Saturday, June 9, 2018

Titipan Seorang Pesara (35): Kisah Si Oren, keldai dan pengakhiran Ramadan...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


KULIAH Subuh Ahad, tanggal 3 Jun di sebuah masjid tidak jauh dari rumah saya, meninggalkan kesan mendalam di hati saya. Sang Ustaz dalam tazkirahnya mengenai pengakhiran Ramadan antara lain menjelaskan hubungan istimewa bulan suci itu dengan al-Quran.

Beliau menyatakan dalam al-Quran ada disebut sejumlah binatang, antaranya keldai...bagaimanapun dalam ruangan Celoteh ini izinkan saya terlebih dulu membawa kisah seekor binatang iaitu seekor kucing (binatang kesayangan Nabi s.a.w. dan sahabatnya seperti Abu Hurairah r.a.) yang pernah saya paparkan dalam tulisan saya pada pertengahan 2014 dulu dengan tajuk 'Kita juga akan pergi jua...' 

"Suatu pagi kira-kira dua (kini lima) tahun lalu seekor anak kucing kurap datang ke rumah saya. Kucing berwarna oren, berkudis dan dengan telinga luka-luka itu mengiau-ngiau kuat, badannya tergigil-gigil. Saya mengangkat lalu membawanya ke belakang rumah. Saya ambil nasi lebihan semalam, meramas-ramasnya menjadi lembik lalu memberikannya makan.

Sambil makan dengan rakus, mungkin kerana terlalu lapar, anak kucing itu mengeluarkan bunyi aneh, sekali sekala memandang saya, mengucapkan terima kasih, agaknya. Disebabkan di rumah saya sudah ada sejumlah kucing, anak kucing itu dikira 'pendatang'; biasanya si pendatang tidak disukai kehadirannya oleh kucing-kucing sedia ada.

Namun 'Si Oren' tidak diusir pula, malah disayangi oleh kucing-kucing lain. Mungkin perangainya bagus - ia tidak 'sombong' tetapi dengan cepat dapat menyesuaikan diri. Malah sesekor kucing jantan gemuk yang dipanggil Momok, cukup baik dengannya malah dia membenarkan Si Oren tidur di bawah perutnya sambil menghisap teteknya walaupun ia kucing jantan!

Hari pantas berganti minggu; kemudian bulan bertukar tahun. Si Oren yang dulunya anak kucing kurap bertukar comel, gemuk dan gagah perkasa pula. Si Oren menjadi kesayangan ramai. Isteri dan anak-anak saya selalu memanggilnya 'Oren, Oren, Oren' dan ia pula seakan tahu 'namanya' Oren kerana ia datang apabila dipanggil dengan panggilan itu.

Oren disayangi semua tetapi itu tidak menghalangnya daripada 'memenuhi naluri jantannya' apabila ia sudah dewasa. Oren mula menujukkan sikap suka kepada kucing betina, dan tak lama selepas itu 'pandai pula menghilangkan diri sehari dua'. 

Kata anak-anak saya, Si Oren pergi jumpa 'girlfriend'nya - seekor kucing comel milik seorang ustazah yang tinggal berdekatan. Hai, boleh tahan juga 'Si Oren' bekas anak kucing kurap itu, 'ada hati bercinta' dengan kucing ustazah!"

Dulu Si Oren datang dan pergi dan dapat dilihat menabur jasa (seperti 'mengawal' rumah pada malam hari malah pada suatu ketika dilihat bersama-sama beberapa kucing lain menghalau seekor ular), tetapi sehari sebelum Ramadan ini (1439H, 2018M), saya percaya Si Oren sudah pergi atau 'ghaib' buat selama-lamanya. 

Sebenarnya kebelakangan ini Si Oren sudah nampak tua dan uzur benar...keadaan tubuhnya membayangkan betapa getir perjalanan hidupnya - ada banyak kesan luka dan berdarah mungkin akibat daripada banyak 'bergaduh' mempertahankan 'kawasan' daripada kucing jantan lain. Sebelah kaki depannya tempang, ada benjolan dan kudis...pada hari-hari terakhir Si Oren menjadi terlalu teruk dengan wajah dan tubuh kusam serta berbau busuk.

Petang sehari sebelum Ramadan, Si Oren duduk di muka pintu dapur rumah saya - dia tidak bergerak-gerak, hanya matanya memandang sayu kepada saya. Saya membiarkan Si Oren 'termenung sepuas hati' di situ....tidak tahu saya bila dia 'berangkat pergi'...sehingga sekarang dia tak pulang-pulang. Saya beranggapan Si Oren sudah mati di tempat yang jauh...dia tidak suka kematiannya disaksikan tuannya, dia mati bagaikan Laksamana Hang Tuah yang 'ghaib' pada hari tuanya!

Berbalik kepada kisah keldai oleh Sang Ustaz, beliau memberi peringatan terbaik berhubung orang Islam terutama orang Melayu sekarang ini iaitu hubungan mereka dengan al-Quran. Katanya, keldai sanggup memikul barangan berat dengan tidak mengetahui atau peduli isi kandungan bebanan itu, demikian juga sebahagian besar anggota masyarakat, mereka 'memikul' (memuliakan) al-Quran tanpa tahu apatah lagi memahami isi al-Quran.

Naskhah al-Quran diletak di tempat tinggi, dijunjung, dikucup dan dijadikan hantaran kahwin, tetapi jarang dibaca sehingga berabuk jadinya. Sejumlah mereka membaca secara berjemaah Surah Yasiin pada malam Jumaat tetapi jika ditanya pengertian apa yang dibaca, kebanyakannya tidak tahu.

Hakikatnya, kata Sang Ustaz, al-Quran adalah panduan hidup seorang Muslim. Melalui Ayat 2 Surah Al-Baqarah lagi, Allah SWT menyatakan yang bermaksud: "Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa."

Kalau tidak dibaca dan difahami panduan (umpama sebuah manual bagi meng-operasi-kan sesuatu peralatan seperti mesin basuh atau kereta) bagaimana kita mau menjalani kehidupan ini, tanya Sang Ustaz.

Jadi, kata Sang Ustaz, pada penghujung Ramadan ini, marilah kita semua bertekad untuk memperbaharui hubungan kita dengan al-Quran tetapi diingatkan supaya tidak berhenti setakat bulan suci ini tetapi selama-lamanya sehingga kita dipanggil Illahi (matilah).

Ramadan berbaki beberapa hari lagi, ayuh marilah kita semua bangkit termasuk memburu Lailatuqadar iaitu malam lebih baik daripada 1,000 bulan dengan sentiasa bersama-sama al-Quran...bukankah selayaknya kita tidak mahu disamai dengan seekor keldai!

No comments: