Friday, July 8, 2011

Islam subur di Lembah Kashmir


***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan." (al-Quran, Surah Al-An'am 129)
***

SEBELUM dilanjutkan pengalaman saya di bumi Kashmir taklukan India, eloklah ditinjau sejarah kemasukan Islam ke lembah subur dikenali sebagai 'Syurga Dunia' ini. Sebelum kedatangan Islam, sama seperti orang Melayu di Nusantara, orang Kashmir adalah penganut agama Hindu dan Buddha.

Antara pemerintah yang terkenal adalah Raja Asoka yang datang dari India dan menakluk Kashmir pada tahun 250 Sebelum Masihi (SM). Beliau menjadikan Srinagar sebagai ibu kota kerajaannya. Sri bermaksud 'lakshmi' atau kekayaan manakala 'nagar' bermakna bandar raya. Jadi Srinagar bermaksud sebuah bandar raya yang kaya-raya.

Sekalipun sesetengah penduduknya sudah beragama Islam pada abad ke-13 melalui usaha dakwah seorang wali dikenali Bulbul Shah, hanya pada pertengahan abad ke-14 pemerintahan Islam terdiri di bumi Kashmir dengan kedatangan Shah Mir dari Asia Tengah. Kedatangan seorang lagi pendakwah terkenal dari rantau Parsi bernama Syed Ali Hamdani pada masa pemerintahan Sultan Qutub-ud-din (1395) mengukuhkan lagi pegangan rakyat kepada Islam dengan pelbagai kejayaan dalam penyebaran Islam berlaku di Lembah Kashmir.

Qutub-ud-din kemudiannya digantikan puteranya Sultan Sikandar yang kemudian mewariskan takhta kepada anaknya Sultan Zain-ul-Abidin (1421-1474). Baginda terkenal sebagai pemerintah yang adil kepada rakyatnya. Sultan Zain-ul-Abidin dikenang sebagai membangunkan semula Kashmir dan diberi gelaran 'Budshah' yang bermaksud 'Raja Yang Agung'.

Pada abad ke-16, orang Chak mendapat kuasa. Yousuf Khan, yang dikenali orang tempatan sebagai 'Yousuf Shahi Chak' mula memerintah pada 1580. Beliau jatuh cinta dan berkahwin dengan seorang wanita kampung bernama Haba Khaton yang kemudiannya menjadi penyair paling terkenal di bumi Kashmir. Yousuf kemudian digantikan oleh anaknya, Yakub Khan.

Pada tahun 1586 pemerintah ketiga Empayar Moghul yang berpusat di Delhi dan Agra, Akbar menyerang dan menakluk Kashmir. Pemerintahan Moghul berlarutan selama 166 tahun. Pada masa Moghul inilah didirikan beberapa taman indah yang masih wujud sehingga hari ini. Antaranya Shalimar (Taman Cinta) yang dibina Raja Jehangir untuk isterinya Nur Jehan pada 1616 dan Nishat Bagh (Taman Keseronokan) yang dibina pada 1634 oleh abang sulung Nur Jehan, Abul Hassan 'Asif Khan.

Ketika pemerintahan Moghul inilah (tahun 1692) dikatakan sehelai janggut Nabi Muhammad s.a.w. (moi-e-muqadas) dibawa ke Kashmir oleh seorang pedagang bernama Khwaja Noor-ud-Din Ishbari dan ditempatkan di Masjid Hazratbal yang terletak berhampiran Tasik Dal di Srinagar. Pedagang ini dikatakan mendapatkan helaian janggut itu dari Syyid Abdullah yang membawanya ke India pada 1634. Janggut itu masih disimpan di Masjid Hazratbal dan hanya dipamerkan untuk tontonan umum pada hari kebesaran seperti Maulidurasul.

Selepas pemerintahan Moghul menjadi lemah, Kashmir diperintah oleh orang Afghan dari 1756 sehingga 1818. Malang sungguh selepas itu, orang Islam gagal memegang kuasa apabila orang Sikh mengambil alih pemerintahan dan menabalkan penguasa yang dipanggil Dogra untuk mentadbir Kashmir.
 
Pada 16 Mac 1846, Raja Gulab Singh berjaya mendapatkan kedaulatan Kashmir daripada campur tangan British melalui Perjanjian Amritsar. Pada 1947 apabila India mencapai kemerdekaan, Raja Hari Singh pula menyerahkan Kashmir kepada penguasaan India sekali gus mencetuskan konflik politik paling parah yang berlanjutan sehingga hari ini.