Saturday, July 9, 2011

Sekatan di Bulatan Jalan Pahang/Usah hina penulis 'Pak Samad'

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...dan di hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang beriman kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakinya. Dan dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (QS. Ar-Rom: 4-5)
****
KISAH 1: Sekatan di Bulatan Jalan Pahang

SUBUH hari ini (9.7.11), saya solat berjemaah di Balai Islam berdekatan Bulatan Jalan Pahang. Tak ramai jemaah, mungkin tak sampai 10 orang. Seperti biasa, jika saya berada di KL, selepas solat saya suka jalan-jalan seorang diri, bukan apa sebagai 'exercise', al-maklumlah badan yang sudah terkena penyakit itu perlu dikasi berpeluh.

Maka berjalanlah saya menyusuri Bulatan Jalan Pahang menuju Hospital KL yang sudah lama saya tahu ada kantin 'bagus' (harga makanan murah dan bersih....ehhh, eeeh (takkan nak cakap kotor pulak) dalam bangunan hospital. Di sebelah kantin ada gerai, jadi bolehlah saya dapat 'paper' pada awal-awal pagi.

Eek, subuh-subuh lagi pasukan polis sudah buat 'road block' di Bulatan Jalan Pahang itu. Mereka menahan dan memeriksa kenderaan yang menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Berlakulah sedikit kesesakan di kawasan itu. Saya terus berjalan dan sampailah ke pintu masuk Hospital KL.

Hai, di pintu masuk Hospital KL pun ada sekatan jalan raya. Kelihatan dua tiga abang polis melakukan pemeriksaan. Tak tahulah saya apa tujuan dibuat sekatan jalan raya di pintu masuk Hospital KL itu.

Di kantin HKL, saya sodok mi goreng. Ambil telur mata kerbau. Ambil sendiri air kopi-O. Saya bagi 'mat Bangladesh' yang jaga di 'tol' not RM5. Dia pulangkan balik RM1.50. Jadi sarapan saya RM3.50; dikira murahlah pada zaman 'harga serba mahal' ini tetapi tidaklah semurah RM2 setiap kali bersarapan di 'restoran harga patut' yang diuar-uarkan pemimpin negara baru-baru ini.

Mungkin sarapan RM2 itu mengandungi roti canai dan air kopi-0 atau teh-0, agaknya. Manalah saya tahu, saya tak pernah jumpa lagi. Tengah hari ini harap-harap saya berjumpa sebuah 'restoran harga patut' dan makan dengan harga RM4.00. Jadi banyaklah boleh saya 'save'. Jangan 'try' di 'Insaf' sudahlah, nanti 'insaf' anda dibuatnya!

Selepas bayar saya pun duduk di meja kosong yang ada TV di depan mata. Siarannya TV1. Saya agak rancangan dipancarkan Selamat Pagi Malaysia. Maka sok-seklah dua pengacara lelaki perempuan; kata mereka jalan-jalan masuk KL sesaklah, ini semua gara-gara 'orang tak mendengar kata' yang mahu berdemonstrasi secara haram.

Kata seorang pengacara, polis mahu memastikan keselamatan, jadi terpaksalah mengadakan sekatan jalan raya. Ditunjukkan plaza tol Gombak yang sesak berkilo-kilometer jauhnya. Turut terperangkap adalah Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai. Diwawancaralah Tiong Lai yang secara 'cool' menjawab pemeriksaan polis adalah perkara biasa bagi menjaga keselamatan.

Selepas berita yang antara lain menyiarkan petikan Hishammuddin Hussein yang terus berkata Bersih haram dan degil kerana tidak mahu menerima mengadakan perhimpunan di stadium luar KL, disiarkan ulasan berita. Maka bagaikan bertihlah mulut si pengacara manis berkata, 'lauk pauk' dan segala persediaan sudah siap tetapi tetamu tak kunjung tiba. Saya ingat dia merujuk kepada majlis kahwin, tetamu dan pengantin tak sampai-sampai sebab terperangkap dalam kesesakan jalan raya; rupa-rupa dia kata 'tetamu' itu adalah 91 orang yang dilarang memasuki KL hari ini.

"Itulah," katanya, "akibat degil tak mahu terima nasihat" tidaklah dapat datang ke kenduri. Betulkah cakap si manis ini, tidaklah saya tahu. Sama-samalah kita nantikan petang nanti...

***
KISAH 2: Usah hina penulis Pak Samad
SUATU malam ketika berjalan di jambatan pejalan kaki Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, saya ternampak tiga orang buta – dua perempuan dan seorang lelaki - sedang duduk sebaris, menjual paket kertas tisu.

Saya berhajat menolong mereka dengan membeli paket kertas tisu berkenaan. Pada setiap orang, saya berikan RM1. Ketika membongkok, secara tidak sengaja (tidak dapat dikawal) saya ‘terlepas angin’.

Sekalipun jarak saya dengan ketiga-tiga orang buta tersebut tidaklah dekat sangat, malu besar dan merah padam muka saya apabila mereka mengomel-gomel – siapa pula lepas angin ni. Busuk betui!

Demikianlah, sekalipun tidak dapat melihat, insan-insan ini dianugerahkan Allah SWT pancaindera lain yang lebih baik daripada manusia sempurna sifat. Terfikirlah di benak saya, mungkinkah orang buta ini mempunyai derita bau yang jauh lebih sensitif berbanding orang lain sehingga boleh mencium sesuatu yang mungkin sukar dihidu insan lain.

Saya bawakan kisah ini bagi menunjukkan sesetengah orang seperti golongan penulis mempunyai daya sensitif yang lebih peka daripada orang kebanyakan. Disebabkan rasa sensitif yang terlalu tinggi itu, mereka menjadi golongan cepat terasa; daripada apa yang terpukul dalam jiwa itulah menyebabkan mereka meluahkannya melalui penulisan dan juga secara oral. Ya, perasaan sensitif yang membuak-buak itulah dicanai dalam otak (difikir-fikirkan) dan kemudian diluahkan di kanvas lukisan atau pun di atas kertas dan pada zaman sekarang di papan kekunci komputer.

Golongan penulis menjadi begitu sensitif tentang apa yang berlaku dalam masyarakatnya. Jika ada yang tidak kena, jiwanya terlonta-lonta; tidak senang duduknya. Maka sesetengah daripada mereka akan melakarkannya di kertas, tetapi bagi mereka yang berjiwa lebih besar, mereka akan menyertai serta menyelami denyut masyarakat untuk membantu membetulkan keadaan.

Oleh itu, tidak menghairankan jika tokoh penulis besar seperti A Samad Said (Pak Samad) yang sering berjalan kaki, turun naik bas awam, yang merasai sendiri denyut nadi masyarakat umum, bangkit untuk menyertai gerakan rakyat termasuklah mutakhir ini dalam perjuangan menuntut pilihan raya umum yang bersih dan telus.

Tentunya Pak Samad yang sensitif hidupnya (jika dikaji daripada hasil karyanya) berupaya memikirkan masa depan generasi baru jika kehidupan masyarakat sekarang ini yang sudah tempang tidak diperbetulkan.

Bagi saya Pak Samad sudah mendahului zamannya, tetapi sungguh mendukacitakan apabila saya menatap tulisan beberapa penulis lain terutama dalam akhbar arus perdana, mereka mempertikaikan tindakan Sasterawan Negara ini sehingga ada mencadangkan Pak Samad berhijrah ke negara lain jika tidak dapat taat setia lagi kepada negara ini.

Malah adakah patut sesetengahnya termasuk ‘penulis cikai’ menggelar Pak Samad sebagai pengkhianat, tidak malukah mereka, bersikap begitu celupar dan tidak menghormati seorang insan yang telah banyak menyumbang bakti kepada bangsa dan negara.

Sungguh jika hendak mengampu pun jangan keterlaluan; bagi saya kisah yang dipaparkan oleh penulis tersohor di Alam Melayu, Pak Hamka (Allahyarham Prof Dr Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah) yang pernah dihumban ke dalam penjara angkara si pengampu, dalam Tafsir Al-Azharnya sewajarnya dijadikan pedoman.

Pesan Hamka tukang pengampu dan pemfitnah tetap akan menerima pembalasan. “Zaman bergilir, ada yang naik dan ada yang jatuh, dunia tiada kekal. Bagi diriku sendiri, di dalam hidup ini, aku pun datang dan aku pun akan pergi. Kehidupan adalah pergiliran di antara senyum dan ratap. Air mata adalah asin, sebab dia adalah garam dari penghidupan.

“Aku mengharap, jika aku mendapat aniaya oleh suatu kekuasaan orang zalim, hanya semata-mata kerana suatu waktu berkuasa, pasti datang zamannya, aku dan mereka, sama-sama tidak ada lagi di dunia ini. Maka moga-moga dengan meninggalkan ‘Tafsir’ ini, ada yang akan diingat-ingat orang dari diriku sebagai suatu hasil khidmat untuk Tuhan dan umat. Yang dapat aku kerjakan di dalam saat-saat aku teraniaya...

“Kalau tidaklah mengingat akan ‘kehidupan kedua kali’ itu, mungkin sudah lama saya pun dibawa hanyut oleh nafsu hendak berkuasa dan kemudiannya menjadi mabuk oleh kekuasaan itu: Na’udzu Billah!” (Tafsir Al-Azhar Juzuk 1, muka surat 54)

Bagi Pak Samad pula, penulis percaya apa dibuatnya bukan untuk mendapat kemasyhuran dan menambah kuasa (sama seperti dilalui Pak Hamka) tetapi demi kepentingan anak bangsa dan agamanya. Mustahil Pak Samad bersedia menempah kesengsaraan hidup sedangkan dia sudah ada hampir semua kebanggaan hidup seperti kemasyhuran, nama dan harta; jadi pengorbanannya hanyalah kerana percaya adanya ‘kehidupan kali kedua’ seperti diungkapkan Hamka.

Oleh itu, wahai ‘penulis cikai’ cerminlah diri sebelum meminta Pak Samad mencari negara lain (berhijrah) atau pun menuduhnya seorang pengkhianat!

No comments: