorang jemaah veteran yang kemudian saya tahu namanya Pak Agus, meminta saya usah pulang dulu - ada kenduri, katanya.

Apabila orang berbudi, kita perlu berbahasa. Saya pun tunggu, saya fikir kenduri di surau, ohh tidak; ia diadakan di rumah seorang penduduk berhampiran. Di sana, saya amat-amati kenduri orang Bengkalis 'sebijik' macam kenduri orang Melaka - orang kampung sayalah! Ada tahlil, zikir, doa dan kemudian jamuanlah - kerana 'menjadi orang asing' di situ, habislah saya diasak dengan soalan dan diajuk seperti "tidak sudi jadi orang Bengkaliskah!"

Sungguh, orang Bengkalis amat kuat pegangan agamanya. Seperti orang Melayu Semenanjung yang sinonim dengan Islam, demikian juga orang Melayu Bengkalis. Berhubung hal ini, teringat saya perihal sahabat lama saya, Ustaz Kamarudin Sedik yang menjadi calon PAS bertanding di Dun Duyong (N21) pada PRU-14 ini.

Sebagai pengundi di Dun ini (termasuklah ibu ayah dan ramai lagi sanak saudara), sebenarnya kami sudah lama ternanti-nanti akan kehadiran seorang calon Muslim untuk dimenangkan seterusnya 'mendaulatkan' Islam di bumi Hang Tuah (di Bengkalis, Hang Tuah juga masyhur dan ada Jalan Hang Tuah di sana). Berkat sabar dengan penantian ini, berikutan persempadanan semula, Dun Duyong dengan pengundi kira-kira 17,000 orang akhirnya bermajoritikan Melayu/Islam yang menurut Ustaz Kamarudin merangkumi 61 peratus pengundi.

Ustaz Kamarudin pada PRU ini akan menghadapi tiga pesaing 'no-yet Muslim' (berdoalah mereka menjadi Muslim pada masa depan) iaitu Lee Kiat Lee (MCA-BN), Damian Yeo Shen Li (DAP-PKR - Harapan) dan Lim Jak Wong sebagai calon Bebas. Pada PRU13 kerusi ini dimenangi Goh Leong San daripada DAP yang kemudian bertindak meninggalkan parti itu. Kali ini beliau bertanding di Parlimen Kota Melaka (P138) sebagai calon Bebas. Dulu pertarungan di Dun Duyong ini hanya membabitkan calon 'not yet Muslim' daripada BN (MCA) dan DAP.

Alhamdulillah, syukur pada PRU14 ini ada perkembangan baru, dan berdasarkan perubahan ini, Ustaz Kamarudin yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka yang diwawancara penulis, berazam menawan hati pengundi Melayu/Islam dengan pendekatan pencerahan keindahan Islam yang selama ini terpahat di hati orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka dulu sampailah sekarang, sama seperti dilalui orang Melayu Bengkalis - ya Bengkalis dulu adalah sebahagian tanah jajahan taklukan Melaka.

Sejumlah pengundi Melayu/Islam di Dun Duyong yang diwawancara, berharap Ustaz Kamarudin dapat 'berbuat sesuatu' dalam tempoh singkat sebelum hari pengundian untuk memenangi hati mereka terutama di kalangan mak cik dan pak cik (golongan veteran), terutama di kalangan orang pekat Umno dan orang atas pagar. Mereka ada memberi cadangan Ustaz Kamarudin sendiri dapat muncul di pintu-pintu rumah golongan veteran ini menerangkan keindahan Islam; insya-Allah hal ini akan memberkas di hati mereka.

Ya, mak cik dan pak cik, dulu mak cik dan pak cik undi calon 'not yet' Muslim daripada DAP atau MCA kerana tiada pilihan, sekarang ini undilah calon Islam, yang insya-Allah akan mempamerkan keindahan Islam dalam kehidupan. Insya-Allah ini permulaan untuk Islam di Melaka termasuk undang-undangnya kembali berdaulat...mengulangi kehebatan Kesultanan Melayu Melaka yang empayarnya meliputi Bengkalis, kini rantau di Indonesia yang saya kunjungi itu.

Ustaz Kamarudin dalam wawancara dengan penulis, menyatakan beliau kini sedang memperhebatkan usaha menyantuni pengundi-pengundi Melayu yang ramai di Permatang Duyong yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong seperti dari Taman Seri Duyong dan sekitarnya. Katanya, pusat ini adalah antara yang terbesar di Dun Duyong, namun pengundi di kampung-kampung tradisional juga tidak dilupai - mereka akan disantuni dalam masa terdekat ini.

Beliau juga memberitahu, pengundi 'not yet Muslim' yang ramai seperti di Durian Daun juga tidak dilupai - insya-Allah beliau akan mempamerkan keindahan Islam termasuk dari segi akhlak (hubungan sesama manusia) bagi memikat mereka mengundi wakil rakyat mewakili parti Islam - Diucapkan Selamat Berjaya kepada Ustaz Kamarudin Sedik calon PAS bagi Dun N21, Duyong!


No comments: