Sunday, May 6, 2018

Dacing kembali senget selepas PRU...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

BARU-BARU ini saya menaiki feri dari Pelabuhan Melaka ke Bengkalis, Riau, Indonesia. Tambang pergi balik RM170. Selain itu, setiap penumpang dikenakan cukai pelabuhan RM20 dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.

Demikianlah rakyat dikehendaki membayar GST dalam hampir setiap urus niaga. Mungkin syarikat gergasi dari China saja dapat pengecualian! Kadar GST sekarang enam (6) peratus, pemimpin kerajaan sementara Umno BN  berjanji tidak menaikkannya jika mereka kembali memerintah selepas PRU-14 pada 9 Mei ini, tapi boleh 'caye' ke?

Ketika tempoh pilihan raya, begitulah janji mereka...al-maklumlah sekarang ini Umno BN sedang memperagakan jutaan bendera biru dacing mereka di seluruh negara. Amat-amatilah logo dacing itu - semuanya dalam keadaan seimbang, tiada dacing senget dipamerkan.

Yalah, tindak tanduk kerajaan Umno BN terutama pemimpin serta calon pilihan rayanya pada tempoh ini, amat lunak. Pelbagai bantuan dilambakkan kepada rakyat, harga minyak sudah berminggu-minggu 'tak naik-naik' (ada pemimpin BN tergamak memperbodoh rakyat dengan berkata ia tiada kaitan dengan pilihan raya), ya Umno BN 'seolah-olah' menepati logo dacing mereka yang seimbang - adil dan bagus kepada rakyat sehingga ada menteri yang sanggup jual ayam RM5 seekor kepada rakyat!

Namun kita bimbang 'dacing seimbang' ini hanya 'wujud' semasa pilihan raya...selepas PRU dacing kembali senget; ya pak menteri tak jual lagi ayam RM5 seekor, harga barangan keperluan melambung naik, demikian juga dengan kadar tol, tambang pengangkutan awam...ya pada masa itu jutaan bendera dengan logo dacing berimbang itu sudah tiada lagi.

Apabila imej dacing berimbang tiada lagi, maka tindakan 'senget' pun bermula - mungkin kadar GST dinaikkan dan rakyat dikenakan pelbagai cukai baru seperti cukai perwarisan harta yang sedang diuar-uarkan. Mungkin Umno BN boleh buat ini semua sebab hakikatnya dacing berimbang ini sudah tidak wujud lagi!

Sebenarnya, dacing berimbang atas kayu atau besi ini sudah ketinggalan zaman - orang sekarang pakai dacing elektronik (penimbang digital) atau dacing dua muka agar pelanggan tidak ditipu. Wahai Umno BN, cakaplah siapa lagi pakai dacing yang kerap senget-benget ini (fungsi dan ketepatannya diragui).

Mungkin tidak ada orang lagi pakai dacing berimbang ini. Namun jika ada yang memakainya pun, orangnya pasti berslogan dulu, kini dan selamanya. Tak nak bertukar, jumud. Masih nak pakai dacing berimbang sekalipun ia sudah sengget kerana boleh tipu pelanggan dengan mudah.

Hendak bernostalgia pakai dacing berimbang tidak salah, yang salahnya menipu (mencuri) timbangan dalam bisnes. Ertinya menyalahgunakan dacing. Dalam Islam, menipu dalam bisnes adalah kesalahan amat serius; dalam al-Quran ada kisah umat Nabi Shuib dimusnahkan kerana cenderung menipu dalam bisnes.

Orang menipu tatkala menggunakan dacing sebenarnya tidak ingat akan dacing paling hebat iaitu dacing akhirat atau dalam istilah agama disebut timbangan amal (mizan). Setiap perbuatan manusia akan ditimbang walaupun sebesar zarrah (atom). Firman Allah SWT dalam Ayat 7 Surah Al Zalzalah, bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya Dia akan melihatnya (menilai)."

Dalam hidup bermasyarakat, atau norma manusia bertamadun, seseorang itu tidak boleh menilai dirinya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, kerana ketelitian bangsa ini, ada satu peribahasa menyebut 'masuk bakul angkat sendiri'. 

Sekarang BN masuk dacing, selepas itu angkat sendiri. Sebab itu apabila harga barangan keperluan seperti gula dan harga minyak serta gas naik, orang yang masuk bakul ini (dacing) akan berkata 'kenaikan ini tidak membebankan'. Malah ada yang sanggup berkata, ia adalah termurah di kalangan negara-negara Asean!

Mana ada beban, dia sendiri sudah masuk dalam bakul. Yang menanggung beban adalah orang di luar bakul (luar dacing). Orang dalam dacing, semuanya kata tidak membebankan. Betullah tu, sebab dia berfikir dalam timbangan dacing. Macam ikan busuk atau ayam pencen sudah masuk dacing, takkan boleh menjerit, aku beratlah! 

Orang dalam dacing tidak melihat bahawa dacing itu sudah senget. Mereka tetap berkata dacing mereka seimbang. Apatah lagi sekarang ini, berjuta-juta logo dacing berimbang dipasang di seluruh negara...hanya sejumlah rakyat yang sedar bahawa dacing ini sebenarnya sudah 'out of date' - tak digunakan lagi. Ya, penggunaan dacing ini amat memudahkan penipuan...

Sempena PRU-14 ini, rakyat terutama generasi muda 'ketepikanlah' dacing ini.  Mungkin orang muda tak pernah tengok dacing jenis ini sepanjang hayat mereka...mungkinkah ia satu 'ilusi' saja - jadi berfikir dan berfikirlah untuk 'menyahkan' dacing yang mudah senget ini daripada kamus hidup anda!

Akhir sekali dengarlah nasihat terakhir yang terbaik mengenai hal ehwal dacing ini. Dacing dunia ini lazimlah sifatnya tidak adil. Ia kerap senget. Kuasa, pangkat dan duit boleh membeli dunia ini. Bolehlah masuk bakul (dacing), angkat sendiri.

Tetapi ingatlah, ada satu lagi dacing iaitu timbangan amal (mizan) yang maha tepat. Ketika diadili dacing ini, tidak lagi 'can' (chance) masuk bakul angkat sendiri!

No comments: