Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
WAHAI Tuhan...ku tak layak ke syurga-Mu...namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu...ampunkan dosaku terimalah taubatku sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan api neraka itu akhirnya meninggalkan kita. Sedih mengenangkan pemergian Ramadan, dikesempatan ini diucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, semoga Allah SWT memberkati kita semua. Amin.
Persoalannya, bagaimanakah Ramadan kita? Bagaimana pencapaian kita sebagai graduan Universiti Ramadan yang mesti dilalui setiap tahun oleh setiap Muslim yang cukup syaratnya?
Sebahagian kita mungkin sudah menjadi graduan Universiti Ramadan 20, 30, 40 atau 50 kali; kali ini tanyalah hati kita, adakah kita seronok Ramadan ini berakhir bagi membolehkan kita berhari raya atau kita terharu dan sedih kerana bulan penuh keberkatan itu sudah pergi sedangkan pada tahun depan belum ada ketentuan kita akan menjadi siswa-siswi Universiti Ramadan sekali lagi.
Tiga puluh atau 40 tahun lalu, saya seronok Ramadan pergi kerana dapat berhari raya. Ya, hari raya adalah kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang muda. Pada permulaan celoteh kali ini izinkan saya menyorot ke zaman itu; zaman jahiliah yang malangnya turut 'dikongsi' sesetengah orang dewasa.
Kegembiraan hari raya kanak-kanak pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an adalah hal berkaitan duit, makan dan sedikit hiburan tidak seperti generasi baru sekarang yang asyik mahsyuk dengan tablet masing-masing. Dari segi duit, zaman kecil saya tidaklah mewah. Dapat 10 sen ketika berkunjung ke rumah orang pun sudah dikira cukup baik.
Dari segi makanan, sekarang baru saya terfikir mengapa orang dulu taksub menyediakan juadah yang 'macam setengah mati' memasaknya seperti dodol sehingga ada yang meninggalkan puasa dan pada malam harinya tak pergi ke surau atau masjid untuk solat waktu dan tarawih. Letih memasak dodol tak terkira kerana tempohnya terlalu lama, mungkin lima atau enam jam.
Bagi sesetengah remaja dan anak muda, hari raya dinanti-nanti kerana boleh menziarahi rumah anak dara yang berkenaan di hati kerana "pada hari raya rumah terbuka dan tiada orang suka untuk marah-marah." Pengalaman saya dan beberapa kawan, pernah melawat ke rumah seorang anak dara jam 12.00 tengah malam, dan "betul, bapaknya tak marah pun!"
Dari segi hiburan, apa yang mengasyikan, adalah bermain 'bom' (seperti meriam buluh, mercun, bunga api) dan terbabit dalam 'peperangan menembak roket' sesama kawan-kawan. Ya apa faedah melakukan perkara-perkara lara ini pada malam-malam bulan Ramadan yang mulia?
Sekarang apabila memasuki 'usia tua', barulah saya tahu bahawa diri ini sudah terlalu banyak membuang masa pada perkara-perkara tidak berfaedah ketika berada di bulan barakah Ramadan dan juga bulan mulia Aidilfitri.
Terasa mahu memutar balik jarum jam supaya saya kembali ke zaman bujang yang penuh 'kesia-siaan' itu bagi menukar haluan hidup. Namun itu tidak mungkin, jadi usia yang berbaki ini (saya ada berbaki kurang 10 kali lagi memasuki Universiti Ramadan jika saya mati mengikut usia Rasulullah s.a.w.) saya cuba-cuba membaiki diri yang selama ini sudah tersasar jauh daripada kehendak agama dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Namun, saya tidak salahkan diri saya sepenuhnya, punca saya jadi begitu; sebahagiannya disebabkan pembawaan dan contoh tidak betul oleh anggota masyarakat termasuklah pemimpin kita.
Jika orang dulu dengan 'kesesatan mereka' apa kurang dengan orang Melayu sekarang. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya.
Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT, tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan.
Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini.
Malang sungguh, mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, sebaliknya meminta orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita tujuh likur, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul termasuklah rancangan hiburan di TV.
Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad. Apatah lagi sekarang generasi baru gila gadjet elektronik, tanpa mempedulikan persekitaran mereka.
Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya!
Pada hari-hari terakhir Ramadan ini terutama pada malamnya teruskanlah amalan mulia seperti solat tarawih dan qiyam, bersedekah, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir, berisytifar, bertakfakur tetapi elakkan kerja-kerja lara seperti melepak-lepak di bazar Ramadan, bergaduh, memutuskan silaraturahim apatah lagi melakukan syirik bagi membolehkan kita mendapat Lailaturqadar-Nya, insya-Allah. Akhir sekali Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada LanH.
No comments:
Post a Comment