Monday, June 11, 2018

Selepas Harapan menang, muncul banyak sesumpah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

DI negeriku sekarang ini ketika mengikuti majlis yang ada orang besar, akan adalah orang memakai pakaian jingga (oren) - aku senyum dan ketawa dalam hati melihat seorang dua 'orang oren' itu yang dulunya tak lekang mengenakan baju biru. 

Kini 'biru' sudah kalah, digantikan 'jingga' - jadi mereka menukarkan pakaian biru kepada jingga. Pada majlis rasmi, orang seperti ini lengkap berpakaian baju Melayu warna buah oren...hebat mereka cepat mendapat baju Melayu warna ini sedangkan bagi 'orang biasa' macam saya hanya mampu tukar baju Melayu menjelang hari lebaran.

Tersebut kisah di kampung saya sekarang ini orang yang nakkan jawatan peringkat kampung atau mengekalkan jawatan yang sedang disandang, ramai  bersedia 'menyarung baju jingga'...sungguh mereka tak hairan lagi kepada parti lama berbaju biru...apa yang penting mereka dapat kedudukan itu.

Hal ini diakui oleh seorang lama parti tua itu yang saya dengar ketika dia bersembang-sembang dengan rakan seangkatannya. Katanya, ini soal 'survival' beb, soal makan minum anak isteri...kalau aku tak ada kerja dan berpendapatan bagaimana nanti dapur rumah nak berasap?

Malah sehari dua ini saya ada terbaca laporan Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin meletak semua jawatan dalam parti tua itu untuk menyokong penuh Parti Warisan Sabah (Warisan). Katanya keputusan itu diambil selepas memikirkan tiada hala tuju dalam Umno.

Ya, ketika Umno dulu berkuasa, semuanya 'molek-molek' malah ada yang berikrar mempertahankan parti (termasuk Putrajaya) sehingga titisan darah terakhir, tetapi sekarang sekarang ini selepas 'tersungkur' mereka sanggup berkata tiada hala tuju dalam parti.

Haiiya, ini macamlah 'orang sekarang'..umpama orang bersahabat, ketika berkuasa dan ada segala-galanya terutama wang ringgit ramai orang suka tetapi selepas tak ada apa-apa mereka meninggalkan kita.

Dalam dunia haiwan, ada sejenis binatang yang 'pandai' menukar-nukar warna ni...namanya sesumpah atau sumpah-sumpah. Menurut Wikipedia, sumpah-sumpah adalah sejenis reptilia, kulitnya biasanya berwarna hijau atau coklat dan boleh bertukar warna mengikut keadaan sekeliling!

Di kalangan manusia, sesumpah ini ada di kalangan pengikut dan pemimpin tetapi yang paling bahaya adalah pemimpin...cuba bayangkan macam sesumpah - kalau pokok warna kelabu (biru?), dia berwarna kelabu (biru); kalau dahan berwarna hitam (jingga?), dia pun berwarna hitam(jingga). Dia juga boleh menjadi juara lompat katak.

Sekarang ini selepas pilihan raya, ramai sungguh orang sudah jadi sumpah-sumpah. Binatang jenis sesumpah ini berlakon saja. Ya, manusia pun sama, berlakon baik apabila diperlukan baik, dan berlakon jahat apabila diperlukan jahat. 


Sebagai rakyat biasa, jangan diikut pemimpin jenis sumpah-sumpah ini. Kita perlu ada pendirian kerana kita sendiri akan dipertanggungjabkan ke atas segala tindakan kita. Tak payahlah kita ikut pemimin jenis 'masuk longkang' nanti kita pun sama 'masuk longkang'.

Orang yang jenis ikut-ikut ini hendaklah takut akan ayat-ayat Allah, seperti Al-A'Raaf ayat 38-39 ini yang bermaksud: "...berkata golongan akhir (pengikut) mengenai golongan pertama (ketua) "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, oleh itu berilah azab seksa yang berlipat ganda dari neraka." Allah berfirman "kamu masing-masing disediakan azab seksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui." Dan berkata golongan ketua di antara mereka kepada golongan pengikut "Jika begitu tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami." Allah berfirman "rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang telah kamu usahakan." 

Demikianlah, janganlah dikiut atau dipilih pemimpin sumpah-sumpah ini. Jangan fikir kita boleh terlepas tangan dengan perbuatan zalim dan kesesatan mereka.

‘Lompatan si katak’ selepas pilihan raya, membayangkan banyak perkara tidak kena dan beres oleh ‘si katak’. Dia ini hendak merebut apa sebenarnya - kemasyhuran, pangkat atau pun harta?

Dulu ketika musim pilihan raya banyak dirakam aksi sumpah-sumpah dalam masyarakat. Mereka 'beraksi' sebelum menjadi calon dan selepas menjadi calon. Bagi calon-calon, masa meraih undi inilah kita nak tergelak tengok mereka tunjuk aksi pandai tunggang motosikal, basikal, naik becalah, masuk bawah kolong rumah oranglah dan masuk bendanglah. 

Malah, ramai pemimpin bercakap berdegar-degar seperti mempertahankan kuasa sehingga titisan darah terakhirlah dan bermacam-macam cakap-cakap retorik lain, tetapi tiada yang cakap serupa bikin. Yalah macam meriam buluh yang budak-budak kampung tembak pada hari raya...bunyi kuat tetapi 'apa pun tarak' (tiada). Apabila kalah saja, mereka jadi lembik, ramai jadi sumpah-sumpah.

Pemimpin 'auta' dan kaki kelentong ini (sesumpah) cakap berdegar-degar. Minta rakyat berkorbanlah untuk negara; mempertahankan negara ke titisan darah terakhirlah, berjimat cermatlah dan ubah gaya hidup selepas kenaikan harga minyak, tetapi diri sendiri dan anak bini kaki joli, boros - menghabiskan harta negara, termasuk ketika berada di luar negara seperti di Dubai dan London. 

Mereka meminta rakyat beramanahlah, sedangkan mereka khianat, melarikan wang berkarung-karung ke luar negara dan menyimpannya dalam beg dan dalam rumah. Minta rakyat cintakan bahasa kebangsaanlah, sedangkan mereka menghancurkannya, menjayakan sesuatu projek untuk mengisi kantung sendiri dan kroni-kroni.  

Bukan saja pemimpin politik saja begini, sesetengah 'orang kerajaan' dan 'orang media' pun apa kurang...dulu macam melangit menjunjung pemimpin lama (mungkin kentutnya pun wangi) tetapi sekarang dia pulak berlebih-lebih men'-jek' (jack) pemimpin dan kerajaan baru. Mereka ini bagai sumpah-sumpah, cepat saja warna mereka dah berubah! Boleh 'caya' (percaya)kah orang seperti ini?

No comments: