Thursday, June 14, 2018

'Melepas geram' di Seri Bendahara

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

PETANG Khamis 7 Jun, tanpa dirancang saya berada di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, Seri Bendahara di Ayer Keroh. Sebenarnya saya ada temu janji bagi menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kerajaan di Ayer Keroh tetapi ketika balik, tergerak hati saya menyaksikan 'istana' dibuka kepada orang awam itu.

Sekarang ini kepimpinan baru Melaka diterajui Ketua Menteri, Adly Zahari bercadang menjadikan Seri Bendahara sebagai salah satu produk pelancongan di negeri bersejarah ini. Buat sementara waktu, kompleks tersergam luas ini mula dibuka kepada awam 15 Mei lalu dan dicadangkan ditutup mulai 14 Jun.

Kata Adly yang memilih untuk tinggal di rumah pegawai kerajaan di Peringgit, langkah itu mampu memberi impak positif kepada kewangan negeri dengan menjana pendapatan menerusi perancangan produk baru tersebut. Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan bangunan tersebut dan menggelak menjadi 'gajah putih'.

Menjejakkan kaki (pengunjung diminta menanggalkan kasut) ke dalam ruang tamu yang bagaikan sebuah dewan, 'mempesonakan' diri ini. Ada dua deretan sofa 'lembut dan gebu' menyebabkan seseorang tidak dapat 'menahan diri' daripada merasai 'keempukannya'. Lantas ramai yang melabuhkan punggung termasuklah diri ini. Pendeknya, ramai yang 'melepas geram'...

Di bahagian depan ruang tamu itu disediakan sebuah meja dan diletakkan sebuah buku pelawat di atasnya. Apabila ada kesempatan, saya menyelak helaian buku itu, ternyata ramai pengunjung 'melepas geram'. Antara komen ditulis: "This palace should better convert to hotel to generate income for the state." (Istana ini lebih baik ditukar menjadi hotel bagi memberi pendapatan kepada kerajaan negeri).

Pengunjung lain menulis: "This resort of a residence is evidence that the MB (sepatutnya CM iaitu Chief Minister) is clearly misusing his position" (Kediaman bagaikan resort ini bukti Ketua Menteri menyalahgunakan kedudukannnya) dan "Visit this MB's residence, unnecessary extravagance for a residence of a state official" (Melawat kediaman MB (KM), kemewahan seperti ini tidak perlulah bagi kediaman seorang pegawai kerajaan).

Di sisi ruang tamu ada bilik mesyuarat yang luas dan mewah. Apabila menjengok ke dalam, saya lihat sejumlah pengunjung sedang 'mencuba-cuba' dan 'menggayakan' kerusi-kerusi mewah berkenaan. Di sebuah bilik lain, saya lihat seorang pengunjung mengayakan penggunaan telefon dan meminta rakannya mengambil gambar. Ya, ramai orang 'melepas geram' untuk merasai sendiri penggunaan kelengkapan mewah yang disediakan bagi seorang Ketua Menteri.

Ada beberapa bilik tidur mewah di bahagian bawah bangunan iaitu di sisi sebuah kolam renang. Di bahagian atas (tingkat satu) ada sejumlah lagi bilik tidur yang kelihatan mewah tetapi kebanyakan tandasnya ditutup dan ditampal notis larangan penggunaannya disebabkan sudah rosak. Tindakan membiarkan orang ramai memasuki bangunan ini 'sesuka hati mereka' tanpa penyeliaan rapi didakwa sesetengah pihak 'menyumbang' kepada pelbagai kerosakan seperti tandas tersumbat, perkakas patah manakala suis rosak.

Mereka berkata pengunjung perlu dipantau dan wajar dikenakan bayaran (seumpama muzium berbayar seperti Istana Lama di Kuala Lumpur) kerana usaha memperbaikinya akan membabitkan kos tinggi daripada dana rakyat. Kata mereka kawasan ini seolah-olah sudah menjadi satu kawasan bebas dan tanpa peraturan. Ada kebenaran dakwaan itu kerana ketika penulis berada di sana, ada pengunjung termasuk kanak-kanak sekolah yang berbondong-bondong datang, bebas membuat bising dan 'melepas geram' menggayakan perabot dan peralatan, kemudian ketawa berdekah-dekah seolah-olah 'memperli' pemimpin lalu. 

Ketika penulis berada di Seri Bendahara ini, seorang wanita muda yang memperkenalkan dirinya wartawan sebuah akhbar arus perdana merapati penulis untuk mendapatkan pandangan mengenai 'istana' pemimpin Umno-BN itu. Penulis 'malu-malu kucing', menyatakan tidak mahu diwawancara. Tetapi dia terus mendesak - katanya, bolehlah pakcik...kalau pak cik nak gunakan nama samaran pun boleh.

Kerana sudah terlalu didesak, akhirnya penulis pun bersuara...mula-mula 'slow' saja...pak cik ingat baguslah pemimpin baru bagi 'open' kediaman KM ini supaya rakyat boleh tengok gaya hidup mewah pemimpin Umno BN. Tetapi daripada nada perlahan, entah macam mana satu perasaan 'mendidih' naik di hati penulis mengenangkan pemimpin bermewah sedangkan rakyat termasuk penulis sendiri hidup susah sebahagiannya gara-gara pemimpin menindas rakyat termasuk mengenakan GST 6 peratus (syukurlah sekarang sifar peratus).

Penulis akhirnya bercakap macam seorang 'penceramah politik'...selain pemimpin Umno BN, penulis turut 'membasuh' dan 'melepas geram' terhadap media massa arus perdana termasuk akhbar wartawan berkenaan...ya ketika rakyat susah dulu di mana kamu wartawan...kamu bodek pemimpin lama tak habis-habis...semuanya bagus bagi pemimpin berkenaan...hatta kentutnya bau wangi...akhbar kamu kata GST akan menyebabkan harga barang turun dan menyenangkan rakyat, sekarang ini kamu berpaling tadah, kamu macam sesumpah...siapa ada kuasa dialah kamu sokong, puji, puja....

"Maaf pak cik, saya ada hal lain..." ucap wartawan itu, meninggalkan saya. Sebelum meninggalkan 'istana' KM Melaka petang, saya melabuhkan punggung di kusyen empuk di ruang tamu, berfikir dan merenung (muhasabah) diri...betul atau tidak tindakan saya 'melepas geram' kepada wartawan berkenaan. Sampai sekarang saya masih berfikir, benar atau tidak benar diri ini...kalau tak betul saya mohon maaf kepada wartawan berkenaan dan minta ampun kepada Allah SWT di bulan Ramadan mulia ini....ya Allah, Kau ampunkan hamba-Mu yang banyak dosa ini....sungguh tak sangka saya boleh 'melepas geram' di 'istana' KM Melaka!

No comments: