Saturday, June 2, 2018

Titipan Seorang Pesara (34): Ramadan bukan untuk 'posa' saja...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


RAMADAN ini mengingatkan saya saat menunaikan solat fardu berjemaah di sejumlah masjid di Indonesia termasuk di Bengkalis, Dumai dan Pekanbaru yang saya kunjungi baru-baru ini. 

Jemaah solat secara senyap tidak seperti di sesetengah masjid di negara kita, di mana segelintir jemaah membaca rukun qauli malah semua bacaan secara mengganggu jemaah lain - ia bukan saja boleh didengar jemaah sebelahnya tetapi lebih jauh daripada itu.

Ya, rukun qauli seperti membaca Al-Fatihah dalam solat, wajib berlafaz sampai didengari oleh telinga sendiri, tetapi bukan oleh telinga orang lain. Berbisik, tak sah. suara angin, tak sah. baca dalam hati, lagi tak sah. Satu huruf tidak terdengar pun Al-Fatihah itu tak sah. Bagaimanapun tidaklah membaca sehingga mengganggu orang lain.

Jemaah di Indonesia membaca Al-Fatihah tidak kedengaran di telinga orang sebelah tetapi di Malaysia perkara ini lumrah. Malah di sebuah masjid yang kerap saya kunjungi, seorang jemaah gemar membaca kuat sehingga boleh didengari jemaah dua atau tiga orang darinya. Bukan tak ada orang menegurnya...sudah tetapi begitulah perangainya.

Berkenaan membaca Al-Fatihah ketika solat berjemaah ini, saya pun pernah ditegur kerana melakukannya lebih daripada sepatutnya - saya insaf saya pun banyak membuat kesalahan...jadi kini saya lebih berhati-hati.

Berceloteh mengenai bab Ramadan pula, sekarang ini semua masjid berhampiran kediaman saya 'bercuti' daripada majlis ilmu (kelas pengajian) termasuklah kuliah Subuh hari Ahad sepanjang bulan suci ini. 

Sedih juga memikirkan 'hati yang keras' ini tak dapat ditazkirahkan dengan peringatan; sungguh terasa 'kehilangan' apabila majlis-majlis itu ditiadakan. 
Dalam pada itu, bersyukurlah kerana sebuah masjid yang agak jauh dari rumah saya tetap meneruskan kuliah Subuh saban minggu; Ahad, 27 Mei lalu, sang ustaz menyampaikan pesanan terbaik mengenai keberuntungan insan-insan yang dapat menggapai Ramadan yang kini memasuki fasa kedua.

Beliau mengingatkan Ramadan bukan bulan untuk 'posa' (puasa) saja seperti apa yang ramai orang fahami tetapi 'didatangkan' oleh Allah SWT dengan pakej lengkap termasuk ada di dalamnya al-Quran, solat malam, sedekah dan pelbagai amalan lain.

Sekalipun sepertiga Ramadan sudah berlalu adalah tidak terlalu lewat untuk seseorang itu melakukan beberapa perkara ini, kata sang ustaz iaitu mohon ampun bukan setakat pada Allah SWT tetapi sesama insan dan juga memberi pengampunan kepada orang yang bersalah kepada kita.

Kita juga dituntut untuk banyak bertaubat, berisytifar, menahan anggota badan dan pancaindera kita seperti mata dan telinga daripada membuat dosa, menutup lubang-lubang wasilah kejahatan seperti telefon pintar yang disalahgunakan untuk perkara maksiat.

Tolong dan tolonglah, kata sang ustaz jangan melakukan perkara syirik (seperti memasang pelita dengan angapan untuk memudahkan roh kembali ke rumah) dan memutuskan silaturahim pada bila-bila masa apatah lagi pada bulan mulia ini.

Pada akhir Ramadan, kata sang ustaz akan berlaku pertarungan hebat di kalangan insan bagi merebut antara kelebihan 30 hari (Ramadan) dan 1 hari raya (Syawal). Nampaknya bagi kebanyakan orang, tawaran untuk memenuhi kehendak 1 Syawal lebih menggamit jiwa daripada tawaran dijanjikan Allah bagi mengisi Ramadan sebagai bulan rahmat, pengampunan dan bebas daripada api neraka.

Sang ustaz mengingatkan bahawa Lailatulqadar perlu diburu dengan melakukan usaha-usaha semaksimum mungkin ke arah itu. Ia suatu anugerah, jika di dunia pun jika kita mahukan nama dan gelaran 'Datuk' pun kita perlu menjadi 'orang spesial' apatah lagi di akhirat nanti.

Insan diminta memburu akhirat dengan memaksimumkan ibadah pada Ramadan terutama hari-hari terakhirnya, tetapi seperti semut yang menggerumunii gula yang sebutir, manusia terus leka untuk memuaskan kehendak 1 Syawalnya. 

Ramadan adalah bulan barakah Allah SWT, tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan. 

Nanti pada hari-hari terakhir Ramadan ini terutama pada malamnya teruskanlah amalan mulia seperti solat tarawih dan qiyam, bersedekah, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir, berisytifar, bertakfakur tetapi elakkan kerja-kerja lara seperti melepak-lepak di bazar Ramadan, bergaduh, memutuskan silaturahim apatah lagi melakukan syirik bagi membolehkan kita mendapat Lailatulqadar-Nya, insya-Allah.

No comments: